Tenaga kerja Lush Malaysia menjalankan aktiviti pembersihan pantai, mengumpulkan sisa dan sampah plastik untuk melindungi keindahan semula jadi Pulau Langkawi sebagai sebahagian daripada Lawatan Penerokaan Marin Lush Malaysia.
Dalam usaha berterusan untuk memperjuangkan pemuliharaan alam sekitar marin, Lush Malaysia telah menganjurkan satu ekspedisi marin di Langkawi pada 22 hingga 25 April 2025, dengan kerjasama MareCet, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terkemuka dalam bidang penyelidikan dan pemuliharaan marin.
Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam dan melaksanakan tindakan secara langsung dalam usaha melindungi kepelbagaian bio (biodiversiti) marin negara, khususnya melibatkan populasi ikan lumba-lumba serta ekosistem pesisir pantai.
Ekspedisi ini merupakan yang pertama daripada dua kerjasama yang dirancang bersama MareCet pada tahun ini (2025), dengan inisiatif kedua dijadualkan berlangsung di Pulau Sibu pada bulan Mei 2025.
Melalui jalinan kerjasama ini, Lush Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan pemahaman tentang usaha pemuliharaan ikan lumba-lumba serta memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perlindungan sumber marin di Malaysia.
Bertempat di Kedah, perairan biru Kepulauan Langkawi menjadi habitat semula jadi untuk spesies seperti ikan lumba-lumba tanpa sirip Indo-Pasifik dan ikan lumba-lumba kelasa Indo-Pasifik.
Menyedari kepentingan melindungi spesies marin ini, Ekspedisi Marin Lush Malaysia berlangsung dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat, seperti:
- Lawatan Sambil Belajar Setasea: Pembelajaran berkenaan spesies ikan lumba-lumba tempatan dan peranan penting haiwan ini dalam ekosistem marin.
- Bengkel Kitar Semula Lestari (Eco-Upcycling): Menukar bahan buangan kepada produk bernilai tambah yang boleh guna semula.
- Gotong-royong Pembersihan Pantai dan Audit Sisa: Pembersihan sepanjang pantai Langkawi daripada sisa merbahaya bagi mengurangkan pencemaran laut.
- Penanaman Bakau: Pemulihan semula ekosistem bakau yang penting demi meningkatkan daya tahan pesisir pantai Langkawi.

Tenaga kerja Lush Malaysia menunjukkan bakat jemari hijau mereka dengan menyertai aktiviti penanaman pokok bakau bagi memperkukuh perlindungan kawasan pesisir pantai.
Lush Malaysia merupakan antara syarikat yang aktif dalam menyokong usaha pemuliharaan marin.
Dengan jumlah sumbangan melebihi RM70,000 disalurkan kepada NGO yang memperjuangkan pemuliharaan haiwan, hak asasi manusia dan kelestarian alam sekitar dalam tempoh Mei 2024 hingga Mei 2025, inisiatif terkini ini mencerminkan komitmen kukuh syarikat dalam mencetuskan perubahan yang berkekalan.
"Kami di Lush Malaysia percaya bahawa kelestarian bukan sekadar retorik semata-mata, sebaliknya ia memerlukan pelaksanaan tindakan yang nyata.
"Kerjasama bersama MareCet menerusi Ekspedisi Marin di Langkawi ini bukti komitmen berterusan kami terhadap pemeliharaan alam marin, khususnya dalam perlindungan spesies ikan lumba-lumba dan ekosistem pesisir pantai negara.
"Dengan penglibatan langsung menerusi aktiviti seperti pembersihan pantai dan penanaman bakau, kami berharap agar lebih ramai individu dan syarikat tampil memainkan peranan dalam menjaga kelestarian laut kita,” kata Pengarah Lush Malaysia, Dr. Harvinder Harchand.
“Di Malaysia, wujud jurang yang ketara antara masyarakat dan laut, meskipun negara ini merupakan sebuah negara maritim. Keadaan ini amat ketara dalam kalangan mereka yang menetap di kawasan bandar serta bekerja dalam sektor korporat.
"Sehubungan itu, MareCet amat berbesar hati untuk menjadi tuan rumah kepada Lush Malaysia dalam ekspedisi marin ke Kepulauan Langkawi ini, lokasi penyelidikan dan usaha pemuliharaan mamalia marin kami yang telah berlangsung selama lebih satu dekad.
"Laut menyumbang banyak manfaat kepada manusia -- antaranya sumber makanan, rekreasi serta oksigen. Pemahaman yang mendalam tentang alam semula jadi dan warisan Langkawi mendorong kami untuk merangka pengalaman menyeluruh buat warga kerja Lush Malaysia bagi menyemai semangat sebagai pendukung kelestarian laut.
"Harapan kami adalah agar inisiatif ini mencetuskan kesan berantai buat mereka, baik secara peribadi mahupun profesional. Semoga usaha ini melahirkan sekumpulan duta pemuliharaan baharu untuk laut Malaysia menerusi pertukaran ilmu dan usaha bersama,” kata Pengarah Eksekutif dan Pengasas Bersama MareCet, Dr. Louisa Ponnampalam.
“Lush Malaysia komited untuk menginspiraskani masyarakat agar celik terhadap amalan beretika dan lestari dengan menggalakkan gaya hidup yang lebih mesra alam -- seperti membeli produk bebas plastik dan mengitar semula bekas Lush yang digunakan.
"Pemilihan produk tanpa plastik serta pendekatan sifar sisa (zero-waste) mampu membantu mengurangkan pencemaran dan mewujudkan persekitaran laut yang lebih selamat buat hidupan marin.
"Selain pilihan pengguna yang bijak, komitmen jangka panjang seperti pengurangan sisa, sokongan terhadap usaha pemuliharaan, serta amalan gaya hidup lestari menjadi kunci dalam melindungi ekosistem marin; demi mewariskan dunia yang lebih baik daripada sebelumnya,” tambah Dr. Harvinder. - KitaReporters/kenyataan Media
