Insan & Komuniti 09 Aug, 2023

Program miliki dokumen pengenalan diri dapat sambutan! Anak-anak Orang Asli suku Bateq di SK Merting!

@rahanamd
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this

Kanak-kanak etnik Bateq di Kampung Atok yang tinggal di tebing Sungai Hulu Tumbeling, turut dididik dengan semangat patriotik sempena bulan kemerdekaan.


Put a/p Along, gadis daripada etnik Bateq (suku kaum Negrito) di Jerantut mendakwa tahun ini usianya telah mencapai 18 tahun tetapi disebabkan tubuhnya genit ramai menyangka dia berusia 13 tahun. Bagaimana pun kedua-dua andaian tersebut tidak tepat kerana Put antara ratusan kanak-kanak di beberapa perkampungan Orang Asli di daerah tersebut yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. 

Ketika menemuinya di SK Merting, Jerantut Pahang baru-baru ini kerana menghadiri Program anjuran  Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Transformasi Minda Insan Sub Aktiviti Program Kecemerlangan Akademik dan Sahsiah Diri Daerah Jerantut yang berlangsung selama dua hari, 5 dan 6 Ogos yang  lalu, Put berkata program tersebut sangat bagus dan percaya akan memberi kebaikan kepada dirinya walaupun baharu dua tahun bersekolah.


Put a/p Along bercita-cita menjadi artis dan mahu menguasai bahasa Melayu dengan lebih fasih.


Ditanya  cita-citanya, tanpa berselindung, dia  mahu menjadi artis.

 “Belum ada lagi artis yang terkenal dan popular dari masyarakat Orang Asli, sebab itu saya pergi ke sekolah supaya dapat belajar membaca, tahu perkembangan dunia di luar serta boleh berkomunikasi lebih fasih lagi dan boleh menjadi penyanyi,” katanya.

Akuinya dia mendapat maklumat mengenai artis daripada rakaman dalam telefon bimbit beberapa penduduk kampungnya di Kuala Atok kerana  tidak ada bekalan elektrik, apatah lagi televisyen.

“Saya pernah ke Bera kerana mengikuti salah seorang guru yang balik kampung dan juga pernah ke Melaka tetapi tidak pernah sampai ke Kuala Lumpur, saya juga tidak tahu apa itu KFC,” ujarnya sambil mengelengkan kepala.

Put berkata sejak dia berpeluang ke sekolah, pertuturannya semakin baik terutama  menggunakan perantaraan bahasa Melayu dengan betul kerana berpeluang bercampur dengan murid-murid dari kampung lain, mengenal huruf dan membaca perlahan-lahan.

“Cuma di kampung cepat gelap dan awal lagi semua penduduk sudah tidur dan kalau tidak boleh pejam mata, saya akan bangun nyalakan lampu pelita atau lilin untuk mewarna sehingga terlelap. Awal pagi kena bangun bersiap untuk ke sekolah dengan kawan-kawan menaiki bot dan saya seronok dapat belajar,” katanya.


Santhi Periasamy (barisan belakang, empat dari kiri)  bergambar kenangan ketika pelancaran Program Komuniti pembukaan "Sekulah Bateq" di Kampung Kuala Atok, Jerantut, Pahang  pada tahun lalu (2022).


Put antara 69 murid kelas khas yang berusia tujuh hingga 16 tahun dalam kalangan anak-anak Orang Asli di SK Merting yang mendapat peluang ke sekolah sejak dua tahun lalu tanpa dokumen pengenalan diri. 

Bagaimanapun hasil kerjasama beberapa agensi kerajaan negeri  termasuk JAKOA dan disokong oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Daerah Jerantut, Pejabat Perpaduan, SK Merting serta Badan Bukan Kerajaan (NGO)  Yayasan RYTHM (Raise Yourself To help Mankind) yang beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor, program menggalakkan masyarakat Orang Asli memohon dokumen pengenalan diri telah berlangsung dengan jayanya.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri dan daerah telah membuka kaunter termasuk menyediakan kelengkapan kamera  bagi memudahkan permohonan dokumen gantian kad pengenalan, pendaftaran lewat kelahiran, sijil kelahiran dan myKad.

Dalam program tersebut, sebanyak 208 permohonan sijil beranak dan kad pengenalan Orang Asli setempat berjaya diproses dan akan dibawa ke Putrajaya untuk tindakan susulan.

 Timbalan Pengarah JAKOA Pahang, Ahmad Marzuki Salleh berkata, program  mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Orang Asli dan melepasi sasaran 80 permohonan pada peringkat awalnya.

"Sasaran  permohonan dalam kalangan penduduk Kampung Kuala Atok dan Kampung Sungai Tekal bagaimana ia turut mendapat sambutan dalam kalangan  penduduk kampung berhampiran dan situasi ini perkembangan yang baik kerana kebanyakan anak-anak mereka juga telah mengikuti pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah,” katanya.      


