Komitmen baharu berupa pelaburan bernilai kira-kira RM200 juta di Johor oleh syarikat Synthomer, yang merupakan syarikat kimia terkemuka dunia, membuktikan negeri tersebut sebagai salah satu destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Operasi di Kluang bakal menjadi hab teras perniagaan Synthomer di Asia Tenggara. - Kredit foto: Rubernews/Lestroy Lee.
Pengumuman komitmen baharu yang bertujuan memperluaskan pelaburan sedia ada di negeri Johor dizahirkan semasa pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi semasa rangka lawatan delegasi kerajaan Johor ke London, United Kingdom pada 19 September 20235 lalu.
Onn Hafiz berkata, pelaburan tersebut diharap bukan sahaja mampu memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan utama, sebaliknya mampu mempercepat langkah Johor muncul sebagai peneraju serantau dalam industri kimia mampan, serta membawa manfaat besar kepada seluruh Bangsa Johor.

Onn Hafiz Ghazi (tiga dari kanan) yang mengetuai delegasi kerajaan Johor ketika mengadakan pertemuan dengan pihak Synthomer di London. - Kredit foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.
"Komitmen tersebut hadir seiring dengan strategi kerajaan negeri yang bukan sahaja giat menarik pelaburan baharu melalui Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), tetapi dalam masa sama turut menghargai syarikat yang telah lama menjadi rakan strategik pembangunan Johor.
"Synthomer, yang berpangkalan di United Kingdom, mempunyai sejarah lebih 100 tahun di Johor dan menjadikan negeri ini hab utama operasinya di Asia," katanya dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya.
Menurutnya, kehadiran Synthomer bukan sekadar simbol hubungan perniagaan jangka panjang, tetapi merupakan satu bukti keyakinan pelabur global terhadap ekosistem pelaburan di negeri ini.
di Johor.


Kilang Synthomer di Pasir Gudang yang masih dalam pembinaan dijangka siap tidak lama lagi. - Kredit foto: Komuniti Johor.
Sejak awal penubuhannya di Pasir Gudang, Kluang dan Asia Innovation Centre (AIC) di Kulai, Synthomer merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan industri kimia di Johor.
Kehadiran mereka membuka jalan kepada pembangunan rantaian nilai tempatan serta melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang polimer dan inovasi kimia.
Katanya, dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini, Synthomer telah melabur lebih RM1 bilion yang telah menghasilkan hampir 400 peluang pekerjaan baharu di Johor.

Antara wakil pihak Synthomer yang mengadakan perbincangan dengan delegasi kerajaan Johor. - Kredit foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.
"Apa yang lebih membanggakan daripada jumlah itu, lebih 300 peluang pekerjaan diisi pekerja tempatan yang menerima gaji minimum RM3,000 sebulan, satu angka yang lebih tinggi berbanding purata gaji permulaan dalam sektor pembuatan.
"Pelaburan besar ini telah membantu Johor mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pusat industri kimia di Malaysia dan Asia Tenggara, sekali gus meningkatkan daya saing negeri dalam pasaran global," katanya.
Menurut Onn Hafiz, pelaburan tersebut memberi fokus kepada teknologi hijau, pembangunan monomer lestari, tenaga boleh diperbaharui dan produk generasi baharu yang selari dengan tuntutan global terhadap industri kimia yang lebih mesra alam serta berdaya tahan menghadapi cabaran perubahan iklim.

Pertemuan Onn Hafiz Ghazi bersama wakil Synthomer membuahkan hasil pelaburan baharu ke johor bernilai RM 200 juta. - Kredit foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.
Selain itu, Synthomer turut merancang menjadikan Kluang sebagai hab teras perniagaan syarikat di Asia Tenggara. Kluang bakal berperanan sebagai pusat strategik yang menghubungkan operasi pengeluaran dengan pasaran serantau.
Kulai pula akan diperkukuh sebagai pusat inovasi produk berimpak global menerusi Asia Innovation Centre (AIC). Pusat ini akan memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan bahan kimia serta polimer generasi baharu untuk kegunaan industri moden.
Onn Hafiz turut menegaskan kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap usaha ini, memandangkan ia seiring dengan aspirasi menjadikan Johor sebagai pusat teknologi dan inovasi bertaraf dunia.
Lebih penting katanya, projek baharu Synthomer itu dijangka mampu membuka peluang luas pembangunan bakat tempatan dalam bidang polimer, tenaga hijau dan inovasi digital, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada graduan universiti serta golongan profesional muda yang ingin menceburi industri berteknologi tinggi.

Salah satu kilang operasi Synthomer di Malaysia yang membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.- Kredit foto: Rubbernews.
Dari sudut ekonomi pula, pelaburan ini mampu meningkatkan pendapatan negeri serta menyokong sasaran kerajaan negeri untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, yang tidak hanya mencipta pekerjaan tetapi juga memacu pembangunan lestari.
Kejayaan kerjasama jangka panjang antara Johor dan Synthomer menampilkan satu model jelas bahawa kesinambungan pelaburan lama dan baharu mampu saling melengkapi dalam membina ekosistem industri yang kukuh.
"Dengan momentum ini, Johor bukan sahaja kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan, tetapi juga bersedia muncul sebagai peneraju serantau dalam industri kimia mampan dan teknologi hijau.
"Komitmen Synthomer membuktikan bahawa kerjasama strategik yang dibina berasaskan keyakinan, sokongan dan inovasi mampu membawa manfaat besar, bukan sahaja kepada ekonomi negeri, malah kepada seluruh Bangsa Johor," katanya lagi. - KitaReporters

Kakitangan Synthomer diraikan dalam satu majlis sambutan hari raya. - Kredit foto: Dayang Nur Liyana.