KONGRES Usahawan Muslim anjuran Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia Berhad (KoPPIM) dan Brainy Bunch Sdn Bhd yang diadakan baru-baru ini menjadi platform perkongsian bijak dan saluran orang ramai untuk bertukar pandangan berkenaan isu berkenaan.
Pasar Raya Ikhwan membuktikan jika bersatu padu dan bekerjasama, ekonomi Islam boleh dibangunkan.
Ia juga menjadi suatu inisiatif bagi mengembangkan perniagaan golongan Bumiputera yang memfokuskan kepada semangat kerjasama secara efisent dalam kalangan semua pihak.
Kongres itu turut membabitkan perbincangan antara panel dan interaksi secara langsung dengan peserta untuk menawarkan audiens dengan perbincangan secara mendalam berkenaan cabaran dan cadangan berkenaan ekonomi golongan Bumiputera.
Tajuk kongres diadakan itu adalah "Pengguna Pemilik Ekonomi” dengan menampilkan tiga penceramah terdiri daripada Pengerusi Eksekutif KoPPIM, Mohd Fadzil Hashim; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISB), Datuk Lokman Hakim.
Kongres berlangsung pada 10 Oktober lalu di Auditorium Brainy Bunch, Putrajaya itu menarik lebih 200 peserta yang membabitkan orang awam, usahawan Bumiputera, pengurusan Raudah City Sdn Bhd, pimpinan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (MAPIM), pimpinan GISB dan badan bukan Kerajaan (NGO).
Ketika menyampaikan perkongsiannya, Mohd Fadzil berkata, pihaknya percaya kongres berkenaan akan memainkan peranan untuk menyumbang kepada perbincangan matang dalam meningkat sistem ekonomi orang Islam yang dilihat jauh di belakang.
Mohd Fadzil berkata, usahawan Bumiputera umpama tinggal di padang orang lain yang ditentukan pemiliknya, selagi kita masih tidak mempunyai sistem ekonomi Islam sepenuhnya maka kita akan ketinggalan selamanya.
Menurut beliau, sekiranya sistem ekonomi Islam itu dapat diwujudkan dengan baik, maka ia mampu berfungsi bagi menjaga maruah dan ekonomi masyarakat Islam itu sendiri.
Katanya, sebagai salah satu inisiatif pihaknya telah membangunkan perniagaan secara dalam talian www.hayib com sama seperti Lazada dan Shopee yang pertama bagi memasarkan produk Muslim secara dalam talian.
"Kita himpunkan seluruh usahawan Muslim di sini bagi memberi peluang kepada usahawan memasarkan produk mereka di samping membantu pengguna mendapatkan barangan yang dijamin halal dan toyyiban.
"KoPPIM yang kita wujudkan juga bertujuan membantu usahawan Muslim dan mempunyai matlamat jangka panjang dengan ‘Save The Ummah Fund’ melalui penyediaan perkhidmatan pinjaman tanpa riba, tajaan pendidikan dan kesihatan kepada orang ramai," katanya.
Ketua aktivis PPIM, Nadzim Johan pula menjelaskan, pengalaman berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang memimpin persatuan itu telah membuka idea bagi dirinya untuk membantu mengukuhkan ekonomi masyarakat Islam.
Menurut beliau, mencetuskan idea itu bukannya suatu perkara yang sukar, tetapi yang sukar adalah mencari orang untuk melaksanakan idea itu.
Katanya, pertemuan diadakan bersama Fadzil telah membuka ruang untuk merealisasikan penubuhan KoPPIM yang dilihat sebagai alternatif bagi menentukan ekonomi Bumiputera terus berkembang.
Menurut beliau, perkara paling penting adalah kerjasama secara efisen dalam kalangan semua pihak yang dilihat sebagai senjata utama bagi menentukan ekonomi Bumiputera terus berkembang.
Justeru katanya, semua pihak perlu bersatupadu dan berkerjasa secara bersungguh-sungguh bagi merelasisikan semua cadangan itu dapat dicapai,sekaligus menjadi sebagai peneraju ekonomi di negara ini.
Sementara itu, Lokman berkata, orang ramai boleh berkongsi idea dan mengambil contoh bidang perniagaan diceburi GISB dengan mengamalkan perniagaan tanpa riba.
Menurut beliau, di samping dapat meningkatkan ekonomi Muslim, produk ditawarkan itu juga dapat meyakinkan pelanggan bagi membuat pilihan.
Pada masa sama, beliau turut memuji penubuhan laman perniagaan dalam talian www.Hayib Com yang menyasarkan kepada usahawan Islam itu dilihat sebagai satu langkah bijak bagi mewujudkan jaringan perniagaan secara kolobrasi antara umat Islam.
"Kewangan bukanlah pokok utama untuk membangun ekonomi Islam, namun yang penting adalah kesepaduan dan kerjasama semua pihak supaya ia menjadi suatu ibadah seterusnya mendapat rahmat dari Allah," katanya.
Gambar ihsan https://www.anjangmuor.com/2019/10/10/kongres-usahawan-muslim/