Bisnes & Ekonomi 01 Nov, 2025

APEC jadi jambatan! Bukan sahaja bagi Asia Pasifik! Tapi juga antara Amerika Latin dan Afrika! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) harus menjadi jambatan bukan sahaja bagi ekonomi Asia Pasifik, tetapi juga dalam memperluas keterlibatan dengan rantau Amerika Latin dan Afrika.



Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keterlibatan itu penting dalam dunia menuju sebuah tatanan ekonomi dunia yang lebih adil dan seimbang antara negara maju (Negara Utara) dan negara membangun (Negara Selatan) atau antara Global North dan Global South.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara semasa sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Gyeongju, Korea Selatan pada Jumaat, 31 Oktober 2025.

APEC ialah sebuah forum ekonomi di rantau Asia-Pasifik yang bertujuan untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan bebas, pemudahcaraan perniagaan, serta kerjasama ekonomi dan teknikal antara anggotanya. 

Ia ditubuhkan pada tahun 1989 dan terdiri daripada 21 ekonomi anggota yang bekerja bersama untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran serantau yang lestari. 



Anwar berkata, dengan berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, keyakinan beliau semakin teguh bahawa dialog dan kerjasama serantau bukan sekadar wajar sebaliknya suatu keperluan mendesak.

"Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja menjadi peringatan bahawa keamanan dan kemakmuran tidak akan kekal tanpa kepercayaan, kesabaran dan rundingan berterusan. 

"Prinsip yang sama harus diangkat dalam konteks Gaza dan Ukraine bahawa penyelesaian berasaskan dialog, bukan kekerasan, adalah satu-satunya jalan menuju keamanan yang hakiki," tegas beliau.

Pada masa sama, APEC pula terbukti sebagai pelopor yang memacu semangat keterbukaan, menggalas tanggungjawab moral dan memperkenal norma ekonomi global berasaskan kerjasama sukarela, bukan paksaan.



"Kini, APEC sedang memupuk idea baharu yang menyentuh cabaran masa depan: pertumbuhan hijau dan kewangan mampan, transformasi digital dan keterangkuman teknologi, rantaian bekalan yang berdaya tahan, serta peralihan tenaga bersih dan keselamatan makanan.

"Semua ini seiring dengan aspirasi Ekonomi Madani yang membina ekonomi yang inklusif, berdaya tahan dan mampan demi manfaat seluruh rakyat.

"Kerjasama sejati menuntut penyertaan menyeluruh antara kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat, bukan untuk berkongsi kuasa tetapi berkongsi tujuan," jelas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
13
0
18
0
You will be interested