.

Siapa tidak kenal Salahuddin Al-Ayubi, pahlawan agung Islam yang membebaskan Baitulmaqdis, menyatukan Mesir, Syria, Hijaz dan beberapa wilayah lain di bawah panji Ayyubiyyah.
Adakah kita mampu melahirkan pemimpin sehebat Salahuddin Al-Ayubi lagi?
Melahirkan pemimpin masa depan tidak mudah, tetapi bukan sesuatu yang mustahil jika kita membina ekosistem sokongan yang betul. Pemimpin bukan dilahirkan, tetapi dibentuk.
Melahirkan pemimpin masa depan adalah keperluan kritikal, bukan pilihan. Tanpa pemimpin yang berkualiti, sesebuah negara, organisasi, atau komuniti akan hilang arah, lemah dari segi integriti, dan lambat berkembang.

Peserta belajar asas hafazan untuk 10 ayat pertama surah al-Kahfi.
Justeru, Pusat Pendidikan Dar Al Musthofa menganjurkan Kem BBQ: Future Leader di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi bagi memberi pendedahan awal kerana selama ini ramai kanak-kanak dan remaja tidak diberi peluang memimpin atau tidak diajar asas kepimpinan sejak kecil.
Pengarah Program Kem BBQ, Ustaz Omar Ariff Osman, berkata melahirkan pemimpin dalam kalangan generasi muda memerlukan pendekatan yang menyeluruh, berstruktur, dan berterusan.
"Jika mahu melihat masa depan yang baik, kita mesti berani melabur dalam kepimpinan hari ini. Ia ibarat menanam sebiji benih, perlu membaja, menyiram dan membelai dengan hati-hati supaya ia membesar serta mengeluarkan hasil yang baik.
"Melahirkan pemimpin masa depan bukan hanya politik, tapi membina guru yang hebat, usahawan beretika, aktivis jujur, dan penjawat awam yang berdedikasi," katanya.

Ustaz Omar Ariff Osman
Program BBQ di Masjid Al-Hasanah diadakan selama tiga hari dengan pelbagai pengisian, antaranya tilawah dan tadabbur, Fiqh Remaja, Pengurusan Jenazah, STEM & Al-Kahfi, Smart Solat, Memanah dan aktiviti berkumpulan.
Beliau berkata, dalam program STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) peserta diberi tunjuk dalam kumpulan bagaimana menghasilkan kapal yang perlu dipasang dan boleh digunakan untuk perlumbaan.


Pengenalan kepada pengurusan jenazah memberi peluang peserta belajar dan memahami situasi apabila berlaku kematian.
"Pendidikan STEM sangat penting dalam dunia moden kerana banyak pekerjaan baru yang muncul memerlukan kemahiran dalam bidang-bidang itu.
"STEM juga membina kemahiran berfikir kritikal dan menyelesaikan masalah, menyediakan pelajar untuk kerjaya masa depan yang berasaskan teknologi dan inovasi selain menggalakkan inovasi serta daya cipta," kata Ustaz Omar Ariff.
Katanya, Kem BBQ kali ini sambungan dari program sebelum ini. Jika dulu hanya mengajak mereka ke masjid atau surau, kali ini tenaga pengajar mahu melihat tingkah laku mereka apabila berada di rumah Allah, dari mula masuk hingga meninggalkan tempat ibadat itu.

Peserta dalam aktiviti pendidikan STEM bersiap sedia untuk berlumba kapal yang dipasang dalam kumpulan.
"Mereka akan belajar bagaimana muazzin mengalunkan azan, solat berjemaah dan imam sebagai pemimpin dalam solat memberi arahan kepada maklum supaya rapatkan saf, luruskan barisan dan memastikan tiada kekosongan dalam saf sebelum memulakan solat.
"Kami ajar mereka bukan saja perlu menampilkan keterampilan yang kemas, beradab dan berdisiplin tapi boleh membaca al-Quran dan berucap di hadapan khalayak," kata Ustaz Omar Ariff.
Selain acara persembahan dalam kumpulan. Kem BBQ juga menyediakan aktiviti memanah dan pengurusan jenazah kerana pemimpin yang baik, mereka boleh menguruskan keluarga sendiri. kemudian mengembangkan bakatnya kepada masyarakat dan negara.


Aktiviti memanah mendapat sambutan baik dalam kalangan peserta Kem BBQ.
"Kami juga melatih mereka menjadi imam, bilal atau siak selain pegawai di masjid melalui aktiviti Smart Solat. Ini karakter yang perlu ada kepada peserta bagi menjadi pemimpin yang berilmu dunia dan akhirat.
"Pemimpin yang baik perlu menyantuni semua orang, tidak terhad kepada diri dan keluarganya sahaja.
"Kebanyakan kanak-kanak dan remaja di Malaysia ada bakat tapi mereka malu ke depan. Di sinilah kami menggilap mereka dengan memberi peluang bercakap atau meluahkan apa saja supaya mereka selesa, tidak takut atau malu berada dalam kelompok besar," katanya lagi.

Setiap kumpulan mendapat peluang membuat persembahan di hadapan rakan-rakan mereka bagi membiasakan apabila berhadapan dengan khalayak ramai.
Ustaz Omar Ariff mengakui, ada kanak-kanak pendiam di rumah tapi apabila nilai diri digilap, mereka boleh bercakap dan bergaul. Melalui Smart Solat, Smart Wuduk, menghafal surah al-Kahfi (10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir), insya-Allah mereka boleh menjadi lebih yakin.
"Aktiviti disediakan adalah pendedahan awal seperti hafazan dan feqah remaja, Kami akan beritahu perkara asas dalam Islam seperti haid selain apa yang boleh dan tidak boleh contohnya haram menyentuh orang lain yang bukan mahram, dan mandi wajib.
"Memang ada peserta tidak tahu mengenai perkara ini, Mulanya kami agak terkejut tapi ia mungkin berlaku kerana kesibukan ibu bapa menyebabkan mereka tidak sempat menceritakan hal-hal itu kepada anak-anak mereka," katanya lagi.

Kumpulan Titan juara terbaik keseluruhan kategori peserta lelaki Kem BBQ.

Kumpulan An Nisa dan Raudah juara bagi kategori peserta perempuan.
Ustaz Omar Ariff berkata, program-program yang mengangkat atau mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja untuk berkembang menjadi pemimpin amat kurang kerana subjek itu memerlukan kepakaran dan latihan.
"Kami hanya memberi pendedahan awal kerana tempoh untuk membentuk serta melahirkan pemimpin memerlukan tempoh lama, tapi sekurang-kurangnya Kem BBQ sudah menyediakan asas, mungkin selepas ini ada siri-siri yang lebih mendalam.
"Harapan kami, Kem BBQ dapat membentuk asas kepimpinan mereka di peringkat rumah atau sekolah tapi yang penting mereka perlu dekat dan "berkawan" dengan al-Quran bagi menjadi pemimpin yang baik di masa depan," katanya. - KitaReporters

Peserta dan tenaga pengajar Kem BBQ berswafoto selepas tamat program selama tiga hari.