Pemerkasaan wanita terus menjadi agenda nasional yang penting terutama dalam menjamin pembangunan dan pengupayaan wanita dengan mengarusperdanakan kepentingan wanita untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya dalam perancangan dan pembangunan negara.
Selaras
dengan usaha menyokong agenda pemerkasaan wanita pada peringkat kebangsaan, Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita USIM telah
menganjurkan sebuah forum bertajuk ‘Peranan Wanita dalam Kerjasama
Antarabangsa’ bertempat di Auditorium, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK)
USIM, pada 10 Januari 2024.
Forum yang membawa tema kewanitaan ini dibarisi panelis yang tidak asing lagi di Malaysia, iaitu Profesor Dato’ Seri Dr. Zaleha Kamaruddin, Ahli Majlis Penasihat Wanita kepada Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) yang juga merupakan mantan Rektor pertama wanita bagi Universiti Islam Antarabangsa (UIAM); Rohani Datuk Mohd. Shahir, Pengerusi Khadijah International Waqf (L) Foundation; dan Profesor Dr. Rafidah Hanim Mokhtar, Profesor di FPSK USIM yang juga merupakan Pengerusi the International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (Perikatan Wanita Antarbangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti atau WAFIQ).
Pelbagai topik serta perkongsian ilmu berkaitan peranan wanita dikupas dalam forum yang berlangsung hampir dua jam itu yang merangkumi tanggungjawab dan peranan wanita sebagai individu sama ada dalam kehidupan peribadi, kerjaya profesional mahupun rumah tangga.
Nor Azzah Momin, Ketua Pustakawan, merangkap Ketua Jawatankuasa Pemerkasaan
Wanita USIM berkata, “Jawatankuasa Pemerkasaan Wanita USIM telah diwujudkan
dengan hasrat untuk menjadi sebuah platform yang merangka dasar, membentuk
perancangan dan menjalankan aktiviti serta kolaborasi yang berkaitan dengan
usaha pembangunan diri, kemahiran serta visibiliti wanita di USIM serta wanita
lain dalam masyarakat.
“Pelaksanaan forum ini adalah untuk memberikan gambaran dan panduan yang luas berkenaan peranan yang perlu dan boleh dimainkan oleh wanita pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain mendapatkan pengalaman dari beberapa perspektif berbeza daripada ahli panel dengan pelbagai latar belakang”.
Jelas beliau lagi, tema yang dipilih ini selari dengan keperluan kaum wanita yang diperuntukkan dengan satu surah yang dikhususkan kepada mereka iaitu Surah An-Nisa’ yang di dalamnya terkandung perbahasan yang mendalam berkaitan isu-isu wanita.
Antara isu dan permasalahan yang disentuh adalah hukum-hukum pernikahan, perwarisan, hak dan kewajipan dalam keluarga, serta perlindungan terhadap hak-hak wanita.
Sementara
itu, Farrah Nadia Yussof, 37, salah seorang peserta forum yang hadir berkata, pengisian
forum yang dikongsikan oleh para panel amat bagus dan bermanfaat, lebih-lebih
lagi bagi wanita yang berkerjaya.
“Diharapkan
program seperti ini dapat diluaskan kepada agensi-agensi kerajaan agar semua
staf wanita mendapat ilmu yang bermanfaat dan membuka minda para wanita untuk
terus menyumbang kepada negara sama ada pada peringkat domestik mahu pun
antarabangsa,” ujar beliau lagi.
Turut hadir ke forum adalah Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, merangkap Yang Dipertua Persatuan Badan Isteri Wakil-Wakil Rakyat & Pegawai Kanan Negeri Sembilan (BAKRIYAH NS); Profesor Madya Datin Dr. Aza Sherin Mohd. Yusoff, isteri kepada Naib Canselor USIM yang juga Pengerusi, Kelab Kakitangan Wanita dan Isteri Kakitangan USIM (Kelab Wardah); Yuhani Jamiran, Penasihat Undang-undang USIM merangkap Timbalan Ketua Taskforce Pemerkasaan Wanita USIM; ahli-ahli BAKRIYAH NS; wakil dari Jabatan Pembangunan Wanita, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN); Persatuan Wanita Universiti; dan Puspanita Kementerian, Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), pegawai-pegawai kerajaan, serta masyarakat sekitar. - KitaReporters/USIM