Bisnes & Ekonomi 03 Jul, 2024

Catatan Akademik| Bantu rakyat kurangkan kos sara hidup! Turunkan SST! Naikkan cukai barangan import!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Oleh DR. NOORKARTINA BINTI MOHAMAD

Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs)


Pengumuman yang dibuat oleh Kerajaan baru-baru ini berkenaan peningkatan cukai jualan dan perkidmatan (SST) sebanyak 2% telah menjadi perbualan hangat bagi majoriti penduduk Malaysia. 

Meskipun terdapat pengecualian kenaikan cukai SST terhadap perkhidmatan makanan dan minuman serta pengecualian cukai terhadap beberapa barangan dan perkhidmatan, telekomunikasi dan parkir, namun penduduk masih lagi terkesan dengan kenaikan cukai ini. 

Dalam konteks makanan asas seperti penjualan ayam proses di pasaran, Kerajaan telah menyatakan bahawa penjualan ayam tidak terkesan dengan cukai yang dikenakan, namun, harga ayam masih lagi mahal disebabkan oleh kos-kos implisit lain yang terlibat. Ini menyebabkan kuasa beli masyarakat juga akan semakin menurun. 

Justeru itu, kenaikan cukai SST sebanyak 2% ini perlu dikaji semula dengan keadaan ekonomi negara yang masih tidak stabil, ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. 



Sektor perhotelan juga dilihat paling terkesan dengan kenaikan SST disebabkan oleh beberapa faktor seperti akan berlakunya kenaikan bil air dan elektrik, penginapan serta perkhidmatan yang akan mana cukai tersebut akan dipindahkan kepada penduduk yang bermalam di situ. 

Jadi, bayaran semasa menginap di hotel akan meningkat mendadak berbanding ketika cukai SST adalah sebanyak 6%. Secara tidak langsung, kenaikan ini akan mengurangkan bilangan penduduk untuk terus bermalam di hotel penginapan tersebut untuk tempoh yang lama. 

Selain itu, keadaan ini juga boleh memberi kesan kepada sektor pelancongan di Malaysia disebabkan oleh kenaikan SST pada masa ini. 

Sekiranya keadaan ini berterusan, maka berkemungkinan akan berlakunya pengurangan pekerja di sektor ini disebabkan kurangnya sambutan daripada penduduk untuk menginap.

Sementara itu, subsidi petrol dijangkakan akan ditarik dan harga petrol akan meningkat dari harga kini iaitu RM2.05 bagi RON95. 

Keadaan ini akan terus memberi tekanan kepada masyarakat disebabkan oleh pengurangan subsidi dan kenaikan cukai yang dilaksanakan dalam jarak masa yang dekat. 



Bagi memastikan masyarakat tidak terus tertekan dengan masalah ini, maka kerajaan perlu memikirkan langkah yang terbaik untuk membolehkan subsidi dan cukai yang dikenakan adalah relevan dan berpatutan. 

Ditambah pula dengan keadaan matawang negara yang tidak stabil. Dasar kewangan dengan peningkatan OPR juga tidak sesuai dilaksanakan dalam masa terdekat ini kerana ia melibatkan tekanan kewangan kepada masyarakat. 

Pihak Kerajaan boleh menetapkan kadar OPR pada nilai tetap serta boleh mempertimbang tambatan wang seperti yang yang pernah dilaksanakan satu ketika dahulu.

Antara langkah yang boleh diambil oleh pihak Kerajaan bagi memastikan kestabilan ekonomi ditambah baik dan kos sara hidup dapat dikurangkan, maka kenaikan cukai dari 6% ke 8% boleh dimulakan terhadap barangan import dengan meneruskan pengecualian terhadap barangan keperluan asas seperti beras dan telur import. 

Pada masa yang sama, galakkan penggunaan terhadapt barangan buatan tempatan perlu diperluas. Ini kerana hanya individu yang berkemampuan akan cenderung untuk membeli barangan import dan dikenakan bayaran cukai tambahan iaitu sebanyak 8%.

Oleh demikian, rakyat mengharapkan masalah ini dapat dikaji secara komprehensif seiring dengan peningkatan kos sara hidup masa kini supaya kebajikan semua pihak dapat dijaga. 


Dr. Noorkartina Mohamad ialah Pensyarah Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan (FPSP), Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis.


11
20
0
13
0
You will be interested