BERADA di kaki lima membaiki kasut kadangkala dipandang serong oleh segelintir masyarakat kerana mereka ini duduk sebaris pengemis jalanan. Hakikatnya... pencarian rezeki halal ini merupakan satu perkhidmatan yang tidak semua orang mampu melakukannya. : KitaReporters.com
PERAMAH... Sikap ramah sentiasa digunakan untuk mendekatkan diri dengan pelanggan.
Mengenali sisi tepi seorang tukang kasut cukup menarik, daya ketekunan dan kreatif mereka boleh dikagumkan.
Bagi, seorang tukang kasut yang dikenali sebagai Shahrizal Sharani, 56, dia menganggap pekerjaannya itu cukup unik malah tidak semua orang boleh melaksanakannya.
“Banyak kerja telah saya lakukan sejak remaja termasuk berniaga di pasar malam, buruh kontrak dan banyak lagi tapi kerja ini paling disukai hinggakan boleh bertahan hampir 30 tahun.
“Selain membaiki kasut rosak, adakalanya saya cuba membuat kasut sendiri… itu pun jika ada masa terluang,” katanya yang mampu membaiki kasut sehingga 20 pasang sehari.
Katanya, bagi tukang kasut, dia akan merasa puas hati bila kasut siap dibaiki dengan sempurna.
“Nampak mudah, nak baiki pun kena ada seni dan daya kreatif juga... tak boleh maih hentam je.
“Kita kena tahu sama ada kasut tu perlu digam, dijahit, ditampal atau sebagainya. Bila dah siap kita akan puas hati... masa dapat ia rosak bila pulangkan dah cantik dan elok.
“Setakat ini, saya tak pernah tertukar pelanggan dengan kasut yang mereka hantar walaupun banyak, janji... setiap kali diserahkan saya mesti lihat muka pelanggan dan tak buat kerja lain,” katanya.
TUKANG KASUT juga perlu seni dan kreativiti yang tinggi untuk memberi hasil lebih baik dari yang sebelumnya.
Dalam pada itu, sempat berkongsi pengalaman bersama KitaReporters.Com sekitar tahun 90-an, Shahrizal telah memulakan perniagaan tersebut dengan bermodalkan wang saku sebanyak RM180.
“Nilai RM180 ketika itu terlalu besar, sebab itu saya sangat menghargai pekerjaan sebagai tukang kasut. Dulu saya kerja secara berseorangan kini dah boleh mengupah pembantu untuk menyiapkan kasut-kasut pelanggan.
“Alhamdulillah... ramai yang makin suka menghantar kasut untuk dibaiki kerana masih sayang dan tak perlu membeli kasut baharu,” katanya
“Bayaran lebih kurang RM12 hingga RM15 bergantung kepada kerosakan rasanya berbaloi kerana sudah dapat kembali kasut yang kita sayang,” katanya yang membuka sebuah kiosk kecil di laluan pejalan kaki berhampiran stesen teksi, di Jalan Besar, dekat Kuantan, Pahang.
Shahrizal (kiri) kini sudah boleh mengambil pembantu untuk membaiki kasut di sebuah kiosk berhampiran stesen teksi miliknya di Jalan Besar, Kuantan, Pahang.
TEKUN... Shahrizal boleh membaiki kasut sehingga 20 pasang sehari di kiosk baharunya.
Sementara itu, katanya dia sesekali tidak pernah menganggap pekerjaannya itu memalukan malah langsung tidak mempedulikan pendangan masyarakat yang menganggapnya bagaikan pengemis jalanan.
“Seronok dapat memberikan perkhidmatan kepada orang ramai... sambil membaiki kasut banyak perkara berkaitan masyarakat kita dapat tahu.
“Pendek kata berada di kaki lima pun banyak pengetahuan daripada pelanggan yang rata-rata suka bercerita hal semasa.
“Saya memang suka layan pelanggan bercerita kerana dengan sikap ramah pelanggan jadi mesra mendekati kita... secara tak langsung datang pada kita bila perlu,” akhirinya. - KitaReporters.com