Bisnes & Ekonomi 30 Aug, 2024

Mesyuarat koperasi peringkat Asia Pasifik! Bincang e-dagang dan big data! Malaysia diwakili Dr Fattah!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: [email protected]

Share this


Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah selaku Naib Presiden, Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP mengetuai delegasi koperasi Malaysia bagi memulakan lawatan kerja rasmi untuk menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP pada 1 hingga 4 September 2024 di Kunming, Wilayah Yunnan, China. 

Bertemakan "Memperkasa Koperasi Melalui Transformasi Digital: e-Dagang dan Big Data," yang dihoskan oleh All-China Federation of Supply and Marketing Cooperatives (ACFSMC), Jawatankuasa ini turut menganjurkan program dialog perdagangan yang akan disertai 20 buah koperasi dari 14 negara iaitu China, Filipina, India, Iran, Jepun, Kemboja, Korea, Malaysia, Nepal, Palestin, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam. 

Delegasi Malaysia turut disertai Anggota Lembaga Angkasa merangkap Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA), Dato' Kamarudin Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Angkasa, Dato' Abdullah Jusoh; dan Pengarah Eksekutif MyAngkasa Digital Services Sdn. Bhd. (MDS), Muhammad Hudhaifa Ahmad. 



Abdul Fattah akan menyampaikan ucapan pembukaan pada sesi dialog perdagangan yang menghimpunkan pemimpin koperasi, pakar teknologi digital, dan perwakilan dari seluruh rantau Asia dan Pasifik. Sesi dialog ini bertujuan untuk meneroka potensi e-dagang, digitalisasi, dan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha memacu kemajuan koperasi. 

Beliau dalam kenyataannya berkata, antara objektif dialog perdagangan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan keupayaan e-dagang dalam kalangan pengurusan koperasi serta menambah baik perkhidmatan perdagangan melalui penggunaan digital dan teknologi e-dagang. 

Ia juga termasuklah menggalakkan perdagangan antara koperasi dengan koperasi (C-2-C), mengukuhkan rangkaian perdagangan serantau dan integrasi ekonomi. 

Antara fokus utama dalam dialog perdagangan berkenaan adalah memanfaatkan e-dagang untuk pertumbuhan koperasi; big data dalam perdagangan dan perniagaan koperasi serta mengintegrasikan AI untuk tatakelola dan operasi koperasi yang baik. 

Pada masa sama, wakil delegasi Malaysia, Muhammad Hudhaifa turut dijemput sebagai panelis bagi sesi dialog big data (data raya) dalam bidang perdagangan dan perniagaan koperasi.

Semasa lawatan kerja ini, Abdul Fattah dan delegasi Malaysia turut dijadual menghadiri lawatan koperasi dan perbincangan dengan Yunnan Supply and Marketing Electronic Commerce Co., Ltd, Koperasi Bunga Daerah Songmin dan Yunnan Mushroom Biotechnology Co., Ltd.

Mereka juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawat dan pemimpin koperasi bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama termasuklah potensi mengembangkan perniagaan dan perdagangan antara koperasi di Malaysia dan China. 



Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP bertujuan untuk memperkukuh amalan perdagangan dan perniagaan koperasi di seluruh rantau Asia dan Pasifik. Seramai 33 ahli daripada 19 buah organisasi di 13 negara menganggotai Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP. 

Sehingga 2023, gerakan koperasi Malaysia yang dinaungi Angkasa mencatatkan 15,809 buah koperasi dengan keanggotaan seramai 7.2 juta individu, syer/ yuran berjumlah RM17.4 Bilion, aset sebanyak RM165.9 bilion dan perolehan berjumlah RM64.6 bilion. - KitaReporters/Kenyataan Media

11
8
0
11
0
You will be interested