Satu dasar baharu diperlukan bagi sektor pertanian menerusi pendekatan baharu yang lebih mampan, berdaya tahan dan berorientasikan teknologi bagi menjamin keberkesanan Dasar Keterjaminan Makanan Negara secara menyeluruh seiring dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seiring dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sektor pertanian perlu diperkukuh melalui pendekatan baharu yang lebih mampan, berdaya tahan dan berorientasikan teknologi.
"Sehubungan itu, satu dasar sedang dipertimbang dan dimuktamadkan sebagai tindak balas proaktif terhadap cabaran keterjaminan makanan yang semakin kompleks, menerusi pendekatan bersepadu yang dipacu misi dan berteraskan bukti," jelas beliau.
Anwar berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan negara di mana mesyuarat tersebut menyentuh mengenai strategi untuk memangkin industri pertanian secara menyeluruh.
Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2021-2025 adalah satu pelan induk yang dirangka untuk menjamin keselamatan makanan negara melalui pendekatan perancangan guna tanah.
Pelan induk ini akan mengutamakan kawasan sumber makanan utama seperti pertanian, penternakan dan perikanan untuk memastikan bekalan makanan yang stabil dan mencukupi untuk rakyat Malaysia.

Anwar berkata, dasar yang sedang dipertimbang dan dimuktamadkan itu akan memberi penumpuan kepada pengeluaran pertanian dan agromakanan yang cekap dan produktif, kemampanan sistem agromakanan, diplomasi makanan serantau, pemakanan sihat dan seimbang dan pertumbuhan ekonomi yg terangkum.
"Dasar ini turut akan diperkukuh dengan perundangan khusus bagi menyelaras dan menyeragamkan pelaksanaan dasar serta tindakan antara pelbagai agensi dan kementerian yang terlibat.
"Langkah ini penting bagi memperkukuh tadbir urus, selain memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) secara menyeluruh," tegas Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media