Ahmad Marzuki Salleh (barisan hadapan, tujuh dari kanan) bersama-sama wakil pelbagai agensi, NGO dan masyarakat Orang Asli Jerantut pada Program Transformasi Minda Insan Sub Aktiviti Program Kecemerlangan Akademik dan Sahsiah Diri Daerah Jerantut yang berlangsung selama dua hari, 5 dan 6 Ogos yang  lalu.


Ketua Yayasan RYTHM,  Santhi Periasamy berkata , program tersebut adalah kesinambungan  daripada perbincangan dengan pihak sekolah SK Merting yang sanggup menerima lebih 60 murid dalam kalangan anak-anak Orang Asli daerah Jerantut dalam kelas khas di sekolah tersebut sejak dua tahun lalu.

“Melihat kesanggupan pihak sekolah, Yayasan RYTHM turut terpanggil membantu dan memberi fokus kepada anak-anak Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Atok, Hulu Tembeling dengan pembukaan  'Sekulah Bateq' setahun yang lalu.

“Saya percaya hanya dengan pendidikan mampu mengubah landskap pembangunan ekonomi dan pendidikan  Orang Asli  dan menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sekarang. 

“Pada hujung minggu  beberapa guru dari sekolah yang sama dibawa masuk ke kampung untuk mengajar kelas tambahan kepada pelajar di sebuah wakaf (Sekulah Bateq) yang didirikan di sana,” ujarnya.

Justeru katanya langkah memberi kesedaran kepada masyarakat Orang Asli memiliki dokumen pengenalan diri sangat dialu-alukan supaya tida ada masalah keciciran pendidikan,  lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada mereka,” katanya.  


Hussin Dayak 


Bagi Tok Batin Kampung Kuala Atok Hussin Dayak, pihaknya gembira kerana mendapat bantuan daripada pellbagai pihak untuk memudahkan mereka memohon dokumen dan berharap lebih banyak bantuan akan diterima oleh anak-anak buahnya. 

“Sebagai Tok Batin saya selalu mengingatkan anak buah mendaftar anak-anak yang baru lahir di JPN, bila cukup 12 tahun buat Mykad dan warga yang lebih tua ganti kad pengenalan baharu tetapi bukan mudah memujuk mereka.

“Alasan utama mereka sukar keluar ke bandar Jerantut terutama warga emas kerana kampung dihubungkan hanya melalui sungai dengan menaiki bot dan kurang kesedaran tentang kepentingan memiliknya. 

"Saya jelaskan perlahan-lahan mudah dapat bantuan dan boleh bersekolah dan lama-kelamaan mereka dapat menerimanya. Jika sudah dapat dokumen tersebut saya berpesan, jagalah ibarat nyawa dan simpan di tempat selamat”. ujarnya.

Sementara itu, salah seorang guru di kelas khas anak-anak Orang Asli, Julie Mazreen, 25, ketika ditemui berkata, cabaran terbesar berhadapan dengan muridnya adalah penguasaan bahasa Melayu yang menjadi perantaraan.

“Pada peringkat awal dahulu masalah komunikasi kerana walaupun saya dari suku Semelai di Bera tetapi kebanyakan pelajar dari suku yang berlainan seperti suku Bateq dan Semaq Beri di samping dialek kami berbeza. Bagaimana pun selepas menggunakan pendekatan menarik perhatian dengan cara paling mudah mereka mudah didekati.

“Dalam kelas khas tidak ada sukatan pembelajaran yang khusus kerana objektif utama memberi pendidikan asas seperti mengenal huruf, boleh membaca dan mengenalkan mereka dengan teknik bertutur dengan betul, menjaga kebersihan, bersukan, adab dan juga akhlak,” katanya.

Tambahnya, pihak sekolah berusaha mewujudkan rasa seronok untuk ke skeolah setiap hari kerana kebanyakan mereka contohnya suku Bateq tinggal di seberang sungai dan terpaksa menaiki bot pergi dan balik sekolah. 

“Kami gunakan pendekatan memujuk untuk hadir setiap hari dengan bantuan Tok Batin dan jika mereka mempunyai dokumen diri seperti sijil kelahiran dan myKad pihak sekolah juga ada menyediakan asrama. 

"Langkah Yayasan RYTHM yang membina wakaf di sana sangat dialu-alukan kerana saya berpeluang lebih mengenali keluarga mereka,” ujarnya yang turut mengajar kelas tambahan pada hujung minggu. - KitaReporters


Cikgu Julie Mazreen, mengajar kelas khas murid Orang Asli di SK Meeting.

      

 

 

15
13
0
6
0
You will be interested