McDonald’s Malaysia bersama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia meneruskan tradisi tahunan Program Bulan Komuniti McDonald’s & RMHC 2025, yang kini memasuki tahun ke-9, dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), salah sebuah agensi dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Sejak diperkenal pada 2017, Oktober menjadi bulan istimewa bagi McDonald’s Malaysia untuk meraikan anak-anak yatim dan kini diperluas lagi kepada anak-anak istimewa di seluruh negara.
Tahun 2025 ini, lebih 120 institusi kebajikan di bawah seliaan JKM serta rumah anak yatim di bawah Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) terpilih diraikan, melibatkan hampir 6,000 kanak-kanak melalui program sambutan hari jadi McDonald’s.
“Bulan Komuniti adalah antara program utama bagi McDonald’s Malaysia. Ia mencerminkan tanggungjawab kami sebagai jiran prihatin, memastikan kanak-kanak dapat mencipta detik bermakna dan kenangan indah.
"Tahun ini (2025) lebih istimewa kerana kami dapat menyambut baik kerjasama ini, sekali gus memastikan program ini benar-benar sampai kepada komuniti akar umbi dan kanak-kanak yang memerlukan perhatian dapat dibantu melalui jaringan sedia ada dibawah JKM.” kata Shamsidar Yahya, Pengarah Komunikasi Korporat McDonald’s Malaysia merangkap Timbalan Setiausaha Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC).
Beliau menambah, “Kerjasama ini diharap menjadi pemangkin untuk mendorong lebih banyak syarikat swasta tampil melaksanakan tanggungjawab sosial, sekali gus memberi manfaat lebih meluas kepada rakyat Malaysia.”

Menyambut baik pelaksanaan program ini, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rosmahwati Ishak berkata, “Kami amat menghargai usaha McDonald’s Malaysia yang secara konsisten tampil ke hadapan dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya kanak-kanak yang memerlukan.
"Kekuatan rangkaian restoran McDonald’s di seluruh negara membolehkan manfaat disalurkan terus ke setiap lapisan masyarakat, termasuk lokasi-lokasi yang sukar dicapai pihak lain.
"Inilah contoh terbaik bagaimana sektor swasta boleh menjadi rakan strategik Kerajaan dalam memperkukuh ekosistem penjagaan sosial negara.
"McDonald’s bukan sahaja melaksanakan tanggungjawab sosialnya, malah menjadi pemangkin untuk menggalakkan syarikat lain mencontohi usaha murni ini.”

Penyerahan cek replika sumbangan RMHC bernilai RM50,000 kepada Institusi Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah untuk pembinaan bilik terapi sensori.
Dalam majlis yang sama, RMHC turut mengumumkan pembinaan sebuah Bilik Terapi Sensori Integrasi di Institusi Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban.
Bilik ini akan dilengkapi dengan peralatan khas dan tenaga jurupulih, bilik ini mampu menyediakan sehingga 120 sesi terapi sebulan untuk membantu anak-anak dengan autisme, ADHD, serta cabaran perkembangan deria dan kognitif.
Seramai 96 kanak-kanak di institusi ini akan mendapat manfaat secara langsung, manakala fasiliti ini turut dibuka kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sekitarnya.
Ia juga akan berfungsi sebagai hab latihan Negeri Sembilan, memberi pendedahan kepada lebih ramai tenaga pengajar dan jurupulih dalam intervensi awal.
Bagi merealisasikan usaha ini, RMHC menyumbang RM50,000 bagi pembinaan bilik terapi, manakala McDonald’s Malaysia menyalurkan RM10,000 tambahan untuk membawa lebih banyak keceriaan kepada anak-anak di sini.
“RMHC komited menyediakan sokongan yang memberi impak besar kepada kanak-kanak.
"Dengan adanya Bilik Terapi Sensori ini, kami berharap anak-anak istimewa lebih yakin, berdikari, dan mampu mengembangkan potensi diri mereka,” kata Mohd Nasri Mohd Nordin, Pengurus Besar Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC).

JKM, McDonald’s Malaysia dan RMHC meraikan kanak-kanak Institusi Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban dengan sambutan hari lahir mereka.
Sementara itu, Khairunnisa Zainal, Pengetua Rumah Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah berkata, “Kami amat berbesar hati kerana terpilih menjadi sebahagian daripada Program Bulan Komuniti tahun ini (2025).
"Kehadiran McDonald’s dan RMHC benar-benar menceriakan anak-anak kami, manakala pembinaan bilik terapi ini adalah satu manfaat besar yang akan memberi kesan jangka panjang kepada perkembangan mereka.”
Selain bilik terapi, RMHC turut menyokong masyarakat melalui empat inisiatif utama: Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, Gift of Smile, dan Pek Kembali ke Sekolah.
Semua ini dirangka untuk memastikan kanak-kanak mendapat sokongan menyeluruh dari segi kebajikan, kesihatan, dan pendidikan.
Sejak diperkenalkan, Program Bulan Komuniti McDonald’s & RMHC sudah menjadi sebahagian daripada teras Mekdi untuk sentiasa dekat dengan masyarakat.
Setiap tahun, lebih 10,000 aktiviti komuniti dilaksanakan di seluruh negara, membawa manfaat kepada ratusan ribu rakyat Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media