Had kelayakan bagi program subsidi petrol RON95 bersasar (BUDI95) untuk pemandu e-hailing (e-panggilan) dinaikkan, manakala teksi lapangan terbang pula layak menerima petrol RON95 bersubsidi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini perlaksanaan subsidi BUDI95.
"Selepas sebulan pelaksanaan, kita lihat hasil yang positif malah subsidi BUDI95 semakin diterima, difahami dan dimanfaatkan rakyat dengan baik dengan tahap penggunaan aplikasi digital seperti Setel dan TNG eWallet juga meningkat dengan ketara.
"Sehubungan itu, had kelayakan bagi pemandu e-hailing dinaikkan selain teksi lapangan terbang turut menerima manfaat," jelas beliau pada Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa, 4 November 2025.

Dalam pengumuman itu, Perdana Menteri menyatakan kerajaan bersetuju meningkatkan had kelayakan Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-hailing yang layak kepada sehingga 8000 liter sebulan, tertakluk kepada syarat-syarat perjalanan yang ditetapkan.
Bagi teksi lapangan terbang pula, teksi berkenaan kini disenaraikan sebagai kenderaan yang layak menerima petrol RON95 bersubsidi di bawah Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
"Kita dengar suara rakyat. Hari ini, melalui peluasan BUDI95, had kelayakan bagi pemandu e-hailing dinaikkan dan teksi lapangan terbang turut menerima manfaat.
"Inilah komitmen kita untuk memastikan subsidi disalur kepada mereka yang benar-benar berhak dan memerlukannya," tegas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media
