
Oleh DR. ZAIRIHAN ABDUL HALIM
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Pasaran saham Malaysia mengalami kejatuhan mendadak pada awal minggu ini, apabila penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot di bawah paras sokongan kritikal 1,500 susulan berita ancaman tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Langkah ini, yang menunjukkan pendirian perdagangan yang lebih proteksionis dan berpotensi menyasarkan rakan dagang utama AS termasuk Malaysia, mengejutkan sentimen pelabur yang sedia rapuh berikutan kebimbangan terhadap langkah seterusnya oleh Federal Reserve dan data ekonomi global.
Setakat 10 April 2025, FBM KLCI ditutup pada 1,463.13, meningkat semula selepas kejatuhan harian melebihi 40 mata (-2.98%) pada hari Rabu, iaitu antara penurunan paling ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menunjukkan betapa sensitifnya pasaran serantau terhadap perkembangan berkaitan tarif.
Dari segi teknikal, penjualan besar-besaran ini mengesahkan kejatuhan di bawah zon sokongan psikologi jangka sederhana sekitar 1,500. Jika sentimen global terus merosot, indeks mungkin menguji paras sokongan seterusnya sekitar 1,380, paras yang pernah diuji semasa fasa pemulihan pandemik.
Untuk pemulihan, pergerakan kukuh melepasi paras 1,500 diperlukan bagi mengembalikan keyakinan pelabur. Kenaikan semula pada hari Khamis, 10 April 2025, banyak didorong oleh kelegaan sementara susulan pengumuman Trump mengenai penangguhan tarif selama 90 hari, dan juga harapan terhadap rundingan dasar bagi mengurangkan kesan tarif tersebut.
Namun, penangguhan pelaksanaan tarif itu tidak menghapuskan hakikat bahawa tarif selimut sebanyak 10% masih berkuat kuasa, dan tarif ke atas import dari China kini telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 145%.

Bagi Malaysia, implikasinya boleh menjadi besar, bukan sahaja kerana pendedahan langsung kepada pasaran AS, tetapi juga kesan tidak langsung daripada kemerosotan permintaan daripada China, rakan dagang terbesar Malaysia.
Perang perdagangan AS-China pada 2018 memberikan pandangan penting tentang bagaimana ketegangan geopolitik berpanjangan dan peningkatan tarif boleh menjejaskan ekonomi terbuka seperti Malaysia.
Ketika itu, siri tindakan balas antara dua ekonomi terbesar dunia telah mengganggu aliran dagangan sedia ada, dengan kesan berantai di seluruh rantau Asia-Pasifik.
Kesan terhadap ekonomi Malaysia ketika itu agak ketara dan berpanjangan sehingga tahun 2019. Permintaan global yang lemah dan ketegangan perdagangan berterusan menyebabkan eksport kasar Malaysia menguncup sebanyak 1.7% pada tahun 2019, berbanding pertumbuhan 7.3% pada 2018.
Tambahan pula, ketidaktentuan dasar perdagangan dan penyesuaian semula rantaian bekalan menjejaskan sentimen perniagaan. Ini dapat dilihat menerusi penyusutan perbelanjaan modal sektor swasta sebanyak 2.1% pada tahun 2019.
Syarikat yang berfokuskan pasaran domestik dan eksport menjadi lebih berhati-hati, melambatkan keputusan pelaburan kerana bimbang ketidakstabilan berpanjangan dan perubahan dasar yang tidak dapat dijangka.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, landskap eksport Malaysia ke AS banyak dipacu oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E), diikuti jentera, peralatan, dan instrumen optik. Sektor E&E sahaja merangkumi lebih daripada 50% daripada jumlah eksport Malaysia ke AS
Pengumuman Presiden Trump mengenai tarif sebanyak 24% ke atas barangan import dari Malaysia berkuat kuasa 9 April 2025 telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan industri berorientasikan eksport.
Walaupun kadar tarif yang dicadangkan adalah lebih rendah berbanding beberapa negara ASEAN lain, kesannya terhadap perdagangan dan persekitaran perniagaan Malaysia mungkin sama teruk, atau lebih parah, berbanding gangguan yang berlaku semasa perang perdagangan AS-China pada 2018.

Dua faktor utama menjadikan situasi pada 2025 lebih mencabar. Pertama, berbeza dengan tahun 2018 di mana Malaysia hanya merupakan pemerhati dalam pertikaian tarif AS-China, langkah terkini menyasarkan eksport Malaysia secara langsung dengan tarif selimut sebanyak 24%.
Kedua, peranan Malaysia yang semakin penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global sejak 2018 menjadikan ekonomi lebih bergantung kepada permintaan luar.
Walaupun peningkatan peranan ini telah memacu pertumbuhan eksport, ia kini menjadikan Malaysia lebih terdedah, terutama jika berlaku kelembapan permintaan dari ekonomi utama.
Sebagai tindak balas terhadap cabaran ini, sudah tiba masanya kerajaan Malaysia memberi keutamaan kepada usaha mempelbagaikan pasaran eksport bagi mengurangkan kebergantungan kepada AS.
Dengan mengukuhkan hubungan perdagangan dengan rantau utama seperti ASEAN, Asia Tengah, dan Eropah, Malaysia boleh meningkatkan daya tahan sektor eksportnya.
Episod perang perdagangan 2018–2019 memberikan pengajaran penting kepada kerajaan Malaysia dalam merangka dasar yang berkesan untuk mengekalkan aktiviti ekonomi domestik semasa berdepan kejutan luaran.
Ketika itu, penggunaan swasta memainkan peranan utama dalam menyerap kesan daripada kejatuhan permintaan luar, menyumbang lebih 50% kepada KDNK Malaysia.
Ketahanan ini disokong oleh pasaran buruh yang kukuh, beban cukai yang lebih rendah, dan kesinambungan program bantuan tunai bersasar, yang semuanya membantu mengekalkan sentimen dan perbelanjaan pengguna.
Walaupun kekangan fiskal semasa mungkin mengehadkan keupayaan kerajaan untuk melaksanakan pakej rangsangan berskala besar, masih ada justifikasi kukuh untuk melaksanakan inisiatif dasar yang disasarkan bagi mengekalkan permintaan domestik yang stabil.
Langkah-langkah ini amat penting untuk meredakan kesan negatif daripada peningkatan tarif 2025 dan memastikan momentum perbelanjaan pengguna terus berterusan.
Profesor Madya Dr. Zairihan Abdul Halim, Pakar Kewangan dan Perbankan, Ekonometrik Gunaan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Artikel ini adalah pandangan penulis.
