Insan & Komuniti 03 Nov, 2019

"PUAN.. PEMANDU INI CACAT PENDENGARAN"

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this
"PEMANDU puan ini seorang cacat pendengaran atau pekak. Kami menggalakkan puan untuk duduk di depan, bersebelahan pemandu dan gunakan kemudahan "chat" dalam telefon untuk berkomunikasi." 

Nota ikhlas dari Grab. 


Itu mesej yang kami terima daripada pihak pengurusan Grab. Serius ke ni? Bagaikan tidak percaya Shams Ahmad, kawan saya, berulang kali bertanyakan soalan itu. "Kak!.. Dia ni pekak ke?"

Serius sungguh ni. Saya tak gembira sebaik menerima maklumat tambahan ini. Terdetik macam-macam dalam hati. 

Saya adalah antara penumpang kereta yang ada sindrom klausfrofobia (takut tempat sempit) dan bila diberitahu pemandu kereta Iriz ni Orang Kurang Upaya (OKU) lagilah bertambah-tambah gerunnya hati.  

Saya takut naik kapal terbang, bas, naik LRT, tumpang kenderaan yang dipandu oleh  bukan suami dan gayat bila dalam kenderaan pancuan empat roda.

Dahlah petang itu hujan sangat  lebat yang musim tengkujuh kini sedang melanda Lembah Klang menjejaskan lagi keyakinan saya untuk menggunakan Grab ni. Bertambah-tambah mengharukan lagi keadaan,  inilah kali pertama saya naik Grab. 

Sebelum itu, terkial-kial dengan Shams untuk menghubungi teksi dan bila sudah petang, mesti jalan sesak dan ramai pemandu akan memberi macam-macam alasan untuk tidak pergi biarpun tempat yang kami hendak tuju itu dekat saja, Selayang Baru untuk bertemu dan menumpang kereta seorang lagi kawan. 

Kami hendak ke Jalan Genting Klang untuk mendengar taklimat syarikat yang diatur setiap bulan. Malam itu ada pula kuliah motivasi, sebahagian daripada tuntutan kerja.

Sebelum itu, Shams menaiki MyTaxi yang hanya  menghantarnya ke rumah saya. Teksi itu kena berpatah balik dan berpesan kepada kami supaya menghubungi semula perkhidmatan teksi lain. 

Alasannya dia  tidak boleh senang-senang membelok ke taman perumahan saya untuk mengambil dan meneruskan perjalanan walaupun laluannya  jalan sehala saja  ke destinasi utama kami.

Sudah masuk  jam 6 petang, keadaan bertambah panik bila semua perkhidmatan teksi memberi alasan pemandu sibuk. Sehinggalah tiba-tiba info itu tertera bersama tempahan Grab itu muncul di telefon.  

Dalam hati berdebar-debar, reaksi pertama ialah bersikap negatif. Boleh ke dia memandu dalam hujan,  dengar ke hon dari kenderaan lain tu  (sebenarnya kita yang tak cacat ini pun memandu berdasarkan penglihatan saja)?

Seribu satu macam persoalan berlegar-legar dalam fikiran. Dan dah tak sempat buat apa-apa, teksi itu sampai.

Kereta Proton Iriz (kelabu) bernombor pendaftaran NDG 840 tiba. Saya dengan Shams saling memandang. 

Mohd Syahmi Sofian. 


Pasrah, kami buka pintu, masuk kereta dan saya duduk di sebelah pemandu. Mula-mula perjalanan senyap saja.

Ting!....saya dapat idea. Dengan mengeluarkan buku nota catatan dari beg saya,  mulalah kami bersembang panjang lebar sehingga tiba ke Selayang. Sebenarnya, saya berberbual untuk meredakan perasaan takut tu.

Nama Pemuda ini, Muhammad Syahmi Bin Sofian. Dia dari Taman Ampangan, Negeri Sembilan. Syahmi antara 300 pemandu Grab di seluruh negara yang ada kecacatan tetapi memenuhi syarat untuk memandu kenderaan.

Hari ini dia sebenarnya dalam perjalanan balik selepas menghantar pelanggannya dari Bangi ke Country Homes, Rawang. Kalau sudah rezeki anak muda ni, kami mungkin orang terakhir rezekinya.

Soalan saya.


Peramah orangnya. Mungkin dia tahu orang akan sedikit cuak bila menaiki kenderaannya, Syahmi cuba membalas setiap soalan saya. Saya perkenalkan diri sebagai wartawan pencen. Tersengih dia sambil menangguk-angguk.

Sudah setahun dah dia menjadi pemandu Grab. Dulu bekerja di kilang dan mengambil keputusan bekerja sendiri untuk menampung keluarganya, seorang isteri dengan anak kecil berusia enam bulan.

Dia belajar sehingga tingkatan 5. Sebelum dibenarkan membawa kenderaan itu, Syahmi perlu mendapatkan permit PSV. Bukan mudah kata dia tambah pula dengan keadaan dirinya. 

Sejak setahun lalu, dia sudah merata tempat menghantar pelanggan dari seluruh daerah di Lembah Klang, Seremban sehingga ke Melaka, Genting Highlands, KLIA dan inilah kali pertama dia hantar penumpang ke Rawang. 

Syahmi tenang pandu Grab guna Waze.


Bertemu kami yang juga kali pertama menaiki Grab, sudah tentulah terasa macam satu pertemuan nan indah yang diaturkan oleh Allah SWT untuk saya melihat seorang cacat pendengaran boleh mencari rezeki sebagai drebar Grab.

Dan sesungguhnya canggihnya teknologi telekomunikasi termasuk telefon bimbit ni telah membuka pelbagai pintu rezeki khususnya kepada warga OKU untuk bersama-sama bersaing mencari rezeki. 

Jika tiada faham bahasa Braille, sudah tentulah sistem chat itu memudahkan komunikasi. Syahmi dibekalkan dua telefon. Satu untuk pertunjuk arah (Waze) dan satu lagi untuk berbual dengan pelanggan. Saya tulis di nota dia jawab di papan muka telefon itu.

Banyak pengalaman yang diperolehinya termasuk kena tipu lima kali dan pendapatannya boleh menjangkau sehingga RM200 sehari dan setiap hari adalah hari yang baru bagi anak muda ni dan mungkin juga penumpang!

Jika anda bertemu dengan Syahmi ini jangan risau dia pemandu yang cekap dan tenang saja. Wajahnya sentiasa tersenyum manis dan hari itu tambang dari Rawang ke Selayang dalam RM29 saja. Kami berikan dia RM40. 

Dan jangan lupa saya hendak bagitahu, dia ni pemandu yang dapat taraf lima bintang daripada penumpang yang pernah menaiki Grabnya.

Syahmi diberi lima bintang oleh penumpang Grab.


Syahmi pemandu Grab Oku cacat pendengaran.


Bergambar dengan penumpang Sham Ahmad. 


Dari takut dah boleh senyum. 

11
0
0
0
0
You will be interested