Kampus & Pendidikan 31 Dec, 2023

Mega Outreach WAKE! 40 pelajar UIAM bimbing 100 anak Orang Asli Kuala Boh! Edar barang sumbangan!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this

40 orang Mahasiswa UIAM bersama penaja program ketika majlis penutup .


Seramai 40 mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah Kelab Titian Asli UIAM, bermalam di Kampung Orang Asli Kuala Boh, Cameron Highlands pada program Mega Outreach WAKE (Wellbeing Advancement through Knowledge and Education). 

Progam tiga hari dua malam yang bermula pada 25 November 2023 itu membabitkan kira-kira 100 anak Orang Asli berumur 5 hingga 12 tahun.


Anak-anak Orang Asli bersama mahasiswa UIAM ketika pelaksanaan kegiatan modul.


Timbalan Presiden Kelab Titian Asli UIAM, Ku Muhamad Aminhaikal Ku Mhd Zaki berkata, program itu bermatlamat untuk meningkatkan tahap pendidikan anak-anak Orang Asli di Kampung Kuala Boh.  

Empat modul pendidikan disampaikan oleh pelajar UIAM dalam program itu meliputi bahasa Inggeris, kemahiran berkomunikasi dan kebersihan. 


Pelajar UIAM mengagihkan kotak sumbangan untuk Orang Asli Kuala Boh.


Menurutnya, modul dilaksanakan oleh Kelab Titian Asli berbeza berbanding modul-modul di sekolah. Ini kerana agak sukar untuk mendapatkan perhatian penuh daripada  anak orang asli disebabkan mereka lebih gemar bermain berbanding belajar. 

Kelab Titian Asli UIAM membawa modul yang lebih menyeronokkan dan mengutamakan konsep “indirect teaching” bagi mendapatkan tumpuan sepenuhnya daripada anak- anak Orang Asli.

Kelab Titian Asli UIAM juga bekerjasama dengan Yayasan Faiza, Yayasan EZ Prihatin, Dana Kita, Pahang Coorporation dan juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato' Ramli Mohd Nor bagi menjayakan Program Mega Outreach WAKE di Kampung Orang Asli Kuala Boh yang membabitkan dana perbelanjaan kira-kira RM20,000.


Antara penduduk kampung yang menerima sumbangan


Ku Muhamad Aminhaikal berkata bagi pihak kelab, "kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terbabit, terutama penaja program yang memberi bantuan dalam bentuk kewangan mahupun barangan sumbangan untuk masyarakat Orang Asli."

Menurutnya lagi, program ini bertujuan menangani isu atau masalah keciciran pendidikan dalam kalangan anak-anak Orang Asli yang rata-rata bermula apabila mereka tamat pendidikan pada tahap sekolah rendah. 

"Kami berusaha untuk memupuk minat dan cinta mereka kepada pendidikan sekali gus mendorong untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Program ini adalah bersiri dan kami akan cuba meningkatkan lagi semangat mereka untuk menimba pelajaran dari semasa ke semasa,” tambahnya. 


Pelajar UIAM mengagihkan kotak sumbangan untuk Orang Asli Kuala Boh.


Selain daripada menjaga pendidikan anak Orang Asli, kelab itu juga berusaha memberi perhatian kepada kebajikan masyarakat Orang Asli melalui aktiviti gotong royong dan pengagihan sumbangan. 

Barangan yang diterima oleh penduduk kampung Orang Asli itu adalah sumbangan daripada Yayasan Faiza dan juga Dana Kita.


Antara penduduk Orang Asli Kampung Kuala Boh yang hadir  


Wakil Yayasan Faiza, Jadwa Abu Bakar (kiri); wakil Yayasan EZ Prihatin, Muaz (dua dari kiri); Tok batin Masnan (tengah); wakil Dana Kita, Aiman (dua dari kanan); bersama Timbalan Presiden Kelab Titian Asli UIAM, Ku Muhamad Aminhaikal Ku Mhd Zaki (kanan) bagi majlis penutup Mega Outreach WAKE.

23
13
0
12
0
You will be interested