Malaysia hadir pada Sidang Kemuncak Kumpulan 20 Ekonomi Utama Dunia (G20) bagi memastikan isu kelestarian, keadilan dan kesejahteraan tidak hanya wacana yang berlegar dalam kalangan elit tetapi realiti bagi jutaan insan di seluruh dunia.

"Malaysia komited untuk mencipta kerjasama pada peringkat global atau serantau dalam memastikan kelestarian, keadilan dan kesejahteraan tidak hanya wacana yang berlegar dalam kalangan elit.
"Tetapi satu realiti bagi jutaan insan yang menaruh harapan pada apa yang diputuskan hari ini di Johannesburg, Afrika Selatan," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di pentas G20 pada Sabtu, 22 November 2025.
Beliau berkata, persidangan itu mengingatkannya betapa dunia sedang bergerak pantas sambil mengendong dan menghadapkan kita dengan badai rempuhan tantangan dan juga harapan.
"Di Johannesburg, ketika semua negara hadir membicarakan tentang masa depan iklim, keterjaminan makanan dan peralihan tenaga, saya lontarkan bahawa suara rantau kita yang sekian lama dirundung risiko bencana dan tekanan malapetaka iklim mesti menjadi diambil kira dan mesti menjadi sebahagian daripada halatuju global.
"Pengalaman ASEAN telah menjadi petunjuk bahawa daya tahan tidak hanya terbina pada saat kemelut, tetapi mesti terpacul melalui pelaburan dan pendanaan awal, termasuk sistem amaran awal, dan kerjasama rentas sempadan yang berpaksikan kemanusiaan," jelas Anwar.

Katanya, pada ruang bicara yang sangat bertenaga itu, Malaysia mengangkat satu hakikat yang tidak mampu disembunyikan di balik retorik mual.
"Yakni bahawa tuntutan tenaga dunia masih belum selari dengan kemampuan teknologi bersih dalam mencapai matlamat tersebut.
"Dalam hal ini, kita mesti jujur, pragmatik dan berani. Lantaran itu, mesti ditegaskan di sini juga bahawa Malaysia sedang gigih melabur dalam teknologi yang mengurangkan jejak karbon dan dampaknya, dan ia mencakup daripada CCUS (Carbon Capture, Utilisation, and Storage atau Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon) sehingga kepada rangkaian tenaga serantau.
"Ini jalan sebenar untuk memastikan peralihan tenaga tidak hanya tinggal slogan semata tetapi mesti menjadi jalur yang dapat ditempuh oleh rakyat terbanyak tanpa menanggung beban yang memeritkan," jelas beliau.

Perdana Menteri turut megulangi bahawa pembangunan tidak akan bermakna sekiranya manusia dikesampingkan.
"Dunia memerlukan sistem kewangan iklim yang lebih adil, dukungan yang menyentuh nasib petani kecil, dan rangka kerja global yang tidak meminggirkan negara membangun jauh nun di belakang," tambahnya. - KitaReporters/Kenyataan Media