Belanjawan ini cukup bermakna kepada Perdana Menteri kerana hasratnya yang tertangguh sekian lama yakni pemansuhan bayaran balik PTPTN untuk keluarga berpendapatan rendah dan sederhana serta dan pendidikan percuma di IPTA bagi keluarga miskin -- janji yang dilafazkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih 13 tahun lalu -- dapat ditunaikan

Perdana Menteri berkata, Belanjawan 2026 menjadi satu lagi langkah besar dalam usaha berterusan Kerajaan Madani untuk mengangkat martabat dan harkat rakyat.
"Insya-Allah, saya dan seluruh jentera Kerajaan Madani akan terus bekerja keras untuk memakmurkan ekonomi negara, memperkukuh keadilan sosial, dan mengembalikan segala hasil kemakmuran ini kepada rakyat Malaysia yang menjadi nadi perjuangan kita," tegas beliau semasa membentangkan Bajet 2026 itu di Parlimen pada Jumaat, 10 Oktober 2025.

Selain itu, Anwar berkata, beliau terharu melihat sambutan luar biasa terhadap inisiatif Sumbangan Asas Rahman (SARA) Untuk Semua yang diperkenal pada Ogos 2025 lalu sebagai penghargaan untuk rakyat.

Antaranya:
- Pendidikan percuma di IPTA untuk keluarga berpendapatan rendah
- Pengecualian bayaran balik PTPTN untuk keluarga berpendapatan rendah dan sederhana
- 9 juta penerima STR terima SARA bulanan sehingga RM1,200 setahun
- SARA Untuk Semua diteruskan – RM100 kepada 22 juta rakyat dewasa
- Gaji penjawat awam naik melalui SSPA Fasa 2 + Bantuan Khas Kewangan RM500
- 4,500 doktor kontrak diserap tetap, dan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) dinaikkan 40%
- Pesawah terima bantuan sehingga RM4,300 sehektar setiap musim
- RM7.9 bilion untuk TVET – fokus bidang AI, semikonduktor, EV dan maritim
- RM12.9 bilion untuk pembangunan Sabah (RM6.9 bilion) dan Sarawak (RM6 bilion)
- RM2.2 bilion untuk 43 projek Rancangan Tebatan Banjir
- RM2.6 bilion untuk martabat syiar Islam
- Duti eksais produk rokok dinaikkan
- Duti eksais arak naik 10%

Berikut beberapa intipati manfaat baharu untuk rakyat di bawah Bajet 2026
(Kredit kepada Sinar Harian):
BANTUAN TUNAI LANGSUNG
Program STR & SARA diteruskan dan diperluas kepada lebih banyak rakyat.
PENDIDIKAN PERCUMA IPTA
Pembiayaan PTPTN dihapuskan untuk 5,800 pelajar B40 yang layak di IPTA.
PELUANG PEKERJAAN DOKTOR
4,500 doktor kontrak akan diserap menjadi pekerja tetap pada tahun 2026, manakala Kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) dinaikkan sekitar 40 peratus
KOMUNITI LEBIH SEJAHTERA
RM1 bilion diperuntukkan untuk program komuniti seperti Sekolah Angkat, Kampung Angkat dan aktiviti ekonomi tempatan.
KOS SARA HIDUP TERKAWAL
Program Jualan Rahmah diteruskan untuk membantu rakyat mengurangkan perbelanjaan harian.

SOKONGAN KESIHATAN TELITI
Hasil cukai produk tidak sihat (rokok & arak) disalur untuk rawatan penyakit paru-paru, diabetes dan jantung, manakala sebanyak RM60 juta dana bersama Kerajaan dan industri disediakan bagi memperkenal produk insurans asas mampu milik untuk semua dan melaksanakan Diagnosis Related Group (DRG)
SOKONGAN PETANI & NELAYAN
Subsidi, bantuan dan insentif kepada pesawah dan nelayan ditambah baik untuk jamin pendapatan lebih mampan.
PELANCONGAN DIPACU
Sasaran 47 juta pelawat dengan peruntukan RM700 juta untuk merancakkan ekonomi dan peluang perniagaan.
PERLINDUNGAN PEKERJA GIG
Perlindungan sosial melalui KWSP & PERKESO diperkukuh untuk keselamatan pekerjaan yang lebih baik dan tambahan 80 ribu lagi pembeli rumah pertama ditawarkan jaminan SJKP yang meningkat sehingga RM 20 bilion
PENJANAAN EKONOMI KAMPUNG
Dana Sejati Madani menyediakan sehingga RM100,000 bagi setiap kampung untuk program ekonomi komuniti.
PENGHARGAAN KEPADA PENJAWAT AWAM
Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah, Kadar Bantuan Sara Hidup daripada RM300 kepada RM500 sebulan untuk 4,000 pesara kontrak KEMAS, dan kenaikan gaji hakim sehingga 30 peratus

PENDIDIKAN DIPERKASA
Hampir RM2 bilion disediakan bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif khususnya di Sabah Sarawak dan 38 buah sekolah baharu akan dibina untuk memenuhi keperluan penduduk setempat, di samping 150 ribu murid OKU menerima elaun RM150 sebulan, serta RM870 juta Rancangan Makanan Tambahan untuk membekalkan makanan berkhasiat kepada 870 ribu murid
PENGUKUHAN SYIAR ISLAM
Had pengeluaran KWSP untuk tujuan menunaikan ibadat haji ditingkatkan kepada RM10,000 daripada RM3,000, manakala untuk penjawat awam, kemudahan pengeluaran awal GCR diperluas bagi tujuan menunaikan Haji terhad kepada penebusan RM10,000 ribu dengan peruntukan RM10 juta, serta sumbangan khas RM500 kepada lantikan kontrak dengan guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut. - KitaReporters/Kenyataan Media
