Bisnes & Ekonomi 13 Sep, 2024

Gaji naik, harga barang naik? Pengguna disaran mula pantau! Lapor kepada KPDN jika berlaku kenaikan!

Share this


Penjawat awam menerima berita gembira apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lepas mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam bermula Disember ini, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

Pengumuman itu dibuat pada masa yang paling sesuai iaitu pada Hari Pekerja.

Bagaimanapun di sebalik berita gembira ini, wujud kegelisahan dalam kalangan orang ramai bahawa kenaikan harga makanan dan barangan mungkin akan berlaku pada 2025 susulan kenaikan gaji penjawat awam.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengambil tindakan awal dengan menyatakan pada sidang media pada 22 Ogos 2024 lepas, beliau tidak mahu melihat kenaikan harga barang secara tidak munasabah berlaku disebabkan pelarasan gaji penjawat awam.

Sehubungan itu, penulis telah mendapatkan cadangan dan pendapat daripada beberapa persatuan pengguna mengenai isu tersebut.


Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)


Bendahari Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata paling ketara, kenaikan harga makanan lazimnya akan berlaku.

“Pihak penguat kuasa di setiap kementerian berkaitan perlu sentiasa membuat pemantauan dengan lebih aktif di setiap rantaian makanan, merangkumi pembekal, pemborong dan peniaga kecil supaya tidak wujud pihak luar atau orang tengah yang mengawal harga barang terutama bagi bekalan makanan dan lauk basah, sayur-sayuran serta buah-buahan,” katanya kepada KitaReporters.

Beliau berkata demikian apabila ditanya langkah terbaik supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga makanan dan barangan susulan daripada kenaikan gaji penjawat awam.

Nur Asyikin berkata punca kenaikan mendadak pada harga makanan pada ‘end user’ (pengguna) akan bermula dari orang tengah yang bertindak mengawal harga bekalan makanan walaupun pada hakikatnya harga makanan sepatutnya mengikut faktor bekalan dan permintaan.

“Pemantauan ini tidak seharusnya melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sahaja, kementerian lain perlu terlibat bersama, antaranya Kementerian Pertanianan dan Keterjaminan Makanan serta agensi kerajaan yang lain.

“Semua kementerian dan agensi kerajaan perlu bersatu padu bersama-sama bertindak membasmi peranan dan aktiviti orang tengah kerana sudah pasti orang tengah ini akan mengambil peluang untuk “untung atas angin” iaitu meraih keuntungan menerusi pengawalan harga bekalan makanan,” katanya lagi.

Justeru, KPDN harus memastikan pihak peniaga di sektor premis makanan/gerai/pasar/kiosk meletakkan harga pada setiap menu makanan mereka, ia adalah penting kerana pengguna berhak mendapatkan maklumat harga makanan sebelum mereka membuat keputusan untuk membeli mengikut bajet (kemampuan) kewangan masing-masing, tambahnya.


Nur Asyikin Aminuddin


Nur Asyikin berkata peranan pengguna pula adalah membuat aduan harga makanan yang tidak masuk akal (kenaikan harga keterlaluan) kepada KPDN, sekarang amat mudah untuk pengguna membuat aduan kerana pengguna mempunyai pelbagai pilihan dan kaedah, sama ada melalui aplikasi EzADU KPDN, eAduan KPDN, secara bersemuka di pejabat KPDN atau Bilik Gerakan Penguatkuasaan Negeri dan WhatsApp KPDN.

“Sejak kebelakangan ini, memang ada beberapa laporan daripada KPDN mengesahkan terdapat isu pencatutan harga (mengambil untung suatu barangan atau perkhidmatan secara berlebihan) pada premis makanan yang diadu.

“Ini bermakna, peniaga yang tiada etika dan mengambil kesempatan memang wujud. Oleh itu, pengguna digalakkan untuk membuat aduan kepada KPDN sekiranya harga yang ditawarkan adalah terlalu mahal supaya KPDN mengambil tindakan sewajarnya kepada peniaga berkenaan,” kata Nur Asyikin.



