Kampus & Pendidikan 03 Jul, 2024

Bagi jamin kemampanan sumber laut! Akuatrop UMT lepaskan anak benih ketam! 55,000 ketam renjong!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Hubung kait antara hidupan dan alam semula jadi dalam membentuk ekosistem adalah satu jaringan yang kompleks dan saling bergantung antara satu sama lain. Setiap spesies dalam ekosistem memainkan peranan tertentu yang menyumbang kepada fungsi keseluruhan ekosistem. 

Pemuliharaan ekosistem laut merupakan salah satu langkah kritikal dalam memastikan kestabilan ekonomi dan kelestarian sumber alam. 

Namun isu kemampanan sumber laut memberi impak signifikan kepada pemegang taruh yang menjadikan hasil laut sebagai sumber ekonomi utama seperti golongan nelayan. 

Hasil tangkapan yang diperoleh saban hari menentukan taraf ekonomi kelompok itu. Antara hasil laut yang turut menyumbang kepada tangkapan para nelayan ialah ketam renjong. Hidupan laut itu merupakan salah satu sumber utama pendapatan bagi nelayan di kawasan pesisir pantai. 

Penangkapan berlebihan dan kemusnahan habitat juga akan menyebabkan penurunan populasi ketam renjong di habitat semula jadi. 

Oleh itu, pelepasan benih ketam renjong dapat membantu meningkatkan populasi ketam ini, sekali gus memastikan nelayan dapat terus memperoleh hasil tangkapan yang mencukupi untuk menyara kehidupan mereka.



Pelbagai inisiatif yang telah dilakukan bagi mencari titik keseimbangan dalam keperluan manusia dan kelestarian alam. 

Sebagai contoh, pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sering mengadakan program pelepasan anak benih ketam. Terkini, pihak UMT menerusi Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (Akuatrop) berjaya melepaskan kira-kira 55,000 anak benih ketam renjong di pantai berhampiran kampus.

Ketam renjong atau nama saintifiknya Portunus pelagicus, merupakan spesies yang mempunyai nilai ekonomi tinggi, terutama dalam kalangan komuniti nelayan tempatan. 

Ia memainkan peranan penting dalam rantaian makanan laut, sebagai pemangsa kepada beberapa spesies kecil dan mangsa kepada spesies yang lebih besar. 

Dengan pelepasan benih ketam renjong, populasi ketam ini dapat dikekalkan pada tahap yang stabil, seterusnya menyokong keseimbangan ekosistem laut. 

Keseimbangan ini penting untuk memastikan tidak berlaku gangguan yang boleh memberi kesan negatif kepada spesies lain dan keseluruhan ekosistem.

Kemampanan sumber laut adalah aspek penting dalam pengurusan perikanan yang lestari. 

Melalui program pelepasan benih ketam renjong, usaha ini dapat menyokong kelestarian sumber laut dengan mengekalkan polpulasi spesis itu walaupun jumlah tangkapan nelayan meningkat. 

Program ini melibatkan penetasan dan pelepasan benih ketam renjong ke habitat semula jadi mereka, yang membolehkan populasi ketam ini membesar matang dengan baik. 

Ini secara tidak langsung mengurangkan tekanan terhadap populasi liar dan membantu mengekalkan sumber laut untuk generasi akan datang.



Pelaksanaan program pelepasan benih ketam renjong juga merupakan platform penyebaran pengetahuan mudah dalam meningkatkan kesedaran dan pendidikan komuniti mengenai pentingnya pemuliharaan ekosistem laut. 

Melalui penglibatan nelayan dan komuniti tempatan dalam program ini, mereka dapat memahami kepentingan menjaga habitat semula jadi dan mengamalkan kaedah penangkapan yang beretika. 

Kesedaran ini penting untuk mengubah sikap dan amalan dalam jangka masa panjang, seterusnya menyokong usaha pemuliharaan yang berterusan.

Pemuliharaan ekosistem melalui pelepasan benih adalah langkah penting yang mempunyai pelbagai manfaat bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan dan kestabilan ekonomi nelayan, tetapi juga memastikan kemampanan sumber laut dan keseimbangan ekosistem agar ia dapat dinikmati oleh generasi akan datang. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
15
0
9
0
You will be interested