
Aida Othman bersama Prof Datuk Dr Imran Ho pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UBB Amanah dan Perdana University yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, baru-baru ini. - Foto KitaReporters
Dalam usaha memperkukuh jaringan ekosistem pendidikan yang mampan, Dana Pendidikan UBB Amanah telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perdana University, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pencarum UBB Amanah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Majlis menandatangani MoU itu berlangsung dalam suasana penuh bermakna apabila turut disertai hampir 100 anak yatim dari Asrama Kasih Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Serendah yang diraikan dalam majlis berbuka puasa.

MoU tersebut menyaksikan Dana Pendidikan UBB Amanah dan Perdana University bekerjasama dalam pelaksanaan program akademik bagi memberikan akses lebih mudah kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi berkenaan.
Bagi pihak Dana Pendidikan UBB Amanah, dokumen perjanjian ditandatangani Pengarah Urusannya, Aida Othman, manakala Perdana University diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Imran Ho.

Menurut Aida, kerjasama ini bakal memberi manfaat besar kepada pencarum UBB dengan menawarkan laluan lebih mudah untuk menyambung pengajian serta berpeluang menikmati pengurangan yuran pengajian.
“Inisiatif ini diharap dapat membantu lebih ramai golongan muda melanjutkan pelajaran tanpa perlu terlalu terbeban dengan kos pengajian yang tinggi,” katanya dalam majis berbuka puasa di Pusat Konvensyen Sime Darby Bukit Kiara, Rabu, 19 Mac 2025 lalu.

Pada majlis sama, UBB turut meraikan hampir 100 anak yatim dari Asrama Kasih Serendah YBK dengan majlis berbuka puasa yang disediakan khas.
Lebih istimewa, setiap anak yatim menerima sumbangan duit raya sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang menjelang Aidilfitri.
Kerjasama strategik ini dijangka memberi impak positif dalam memperkukuh akses pendidikan serta membuka peluang lebih cerah kepada generasi muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. - KitaReporters

