Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Berhad (FGV) mengambil maklum dan memandang serius notis-notis amaran pendudukan secara tidak sah/kesalahan menceroboh di Daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman, Terengganu yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada 30 November, 1 dan 2 Disember 2025.
Notis-notis amaran ini merujuk kepada ladang lot Felda dan FGV.

Walaupun Kerajaan Negeri Terengganu mempunyai bidang kuasa dalam urus tadbir tanah, namun notis-notis amaran yang dikeluarkan yang memberikan tempoh tiga (3) hari untuk Felda dan FGV mengosongkan atau merobohkan struktur binaan serta memusnahkan tanaman merupakan tempoh yang amat ketat, menekan dan sangat terhad/singkat dalam konteks pengurusan ladang dan operasi komersial.
Felda mempunyai hak dan asas yang jelas serta kukuh di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530], yang memberi mandat dan tanggungjawab secara langsung kepada Felda untuk membangunkan Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA).
Ini juga selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah Akta Pembangunan Tanah 1956 [Akta 474].
Buat masa ini, Felda dan FGV sedang menjalankan proses semakan menyeluruh ke atas semua dokumen berkaitan, termasuk sejarah, rekod pembayaran, bayaran premium tanah, status hak milik dan syarat-syarat pembangunan ladang.
Proses semakan ini dilaksanakan secara teliti melalui audit tanah yang komprehensif dan verifikasi silang dengan data pihak berkuasa negeri bagi memastikan ketepatan dan kelengkapan semua maklumat.
Felda dan FGV akan bertindak berdasarkan rekod rasmi dan dokumentasi yang disahkan serta disokong oleh fakta.

Pembangunan ladang komersial Felda dan FGV di Negeri Terengganu selama ini bertujuan menjana pendapatan bagi menyokong pembangunan komuniti, penyediaan infrastruktur dan pelaksanaan program peningkatan sosioekonomi peneroka.
Ekosistem perladangan secara lestari melibatkan pengeluaran buah sawit hinggalah kepada pemprosesan buah tandan segar (BTS) ke jualan minyak sawit dilakukan oleh anak syarikat Felda iaitu FGV.
Operasi ini turut memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan, perkhidmatan sokongan dan rantaian industri lain di negeri tersebut.
Felda dan FGV mengakui wujudnya pelbagai pandangan dan spekulasi.
Felda dan FGV ingin menegaskan bahawa isu ini akan ditangani sepenuhnya secara profesional melalui prosedur perundangan yang ditetapkan bagi menjamin ketelusan dan keadilan dalam setiap tafsiran serta keputusan yang akan dibuat.
Felda dan FGV sedang meneliti implikasi undang-undang ini secara mendalam dan akan mengambil semua langkah yang perlu bagi mengurus kesannya terhadap Felda dan FGV supaya kepentingan peneroka terus terpelihara.
Pendekatan ini adalah untuk memastikan perlindungan hak setiap pihak yang terlibat, termasuk menjamin kesinambungan pendapatan kesemua 1,283 pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada operasi ladang-ladang tersebut.
Kebajikan pekerja Felda dan FGV, kepentingan komuniti peneroka serta kestabilan sosioekonomi komuniti setempat akan terus dipertahan sebagai keutamaan tertinggi dalam sebarang proses dan penyelesaian.

Felda dan FGV ingin menegaskan bahawa notis-notis amaran yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi ladang peneroka dan seluruh komuniti peneroka di Felda Wilayah Terengganu.
Komuniti peneroka boleh meneruskan aktiviti sara hidup seperti biasa.
Walau bagaimanapun, notis-notis amaran ini mempunyai implikasi langsung terhadap operasi Felda dan FGV khususnya perancangan jangka panjang dan kelancaran aktiviti komersial yang berkaitan.
Impaknya turut merangkumi penurunan hasil yang menyumbang kepada pendapatan negara, sekali gus memberi kesan kepada komuniti peneroka yang bergantung kepada prestasi sektor perladangan.
Felda dan FGV kekal optimis bahawa penyelesaian terbaik akan dapat dicapai melalui proses perundangan yang teratur dan semangat kerjasama antara semua institusi kerajaan yang terlibat.
Felda dan FGV beriltizam untuk memastikan setiap tindakan yang dilaksanakan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dengan tetap memelihara kepentingan pekerja, komuniti peneroka, menghormati bidang kuasa negeri serta menyumbang kepada kestabilan industri perladangan negara secara keseluruhan. - KitaReporters/Kenyataan Media
