Stesen KTMB Dabong akan menjadi tumpuan ramai pada cuti hujung minggu dan sekolah.
PROGRAM Cakna ‘Minds Train To Dabong’ menjadi suntikan semangat kepada 14 kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Cawangan Pasir Mas, Kelantan untuk lebih proaktif dalam membantu golongan sasaran membina kehidupan yang lebih baik.
Program sehari pada 2 Februari 2023 itu juga sebagai menghilangkan tekanan kerja kakitangan AIM berkenaan yang sentiasa gigih turun padang membimbing penduduk kampung meningkatkan taraf ekonomi keluarga menerusi pelbagai aktiviti.
Pengurus cawangan berkenaan, Zakiah Mustafa, berkata sebagai membuka lembaran baharu pada tahun 2023 semua kakitangan bersetuju untuk menaiki ‘Train To Dabong’ bagi menenangkan fikiran dengan menghirup udara segar dan melihat pemandangan cantik alam semula jadi sepanjang perjalanan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)
Kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Pasir Mas, Kelantan merakam kenangan di Puncak Gunung Stong, Dabong, Kuala Krai, Kelantan pada 2 Februari 2023.
Zakiah Mustafa
Menurutnya, langkah itu juga dianggap mampu memacukan semangat serta jati diri dalam kalangan kakitangan kerana mereka akan menghadapi cabaran kerja yang lebih besar apabila sasaran pembiayaan untuk sahabat AIM aktif 3,429 orang dengan mencecah jutaan Ringgit Malaysia pada tahun ini.
Jelasnya, daripada terperap dalam pejabat tanpa melihat dunia luar sudah pasti akan mengusutkan pemikiran mereka termasuk mencari idea baharu untuk meningkatkan pembiayaan di samping memudahkan pula pembayaran dibuat oleh sahabat AIM.
“Saya juga ingin mewujudkan suasana kekeluargaan ketika bersama-sama kakitangan terutama dalam menyelesaikan beberapa perkara berbangkit demi memajukan AIM supaya lebih ramai sahabat dalam kalangan penduduk kampung yang boleh dibantu,” katanya.
Zakiah (dua dari kiri) bersama-sama kakitangan AIM di Lata Kertas.
Perjalanan kakitangan AIM cawangan berkenaan ke Dabong bermula
jam 7.15 pagi dari stesen Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB), Wakaf Bharu,
Tumpat seterusnya menuju ke Pasir Mas, Tanah Merah, Temangan, Kuala Krai, Manek
Urai dan sampai stesen Dabong jam 10.33 pagi.
Selepas sarapan mereka bergerak dengan kenderaan menuju ke
Lata Kertas, Lata Kenerong bagi menenangkan fikiran melihat permandangan cantik
di situ sebelum berkunjung ke Pondok Pengajian Agama Pok Teh dengan
masing-masing menghulurkan sumbangan.
Sebelum bertolak pulang dengan kereta api 4.30 petang semua kakitangan AIM menyertai aktiviti lasak dengan memandu kenderaan ATV dan ‘Flying Fox’ di Pipe Jelawang Resort serta menjamu selera mi udang berhampiran Gua Ikan yang menjadi viral dalam media sosial.
Kakitangan AIM menikmati mi udang berhampiran Gua Ikan yang menjadi viral dalam media sosial.
Zakiah berkata, walaupun program itu hanya seharian namun
cukup bermakna dalam memupuk budaya kerja berpasukan serta kesepakatan dalam
melakukan sesuatu tugsan dengan jaya apabila semua bekerjasama tanpa mengira
pangkat dan jawatan yang disandang.
Tambahnya, dia bersyukur kerana dapat mengumpul semua
kakitangan untuk bersantai ke Dabong tanpa diadakan sebarang mesyuarat atau
taklimat kerana mahukan mereka benar-benar melapangkan fikiran selepas penat
melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.
“Saya berkeyakinan program ini juga akan meningkatkan
prestasi kerja kakitangan di samping mengubah pandangan serta persepsi
masyarakat terhadap AIM yang mampu gah dan diperkasa untuk membantu mereka
khusus sahabat di Pasir Mas.
“Saya berharap Cawangan AIM Pasir Mas menjadi contoh terbaik dalam memikul tanggungjawab membantu rakyat khusus penduduk di luar bandar dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga,” ujarnya. - KitaReporters
Sebahagian kakitangan AIM merakam kenangan di depan Pondok Pok Teh selepas masing-masing menghulurkan sumbangan.