Setiap orang mempunyai hobi tersendiri, malah ada yang sanggup berhabisan ribuan ringgit semata-mata untuk mengecapi kepuasan diri sendiri. Minatnya terhadap barangan lama atau lebih secocok lagi, pencari harta karun dengan menggunakan alat 'Metal Detection' (MD atau pengesan logam) menyebabkan dirinya sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli peralatan yang berkaitan dengan hobi kegemarannya itu. : KitaReporters.com
Malah, beliau yang pernah memiliki empat set peralatan MD yang setiap satu mencecah hampir RM2,000 dibeli dari Jerman tidak pernah merasakan ianya suatu pembaziran,malah menjadikannya sebagai semangat bagi mengembangkan hobi yang diceburinya kepada rakan-rakan.
Pencari harta karun terbabit, Mustaqim Mohd Salleh, 41, berkata dia tidak pernah merasakan hobinya itu sia-sia kerana segala pelaburan terhadap hobi diceburinya semenjak 2012 itu memberi hasil lumayan dan berbaloi.
Berbekalkan alat pengesan logam (MD) dan penggali, kegiatan yang lazimnya dilakukan pada hujung minggu secara bersendirian atau berkumpulan itu telah diadakan secara mengembara dan tumpuan diberikan di kawasan sejarah seperti kawasan pantai, sungai, bangunan lama, bekas tapak pelabuhan dan ladang sawit.
Mustaqim Mohd Salleh.
Mustaqim berkata, semenjak melakukan hobi berkenaan ternyata boleh menjadi satu ketagihan didorong keterujaan dengan apa yang mungkin ditemui setiap kali alat pengesan logam berbunyi.
Menurut Mustaqim, minat terhadap aktiviti itu sudah membawa beliau menjelajah ke serata negara bermula selepas amat tertarik dengan sebuah video mengenainya yang dikirim oleh seorang rakan di media sosial.
"Debaran akan timbul setiap kali alat pengesan berbunyi kerana barang kali ia hanya besi buruk yang tidak seberapa nilainya atau mungkin juga harta karun yang tinggi nilainya.
"Aktiviti mencari harta karun gun MD boleh dijadikan riadah atau kegiatan bersukan yang menyihatkan badan kerana ia boleh dilakukan bersama rakan dan keluarga serta memerlukan stamina yang tinggi kerana banyak menggunakan tenaga sewaktu berjalan mencari bahan.
"Kegiatan ini cukup menyeronokkan, di samping menjumpai barangan lama yang berharga kita juga dapat mendalami kajian termasuk membongkar sejarah baharu tanah air yang mungkin sebelum ini tidak pernah diwartakan.
"Sejak di bangku sekolah saya seorang pelajar yang meminati pelajaran Sejarah dan pada masa ini, menjadi salah seorang ahli Persatuan Sejarah Selangor," katanya.
Beliau yang juga kakitangan sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, menyatakan pada kebiasaaanya sebelum sesuatu pencarian mereka akan jalankan kajian terlebih dahulu dan bukan secara semberono supaya tidak membazir masa yang tidak memberi sebarangan pulangan.
Tambah Mustaqim, mintanya terhadap sejarah banyak membantu hobinya dalam mencari lokasi berpotensi simpanan harta karun dan setakat ini, sudah banyak barangan lama yang beliau temui yang sebahagiannya dijual dan disimpan untuk kajian sejarah.
Katanya, sepanjang menceburi hobi ini, kenangan paling besar bagi dirinya adalah pernah membantu mendapatkan semula barangan kemas pelancong dari United Kingdom bernilai ribuan ringgit yang tercicir di pusat pelancongan ICT Shah Alam.
Anak kelahiran bandar Kajang itu berkata, maklumat kesan sejarah itu juga kadangkala diadakan secara bertemu dengan penduduk kampung kerana sebahagian kesan sejarah ada yang tidak dibukukan untuk pengetahuan orang ramai.
Bapa kepada tiga cahayamata itu berkata, walaupun wujud beberapa akta berkaitan kegiatan ini, ia bukan penghalang bagi individu seperti mereka untuk meneruskan hobi ini kerana pihak yang bertanggungjawab tidak pernah menampakkan usaha untuk mencari atau melindungi khazanah yang cukup bernilai itu.
"Saya berasa kesal kerana tiada usaha pihak berwajib untuk menjalankan kajian termasuk mewartakan sesetengah kawasan bagi melindungi khazanah barangan bersejarah," katanya.
Aksi tangkas anak didiknya itu juga lengkap berpakaian tradisi dengan tersisip keris di pinggang, saling tak tumpah seperti hulubalang Melayu sedang berlatih sebagai persediaan mempertahankan kedaulatan sultan pada zaman dahulu.
Mustaqim yang juga terkenal dengan gelaran 'pendekar' turut meminati seni silat Kuntau Lenggong dan menjadi guru silat kepada sekumpulan remaja di kawasan tempat tinggalnya di Taman Puncak Saujana, Kajang, Selangor.
Anak-anak Kuntau Lenggong di bawah kelolaannya itu juga kerap dijemput untuk membuat pertunjukan dalam majlis yang dihadiri tetamu kenamaan, majlis perkahwinan dan perasmian sesuatu program. - KitaReporters.com