Bisnes & Ekonomi 11 Jun, 2025

Kukuhkan kedudukan fiskal! SST disemak, bersasar! Tapi cukai jualan barangan keperluan asas tak naik!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this



Dengan matlamat mengukuhkan kedudukan fiskal negara, Kerajaan akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan (Sales Tax atau CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (Service Tax atau CP) mulai 1 Julai 2025.

Semakan ini diyakini akan meningkatkan hasil negara, di samping memperluas asas percukaian bagi menambah baik kualiti jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah melalui proses libat urus bersama pihak berkepentingan, khususnya persatuan industri dan ejen percukaian.

Penyediaan perundangan turut mengambil kira maklum balas serta input industri bagi memastikan majoriti rakyat tidak terjejas dan kesan terhadap pihak industri dapat diminimumkan, menurut kenyataan bertarikh 9 Jun 2025 itu.



“Kerajaan komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi Madani. 

"Bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST, Kerajaan Madani mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai. 

"Selain itu, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," kata Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, "melengkapi usaha Kerajaan Madani untuk merancakkan ekonomi dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial, hasil tambahan daripada penambah baikan SST ini akan membolehkan penambahbaikan lanjut dalam perkhidmatan awam khususnya peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat, serta memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam. 

"Tambahan hasil ini dapat dimanfaatkan seluruh negara tanpa menambah beban kepada majoriti rakyat,” tambah beliau.

Secara amnya, kata Amir Hamzah, semakan kadar CJ dan peluasan skop CP merangkumi perkara-perkara berikut:

  • Kadar CJ kekal tidak dinaikkan ke atas barangan keperluan asas yang digunakan oleh rakyat;
  • Kadar CJ sebanyak 5% atau 10% dikenakan ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas; dan
  • Skop kenaan CP diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan. Peluasan ini disertakan dengan pengecualian terpilih untuk mengelakkan cukai berganda, serta memastikan perkhidmatan keperluan tertentu untuk warganegara Malaysia tidak dikenakan cukai.


Menurut kenyataan itu lagi, Kerajaan Madani juga mengambil kira keperluan bagi pematuhan perundangan kepada syarikat yang akan tertakluk kepada SST. 

Sehubungan itu, bagi syarikat yang mengambil tindakan untuk mematuhi syarat perundangan SST yang ditetapkan, tiada tindakan pendakwaan dan penalti akan dikenakan sehingga 31 Disember 2025. - KitaReporters/Kenyataan Media





12
9
0
13
0
You will be interested