Bisnes & Ekonomi 24 Dec, 2025

Perniagaan anda berkat atau tak? Jadikan keberkatan sebagai asas kelestarian ekonomi ummah Islam!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas com) dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan forum ilmiah bagi menekankan kepentingan keberkatan dalam pengurusan harta dan perniagaan Islam sebagai asas kepada kelestarian ekonomi ummah.



Forum bertajuk Audit Keberkatan: Zakat Berintegriti, Perniagaan Berjaya itu menampilkan tokoh korporat, Dato’ Mohammed Hussein, serta pendakwah terkemuka, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid, yang membincangkan cabaran dan solusi tadbir urus berteraskan nilai syariah dalam pengurusan syarikat berskala besar.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Forum ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemimpin korporat dan pengurus organisasi bahawa zakat, amanah dan keberkatan perlu menjadi sebahagian daripada kerangka tadbir urus syarikat. 

"Kami percaya pendekatan berteraskan nilai Islam mampu membentuk perniagaan yang lebih lestari dan berimpak sosial tinggi.”



Sementara itu Mohammed Hussein berkata: “Cabaran terbesar seorang Muslim dalam dunia korporat ialah memastikan setiap keputusan perniagaan bukan sahaja efisien dari sudut operasi, tetapi juga adil, amanah dan memelihara prinsip syariah. 

"Keberkatan bukan penghalang kepada keuntungan, malah ia menjadikan perniagaan lebih lestari dan dipercayai.”

Habib Ali Zaenal Abidin pula berkata: “Harta yang berkat ialah harta yang halal sumbernya, baik pengurusannya dan memberi manfaat berpanjangan. 

"Kekayaan boleh menjadi jalan ke syurga apabila ia dimanfaatkan untuk pembangunan ummah.”

Beliau turut mengingatkan para pemilik syarikat dan pengurus agar sentiasa berlaku adil dalam memimpin kakitangan kerana setiap insan yang diurus adalah amanah Allah. 

Keadilan dan ihsan dalam kepimpinan menjadi asas utama kepada keberkatan sesebuah organisasi, tambahnya.



Setakat ini, ikhlas.com berjaya mencatatkan kutipan zakat lebih RM50 juta dan kini merupakan ejen amil yang dilantik oleh 11 institusi zakat di seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Perlis, Terengganu dan Sabah. - KitaReporters/Kenyataan Media

18
15
0
12
0
You will be interested