Beliau berkata perkara ini perlu dijadikan teladan kepada pihak peniaga lain supaya bertanggungjawab dan berhati-hati kerana pengguna dan KPDN akan sentiasa memantau harga jualan.

Setiap peniaga perlu tahu Akta, Peraturan dan Garis Panduan berkaitan dengan amalan perniagaan supaya para peniaga kekal beretika dalam menjalankan perniagaan mereka, ada had yang perlu dipatuhi supaya peniaga untung dan pada masa sama pengguna di rantaian bekalan juga mendapat produk dibeli pada harga berpatutan dan selamat, jelasnya.

Sementara itu, Nur Asyikin berkata peniaga yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) diingatkan supaya tidak mengelirukan orang ramai iaitu tawaran diiklankan tidak sama apabila membelinya, pengguna harus berwaspada kerana wujud ‘scammer’ menggunakan AI menyamar sebagai pempengaruh terkenal untuk memperdaya pengguna membeli produk yang tidak wujud.

“Pihak kementerian yang berkaitan diminta mempertimbang meminda Akta atau Garis Panduan sedia ada dengan mengambil kira cabaran oleh teknologi AI ini yang bakal menimbulkan permasalahan pada kemudian hari sekiranya ia tidak dikawal selia dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata sebelum pengguna membuat sebarang pembelian, bandingkan terlebih dahulu harga makanan atau produk, pada masa sama KPDN juga harus kemas kini dan mempromosikan aplikasi Price Catcher kerana ramai yang masih tidak tahu kewujudan aplikasi dikendalikan KPDN itu.


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)


Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader pula berkata kenaikan gaji pejawat awam tidak ada kaitan dengan kenaikkan harga makanan dan barangan, jika harga dinaikkan ia akan menyebabkan kesulitan dan kekangan kewangan kepada sebahagian pengguna yang bukan penjawat awam iaitu pekerja swasta.

Oleh itu, KPDN perlu memastikan aktiviti tidak beretika yang menekan dan membebankan pengguna dapat dibenteras dengan lebih menyeluruh dan berkesan.

“KPDN perlu turun padang (turun ke lapangan) dan memeriksa harga makanan lebih kerap dan  tindakan tegas juga perlu dikenakan terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan serta melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. 

“Selain itu, KPDN juga bertindak lebih tegas dalam menguatkuasakan Seksyen 8(1) Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973 yang mewajibkan peniaga mempamerkan tanda harga pada barangan jualan,” katanya.


Mohideen Abdul Kader


Mohideen berkata ketiadaan tanda harga yang telus ini sering menyebabkan pengguna dikenakan bayaran berlebihan kerana mereka tidak mempunyai senarai harga yang didokumenkan untuk dirujuk apabila berlaku pertikaian berhubung bil mereka.

CAP juga bimbang dengan keadaan bekalan makanan di Malaysia kerana sebuah laporan menyatakan bahawa Malaysia bergantung pada 30 hingga 40 peratus makanan diimport untuk memenuhi keperluan tempatannya, ia boleh menjadi situasi berbahaya pada masa sekarang dan CAP telah memberi amaran mengenainya seawal bulan Ogos, tahun 2018, katanya.

“Pada tahun 2012, saintis pertanian, Mohd Peter Davis memberi amaran bahawa Malaysia akan menghadapi risiko kelaparan jika mengalami krisis ekonomi yang besar. Tidak seperti negara pengeluar makanan seperti Thailand dan Vietnam, kita tidak mempunyai pengeluaran makanan yang berkesinambungan.

“Pada masa terdesak, negara-negara pengeksport makanan ini sudah pasti akan mengutamakan penduduknya sebelum mengeksportnya ke negara lain termasuk Malaysia yang memerlukannya,” katanya.


Gambar hiasan... Ilustrasi AI 

Sehubungan itu, beliau berkata CAP menggesa kerajaan memperkenalkan dasar pertanian yang komprehensif untuk memastikan jaminan bekalan makanan di Malaysia selepas melalui pengalaman buruk akibat pandemik COVID-19 dulu, ia adalah pelajaran pahit bagi kita semua. - KitaReporters

10
8
0
10
0
You will be interested