Padah menyimpan minyak diesel tanpa permih sah. Sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Cawangan Manjung melakukan satu serbuan menerusi Ops Tiris 2025 ke atas sebuah premis penyembelihan khinzir, di Ayer Tawar, Perak.

Serbuan pada jam 5 petang pada 30 September 2025 itu dilaksanakan hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh penguat kuasa KPDN Perak ke atas aktiviti membanteras penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di kawasan Manjung.
Modus
operandi sindiket ini adalah dengan mendapatkan minyak diesel dipercayai
daripada stesen-stesen minyak sekitar Manjung, sebelum dipindahkan ke dalam
tangki IBC yang disimpan di premis terbabit untuk dijadikan stor simpanan bagi
kegunaan sendiri serta jualan semula tanpa permit sah.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 2,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam tangki-tangki IBC.
Beliau berkata, dua orang lelaki tempatan berusia 39 tahun dan 49 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori dan kelindan lori.
“Kedua-duanya
didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit
menyimpan barang kawalan daripada Pengawal apabila diminta oleh pasukan
pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan pada 1 Oktober 2025.
Sehubungan itu, Kamalludin berkata, satu tindakan kes telah diambil dengan menyita 2,000 liter minyak diesel, sebuah lori dan enam buah tangki IBC beserta pam dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM42,680.

Menurut
beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki
melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak
diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya bagi orang perseorangan, manakala bagi mana-mana pertubuhan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM5 juta di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, jika disabitkan kesalahan. - KitaReporters