Kota-kota raya atau Kota Madani yang mahu dan akan dibina khususnya yang bersifat kota pintar perlulah bukan semata-mata hutan konkrit tetapi juga dapat menegakkan keadilan sosial, kelestarian alam sekitar dan nilai serta warisan nasional.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) adalah gagasan masa depan, dan merupakan suatu realiti yang sedang negara ini rintis bersama.
"Kerajaan melihat kota pintar berlandaskan prinsip-prinsip Madani adalah wahana bagi memperkasa rakyat, memperluas akses kepada peluang-peluang yang ada, serta memastikan setiap warga merasa dan menikmati manfaat dari kemajuan teknologi," jelas beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan Smart City Expo Kuala Lumpur (Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur atau SCEKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis, 18 September 2025.
Beliau berkata, kota yang benar-benar pintar tidak hanya berlandaskan teknologi semata, tetapi mesti menjadi ruang hidup yang inklusif, lestari dan berbudaya.

"Ibnu Khaldun dalam ‘Muqaddimah’ menegaskan melalui teori Umran Hadari bahawa kota adalah pusat atau pangkalan tamadun, sementara novilis dan pemikir Amerika Syarikat Mark Twain mengingatkan bahawa sebuah kota tidak seharusnya menjadi “hutan konkrit yang tandus budaya”.
"Justeru, kita mesti membangun kota yang canggih secara teknologi tetapi kekal mengakar pada jati diri, nilai dan warisan khazanah bangsa," tegasnya.
Sehubungan itu, katanya, ikhtiar membangun Kota Madani dan Smart City Kuala Lumpur adalah tekad kerajaan untuk Malaysia dapat bersaing di bidang ekonomi dan inovasi, di samping menegak keadilan sosial, kelestarian alam, serta maruah nasional. - KitaReporters/Kenyataan Media
