Insan & Komuniti 31 Dec, 2020

Tolong kami! Bantu IRM! Sumbang kepada kempen ringankan kos kembali ke sekolah sebab Covid-19

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

PANDEMIK Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara telah meninggalkan implikasi mendalam terhadap kesihatan, psikologi, dan sosioekonomi. Isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana sama ada di kawasan luar bandar atau bandar turut merasakan tekanan berikutan krisis wabak virus Wuhan tersebut. : KitaReporters 

Ecard kempen Bring a Smile: Donate a School Kit Now! dalam platform LaunchGood. - Kredit foto-foto: Ihsan IRM


Lagi laporan-laporan aktiviti berkaitan IRM:

https://kitareporters.com/search?search=IRM


Menurut kenyataan media Islamic Relief Malaysia (IRM), ramai rakyat yang terjejas, namun yang membezakan setiap situasi adalah tahap kesukaran yang dialami.

Kajian agensi Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang bertajuk ‘Keluarga di Pinggiran’ menunjukkan isi rumah berpendapatan rendah dan mereka yang berpendapatan harian di kawasan bandar merupakan antara individu yang paling terkesan susulan pandemik Covid-19.

Satu daripada dua keluarga hidup di bawah paras kemiskinan dan kadar ini lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak. 

Kanak-kanak ini berdepan masalah kekurangan nutrisi makanan apabila 37 peratus isi rumah menghadapi kesukaran membeli makanan mencukupi.

Kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah berisiko untuk berhenti sekolah ekoran kesan kewangan dan psikologi susulan pandemik Covid-19.

Manakala bagi isi rumah yang diketuai wanita dalam kalangan ibu tunggal terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk anak-anak mereka sebanyak 84 peratus.

Hampir satu pertiga ibu bapa menghadapi masalah kewangan untuk membelikan pelitup separa muka kepada anak-anak mereka untuk membendung wabak pandemik Covid-19.


Nadia Amalina Harun, Penolong Pegawai, Bahagian Pengurusan Komuniti Islamic Relief Malaysia (kiri) membantu seorang pelajar dalam sesi pemilihan keperluan persekolahan.


Terpanggil dengan kesusahan yang dialami kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan, selebriti Dr. