
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) terus komited dalam memperkasa pengurusan hasil sawit peneroka melalui pelaksanaan inisiatif baharu, Pusat Mengumpul Sawit (PMS) Lestari di Felda Bukit Damar, Pahang yang secara rasmi dinamakan dengan nama baharunya PMS Damar Berkat oleh Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA.
Inisiatif ini merupakan langkah strategik FELDA dalam menyelesaikan isu ketirisan hasil dan memastikan rantaian nilai pengeluaran sawit diurus secara telus, sistematik dan mampan.
Ketika ini, pengurusan ladang peneroka terbahagi kepada dua kaedah iaitu yang diuruskan oleh FELDA atau FELDA Plantation Management Sdn Bhd dan peneroka mandiri.
Namun, penjualan hasil kepada orang tengah atau peraih telah menyebabkan ketirisan yang dianggarkan mencecah RM200 juta setahun.
Model baharu PMS melantik Koperasi Permodalan FELDA (KPF) sebagai super dealer yang bertanggungjawab membeli, mengumpul dan mengalihkan hasil sawit peneroka secara terus ke kilang.
Pelaksanaan ini mewujudkan sistem pengurusan hasil yang lebih efisien, telus dan berpusat, sekali gus menjamin kualiti, meningkatkan pendapatan bersih peneroka dan memberi pulangan tambahan melalui dividen KPF.
Inisiatif ini secara langsung melengkapkan rantaian nilai sawit berasaskan konsep “daripada peneroka, untuk peneroka”.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Shabery menjelaskan, dalam usaha mengembalikan hak peneroka yang sekian lama terjejas akibat dimanipulasi oleh peraih dan kerana ketirisan sistem, FELDA bertindak dengan melancarkan pusat pengumpulan hasil sawit bersepadu Damar Berkat - Pusat Mengumpul Sawit (PMS) atau PMS Damar Berkat.
Beliau kata, langkah ini disifatkan sebagai titik permulaan kepada reformasi besar-besaran dalam pengurusan hasil peneroka yang sebelum ini menjadi mangsa kepada rantaian sistem tidak telus yang didalangi peraih, sindiket penimbang dan ejen luar.
“Sistem lama telah membuka ruang kepada “singa, buaya dan gajah” yang menindas peneroka melalui manipulasi harga dan penipuan timbangan. Peneroka kerja siang malam, tetapi hasilnya orang lain kaut.
“FELDA tidak boleh lagi berdiam diri. Ketirisan yang berlaku bukan sahaja merugikan peneroka secara individu, malah FELDA secara keseluruhan dengan anggaran kerugian mencecah RM200 juta setahun akibat kehilangan hasil tidak direkod dan aktiviti luar sistem.
“Mereka (peraih) memanipulasi hasil sawit, ambil untung tanpa usaha, sawit ‘hilang’ di tengah jalan malah pembayaran tidak telus. Situasi ini telah melemahkan kedudukan koperasi dan menjejaskan ekosistem pembangunan luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, jelas Ahmad Shabery, FELDA kini meletakkan semula kawalan penuh ke atas proses pengumpulan hasil sawit, bermula dari ladang hingga ke kilang selaras dengan penubuhan PMS Damar Berkat
“Segala keuntungan daripada operasi Damar Berkat akan disalurkan semula kepada peneroka melalui dividen koperasi sebagai satu lagi langkah yang memperkukuh kembali kekuatan ekonomi warga tanah rancangan.
“Ini bukan soal sawit semata-mata. Ini soal keadilan. Ini soal kita menuntut kembali apa yang sepatutnya menjadi milik kita,” ujarnya lantang.

Kongsi Pengerusi Felda itu lagi, setiap hasil kini direkod secara digital dan dipantau melalui sistem yang telus, sekali gus menutup terus ruang manipulasi oleh orang tengah dan akan dikendalikan sepenuhnya oleh KPF.
“Sebelum ini, KPF pernah mengalami kejatuhan dividen yang ketara daripada sekitar 14 peratus kepada hanya lima peratus ekoran kelemahan dalam sistem agihan hasil.
"Dengan pembaharuan ini, FELDA mensasarkan pemulihan semula kekuatan koperasi sebagai nadi pembangunan ekonomi komuniti peneroka.
"FELDA sedang mengambil inisiatif dengan mengunakan sistem kebolehjejakan dan teknologi lebih bersepadu dan mampan bagi mengurangkan ketirisan. Harapan kami, langkah itu akan memberi pulangan secara terus kepada peneroka.
"Malah, FELDA juga memperkenal penggunaan lori EV, Sustainable Future (SF) dengan sistem kebolehjejakan dan teknologi lebih bersepadu bagi mengurangkan kebocoran dalam system," ujarnya.
Pengerusi FELDA itu turut menekankan bahawa Damar Berkat bukan sekadar pusat pengumpulan fizikal, tetapi simbol perjuangan mengembalikan maruah dan hak peneroka yang pernah terabai.
Ujarnya lagi, langkah itu juga diharap dapat menghapuskan budaya kebergantungan kepada peraih yang selama ini mengambil kesempatan ke atas peneroka yang tidak mempunyai pilihan lain.
“Peneroka tidak lagi perlu menghantar buah sawit ke luar sistem dengan bayaran tidak telus dan dipotong secara tidak sah.
"Pusat pengumpulan ini turut akan menjadi pangkalan data hasil peneroka yang lebih sistematik, membantu FELDA merancang strategi pasaran, logistik dan bantuan subsidi dengan lebih tepat dan bersasar.

“Ini selaras dengan transformasi FELDA ke arah organisasi yang berdaya saing dan mampan dalam memulihkan semula kepercayaan peneroka terhadap institusi ini, yang sebelum ini sedikit tercalar akibat kelemahan pengurusan dan pengaruh pihak luar.
“Peneroka kini bukan sahaja dapat menjual hasil pada harga yang lebih adil, malah menerima bayaran secara lebih cepat dan telus. Ini memberikan kelegaan besar kepada golongan yang selama ini terpaksa bergantung kepada bayaran tidak menentu daripada pembeli luar,” kongsinya. - KitaReportersKenyataan Media