
Oleh DR AHMAD SHAUQI MOHAMAD ZUBIR
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Pengumuman terbaharu oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenai kenaikan tarif import telah mencetuskan pelbagai reaksi global termasuk dari Malaysia.
Ramai bertanya: Apa kesannya kepada negara kita? Bagaimana industri, nilai Ringgit, import dan eksport bakal terjejas? Yang lebih penting, apa langkah yang perlu kita ambil?
Kenaikan tarif bermaksud harga produk Malaysia di pasaran AS akan menjadi lebih mahal. Kenaikan harga lazimnya menyebabkan penurunan permintaan iaitu satu realiti biasa dalam perdagangan antarabangsa.
Tekanan ini sudah tentu memberikan kesan kepada sektor eksport negara.
Namun, berita baiknya, Malaysia tidak memilih jalan konfrontasi seperti mengenakan 'retaliatory tariff' terhadap AS. Sebaliknya, negara kita mengambil pendekatan diplomatik dengan menawarkan rundingan.
Pendekatan ini adalah langkah yang lebih bijak untuk mengelakkan kitaran tindakan balas yang hanya akan memburukkan keadaan.
Sebenarnya, Malaysia tidak terlalu bergantung kepada pasaran AS semata-mata. Sejak beberapa tahun lalu, negara kita giat meneroka pasaran baharu seperti ASEAN, China, Timur Tengah dan Eropah.
Ini sebahagian daripada strategi mempelbagaikan destinasi eksport supaya ekonomi kita tidak terdedah kepada risiko daripada satu pasaran sahaja.
Selain itu, dasar-dasar dalaman seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) diperkenal untuk memperkukuh rantaian bekalan dan meningkatkan daya saing industri tempatan.
Usaha ini penting bagi memastikan industri kita lebih kukuh dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Di sebalik cabaran, peluang baharu turut wujud. Apabila tarif AS dikenakan lebih tinggi terhadap negara-negara Asia lain terutama China, syarikat-syarikat asing mungkin melihat Malaysia sebagai destinasi alternatif untuk membuka kilang dan menyalurkan produk eksport ke AS.
Kedudukan strategik Malaysia serta hubungan perdagangan yang baik dengan AS menjadi kelebihan besar dan perlu dimanfaat sebaiknya.
Namun, peluang ini hanya dapat direbut sekiranya perusahaan dan industri tempatan cukup bersedia.
Walaupun kesiapsiagaan sektor industri masih boleh dipertikaikan, penangguhan selama 30 hari sebelum tarif baharu dikuatkuasakan memberi ruang penting untuk merancang dan menyusun strategi. Ini bukan hanya soal bertahan, tetapi peluang untuk melonjak lebih jauh.
Pengeksport Malaysia perlu menggandakan usaha untuk mengurangkan kesan tarif ini.
Pertama, mereka boleh meneroka peluang pengecualian atau pengurangan tarif melalui sistem klasifikasi seperti Harmonized Tariff Schedule of the United States (HTSUS).
Setiap produk diklasifikasikan secara spesifik dan terdapat ruang dalam sesetengah kes untuk pengecualian atau kadar tarif yang lebih rendah dengan syarat mematuhi prosedur yang betul.
Kedua, MATRADE sebagai agensi promosi perdagangan negara memainkan peranan penting. MATRADE boleh membantu pengeksport mendapatkan konsultan perdagangan berpengalaman untuk mengemudi lanskap perdagangan AS yang semakin kompleks.
Selain itu, ada juga kebarangkalian syarikat Malaysia yang mungkin tergoda untuk menikmati tarif lebih rendah dengan cara memindahkan operasi ke negara ketiga.
Namun, dari sudut nasional, langkah ini perlu dipertimbang dengan sangat berhati-hati kerana ia boleh mengurangkan nilai tambah ekonomi domestik dan memberi kesan terhadap penawaran peluang pekerjaan dalam negara.

Walaupun kenaikan tarif oleh AS menambah tekanan terhadap perdagangan global, Malaysia masih mempunyai ruang untuk menyesuaikan diri dan mengurangkan kesan buruk.
Pendekatan diplomasi, usaha mempelbagaikan pasaran, memperkukuh rantaian bekalan dan meningkatkan kesiapsiagaan industri perlu dipergiat secara agresif.
Dalam setiap cabaran, pasti ada peluang. Yang penting, kita perlu kekal tenang, bertindak strategik dan bergerak pantas. Inilah masa untuk Malaysia membuktikan kemampuannya sebagai pemain ekonomi global yang matang dan berdaya tahan.
Dr Ahmad Shauqi Mohamad Zubir ialah pensyarah (Kewangan Korporat, Pasaran Kewangan) di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Tulisan ini adalah pandangan penulis.
