Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu mantapkan aspek kawal selia tanah supaya lebih inklusif dan responsif serta melindungi kepentingan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) menjadi platform penting yang menyatukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meneliti perancangan serta pengurusan tanah negara agar dimanfaatkan secara optimum dan seimbang antara tuntutan ekonomi, keperluan sosial serta kelestarian alam sekitar.
"Sehubungan itu, mesyuarat hari ini (Isnin, 17 November 2025) memberi penekanan kepada usaha memantapkan aspek kawal selia tanah supaya lebih inklusif, melindungi kepentingan rakyat, serta responsif terhadap keperluan dan realiti semasa.
" Selain itu, mesyuarat turut bersetuju dan berpegang teguh kepada komitmen mengekalkan 50 peratus keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan, selaras dengan aspirasi antarabangsa dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) 2026–2030," ujar beliau.
Anwar berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat MTN Ke-82 di Putrajaya.

MTN bertanggungjawab untuk membentuk dasar tanah negara dan menasihati Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mengenai hal-ehwal penggunaan tanah.
Ia memainkan peranan penting dalam memastikan keseragaman dan kemantapan pentadbiran tanah di seluruh negara, dengan memastikan dasar-dasar tanah dipatuhi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Perdana Menteri berkata, bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksana dengan segera demi kebajikan rakyat, beliau turut menyeru agar Kerajaan Persekutuan dan Negeri terus memperkukuh kerjasama.
"Ini khususnya dalam mempercepat proses kelulusan urusan tanah bagi tujuan pembangunan, tanpa menjejaskan prosedur sedia ada dan tetap menghormati bidang kuasa Kerajaan Negeri.
"Kerajaan Madani akan terus berikhtiar mengangkat agenda pembangunan yang berimbang antara keperluan manusia dan kelestarian alam, selari dengan prinsip kemampanan sebagai salah satu teras utama konsep Madani," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media
