Bisnes & Ekonomi 29 Jan, 2026

Barulah betul! Larangan kenderaan asing beli RON95! Mula tak boleh jual, kini tak boleh beli! - MPPN

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sedang merangka peraturan baharu bagi menguatkuasakan larangan khusus terhadap pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing di stesen-stesen minyak.



MPPN berpandangan bahawa usaha ini adalah satu langkah penting bagi memastikan subsidi petrol RON95 yang diperuntuk oleh Kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia selaras dengan prinsip keadilan sosial dan perlindungan pengguna.

Maka, MPPN mengambil maklum penjelasan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali bahawa kerangka perundangan sedia ada melalui Peraturan 12A pada ketika ini hanya melibatkan larangan terhadap penjualan yang membolehkan tindakan diambil terhadap stesen minyak semata-mata.

Sehubungan itu, cadangan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang meliputi larangan bukan sahaja terhadap penjualan tetapi juga pembelian merupakan langkah yang wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menangani ketirisan subsidi.



MPPN menegaskan bahawa penyaluran subsidi tanpa kawalan yang berkesan boleh membuka ruang kepada:

  • ketirisan sumber awam;
  • penyalahgunaan oleh pihak tidak layak; serta
  • beban fiskal yang akhirnya menjejaskan kepentingan pengguna domestik.

Langkah ini juga dilihat sebagai usaha strategik untuk memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus dan mampan.

Sebagai badan penasihat utama kepada Kerajaan dalam hal ehwal pengguna, MPPN akan terus menyokong dasar dan inisiatif yang:

  • melindungi hak pengguna tempatan;
  • memperkukuh tadbir urus subsidi; dan
  • meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.



MPPN turut menggalakkan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna untuk memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.


Mohd Khair Ngadiron ialah Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN)


10
12
0
7
0
You will be interested