Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) telah berjaya merealisasikan pelaburan mencecah RM58.39 bilion serta mencipta hampir 16,000 peluang pekerjaan bagi tempoh Januari sehingga September 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi tempoh tersebut, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut memudah cara pelaburan-pelaburan berimpak tinggi dan memberi tumpuan dalam membangunkan industri semikonduktor berteknologi tinggi menerusi program APIRC@NTIC.
"NCIA juga memudah cara pelabur yang mahu menerokai potensi projek pelancongan berimpak tinggi yang dipacu oleh pelaburan swasta," jelas beliau.
Katanya, pencapaian tersebut dimaklumkan semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa (MOA) NCIA Ke-34 pada Rabu, 15 Oktober 2025.

NCER telah memperkenal Advanced Packaging Institute and Research Centre (APIRC) menerusi program NCER Technology Innovation Centre (NTIC).
APIRC berfungsi sebagai Pusat Kecemerlangan (CoE) untuk pembangunan teknologi, bakat serta ekosistem tempatan dalam bidang pembangunan fabrikasi Advanced Packaging (AP) bagi menyokong ekosistem High Value Manufacturing (HVM) untuk industri semikonduktor.
Anwar berkata, mesyuarat turut meneliti fokus strategik NCER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) antara lain melibatkan industri semikonduktor berteknologi tinggi, pelancongan berimpak tinggi, taman industri tematik NCER, Pembangunan Zon Khas Ekonomi Tenaga Boleh Bahari dan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand.
"Penting untuk dipastikan semua perancangan NCER selaras dengan matlamat yang dirancang dalam RMK-13, Belanjawan 2026 serta dasar-dasar utama lain seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR)," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media
