Bisnes & Ekonomi 08 Oct, 2024

Terima kasih CIMB Islamic Bank! Kerjasama dengan YBM bagi laksanakan Program Bantuan Bakul Makanan!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: [email protected]

Share this


CIMB Islamic Bank Berhad dengan kerjasama Yayasan Belia Malaysia (YBM) mengukuhkan komitmennya dalam memperkasakan komuniti asnaf dengan melaksanakan Program Bantuan Bakul Makanan CIMB Islamic. 

Inisiatif libat urus komuniti berterusan berkenaan bermatlamat untuk mengurangkan beban kewangan keluarga asnaf menerusi agihan bakul makanan. 

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, CIMB Islamic, melalui Zakat Wakalahnya, mengagihkan barang makanan bernilai RM100,000 kepada 400 keluarga asnaf terpilih di Prgram Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil. 

Hadir di majlis berkenaan, Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bersama Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic; dan Dato’ Dr. Suhaimi Ibrahim, Pengerusi YBM; Rozaidi Ismail, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil; Muslim Mustapa, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Turut hadir sukarelawan daripada CIMB yang telah mengagihkan bakul-bakul makanan yang mengandungi beras, tepung dan minyak masak, termasuk makanan ruji lain kepada penerima manfaat untuk keperluan nutrisi mereka. 



Ahmad Shahriman berkata, “zakat kekal sebagai satu instrumen kewangan sosial asas dalam usaha meluaskan bantuan kami terhadap golongan asnaf dengan fokus untuk menambah baik kualiti hidup mereka dengan mengurangkan bebanan kewangan, membolehkan mereka memperuntuk pendapatan ke arah keperluan asas dan memperbaiki kehidupan mereka secara menyeluruh. 

"Menerusi program ini, matlamat kami adalah bagi memastikan setiap keluarga mempunyai akses makanan berkhasiat di samping meringankan beban mereka sambil memupuk semangat kekitaan dan sokongan terhadap golongan memerlukan. 

“Kami komited dalam memainkan peranan sebagai institusi kewangan Islamik bertanggungjawab dalam menyampaikan impak positif dan bermakna kepada komuniti di bawah seliaan kami. 

"Ini dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif yang kami terajui sejak beberapa tahun yang lalu yang merangkumi prinsip perantaraan berasaskan nilai." 

Dr. Suhaimi pula berkata, “Kami berbesar hati kerjasama dengan CIMB Islamic diteruskan melalui inisiatif khidmat masyarakat baharu ini yang diyakini boleh membawa kesan positif terhadap kehidupan seharian komuniti asnaf. 

"Keluarga asnaf sering berdepan kekangan kewangan dalam mendapatkan keperluan makanan asas. Dengan penyediaan barang makanan keperluan ini, matlamatnya adalah bagi menambah baik kehidupan setiap keluarga secara menyeluruh."



CIMB Islamic telah menerajui pelbagai inisiatif untuk menyokong kesihatan dan kesejahteraan golongan asnaf dan komuniti rentan menerusi program-program seperti CIMB Program K.A.M.I., di bawah Program CIMB Islamic Safe Space, misi bantuan banjir dan Harapan Ramadan. 

Bank tersebut juga telah menerajui pelbagai program yang memupuk pertumbuhan kelestarian dan pembangunan golongan rentan, antaranya Program Keusahawanan CIMB Islamic – Taylor’s Program iTekad Rider Entrepreneur CIMB Islamic, Program iTaajir CIMB Islamic – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Program Graduan Agropreneur Melon Manis Terengganu dan CIMB MicroBizReady. 

Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk menyalurkan kewangan sosial bagi memperkasa golongan asnaf dan usahawan B40 untuk menambah baik kehidupan dengan menyediakan bimbingan dan latihan agar kemahiran keusahawanan dan daya tahan mereka ditingkatkan, sekali gus menaikkan status sosioekonomi golongan tersebut. 

Baru-baru ini, CIMB Islamic juga telah menyumbang mesin penuai padi bernilai RM298,000 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di bawah program Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA), dengan matlamat meningkatkan kemahiran petani asnaf tempatan dan mengurangkan kos pengeluaran dan penyumberan luar, sekali gus menangani isu keselamatan makanan nasional. - KitaReporters/Kenyataan Media

11
12
0
11
0
You will be interested