Bisnes & Ekonomi 20 Jul, 2025

Jadi model contoh! Projek Rumah Bakat Madani oleh Skyworld! Konsep modular, pelaksanaan pantas! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Projek Rumah Bakat Madani adalah manifestasi kecekapan teknologi, kepedulian sosial, dan semangat Madani yang diterapkan dalam usaha dan upaya kerajaan Madani membangunkan negara. 

"Dengan konsep yang modular dan pelaksanaan yang pantas, projek oleh SkyWorld ini bakal menjadi model contoh untuk perumahan awam moden yang canggih dan inklusif. 

"Saya hadir ke Seberang Jaya dengan penuh rasa syukur, tanggungjawab dan harapan yang menggunung," jelas beliau pada 19 Julai 2025.

Menurut Anwar, pembangunan ini harus menjangkaui dari sekadar menyediakan bumbung. 

"Ia mesti mendukung prinsip keterangkuman yakni mesti memastikan masyarakat pelbagai kaum -- tanpa mengira latar belakang -- merasa dihargai dan memiliki ruang hidup yang selesa. 

"Dalam setiap projek yang kita luluskan, sensitiviti terhadap kepelbagaian kaum mesti dijaga kemas. Malaysia ini milik bersama, dan sebagai Perdana Menteri, adalah tanggungjawab saya menjaga orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan seluruh rakyat dengan adil," katanya lagi.



Dalam mendepani gejala fitnah dan sentimen perkauman yang berleluasa, kita mesti kembali meneguh idealisme Madani yakni bersih, progresif dan menyeluruh. 

"Saya tidak mahu rakyat terus dibelenggu dengan naratif ketakutan dan kebencian. 

"Naratif ‘siege mentality’ yang cuba diasak ke arah rakyat oleh segelintir gerombolan adalah bukti nyata betapa mereka tidak bertanggungjawab dan kontang isu serta hujah yang ampuh untuk mendepani kita," ujar beliau.

Di ruang majlis yang sama, Perdana Menteri telah melontarkan juga persoalan kepada seluruh jentera Kerajaan; sekiranya sesuatu projek itu mampu disiapkan dalam dua bulan, mengapa perlu tunggu lapan bulan? 

"Pengalaman saya dengan projek-projek Madani membuktikan bahawa jika ada iltizam, segalanya boleh dicapai dengan cepat tanpa mengorbankan mutu. 

"Ini yang mahu saya terapkan; kecekapan dan ketangkasan dalam memastikan setiap projek memberi manfaat segera dan berkesan kepada rakyat," tegasnya. - KitaReporters/Kenyataan Media


8
13
0
17
0
You will be interested