Bisnes & Ekonomi 18 Nov, 2025

Santuni anak istimewa! Persatuan Kebajikan Ronald McDonald buka bilik terapi sensori di Tampin!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Setiap anak istimewa mempunyai cara tersendiri untuk belajar dan meneroka dunia. Di sinilah Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) memainkan peranannya.


Ruangan dan peralatan yang terdapat di Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald Tampin.


Bilik tersebut membantu mereka belajar mengawal sensori, emosi, menumpukan perhatian dan membina keyakinan diri dalam suasana yang tenang serta menyeronokkan.

Bilik terapi ini amat diperlukan dalam membantu pembelajaran dan perkembangan anak-anak istimewa, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar yang kurang akses kepada kemudahan terapi khusus. 

Melalui inisiatif Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia dapat membantu menyediakan kemudahan ini di kawasan luar bandar, sekal igus memperluas capaian sokongan kepada komuniti yang memerlukan.

Menyedari akan kepentingan bilik sensori kepada masyarakat itu, RMHC Malaysia membuka RMSR di McDonald’s Pandu-Lalu Tampin, Negeri Sembilan kepada media bagi melihat sendiri bagaimana ruang terapi ini memberi impak kepada anak-anak berkeperluan khas. 

Lawatan ini bertujuan memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang bagaimana ruang terapi ini membantu kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme, ADHD dan masalah pembelajaran melalui pendekatan terapi deria yang interaktif serta berstruktur. 

Di RMSR Tampin, sesi terapi turut dikendalikan oleh jurupulih cara kerja bertauliah bagi memastikan setiap intervensi yang diberikan adalah selamat, sesuai dan menepati keperluan sensori kanak-kanak.


Yusof Abdul Kadir (kiri), Pakar Terapi Cara Kerja RMHC Malaysia, memberikan penerangan mengenai fungsi dan cara penggunaan peralatan yang terdapat di dalam Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald Tampin.


Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di Tampin merupakan kemudahan pertama seumpamanya yang diwujudkan di restoran McDonald’s. 

Ruang ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan seperti lampu interaktif, permainan sensori, muzik latar yang menenangkan serta bahan rangsangan visual bagi membantu kanak-kanak menenangkan diri, meningkatkan tumpuan serta merangsang perkembangan deria mereka.

Menurut Mohd Nasri Mohd Nordin, Pengurus Besar RMHC Malaysia, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan RMHC untuk menyediakan ruang yang kondusif bagi membantu anak-anak istimewa berkembang dengan sokongan keluarga dan komuniti sekeliling. 

“Setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang, berhak mendapat peluang untuk berkembang dalam suasana yang positif dan menyokong. 

"Melalui bilik terapi ini, kami mahu menyediakan ruang yang bukan sahaja membantu anak-anak belajar mengawal emosi dan tumpuan, tetapi juga memberi ketenangan kepada ibu bapa untuk melihat kemajuan anak mereka,” katanya.

Tambah beliau, usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan padu daripada McDonald’s Malaysia, para pelanggan serta penderma yang terus mempercayai misi RMHC untuk terus membantu kanak-kanak yang memerlukan.


Adik Naura menjalani terapi yang dijalankan oleh Azimah Norsham, ahli terapi di Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald, Tampin.


Penerima manfaat, Mohd Yusni Harun berkata, "Sebagai seorang bapa setiap hari saya hanya mahu lihat anak saya tenang dan bahagia. 

"Sebelum ini kami sering rasa hilang arah kerana anak cepat overwhelm mudah meltdown dan sukar fokus. Tapi sejak mengikuti sesi terapi disini, banyak perubahan besar yang kami dapat lihat dalam dirinya. 

"Dia sudah mula pandai mengawal emosi dan memahami dunianya dengan cara yang lebih positif. Ini memberikan kami harapan, yang anak kami juga mampu berkembang seperti kanak-kanak lain.”

Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald di Tampin merupakan sebahagian daripada rangkaian 36 bilik terapi sensori yang telah diwujudkan di seluruh negara, termasuk di hospital pengajar, pusat pemulihan dalam komuniti (PPDK) dan institusi pendidikan khas. 

RMHC Malaysia baru-baru ini turut bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam penyerahan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald ke-36 di PPDK Semenyih. - KitaReporters/Kenyataan Media


Mohd Nasri Nordin (kiri) serta Yusof Abdul Kadir (kanan) bersama Nur Azimah Md Rosli dan anaknya, adik Naura serta keluarganya semasa lawatan media ke Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald Tampin.

13
25
0
11
0
You will be interested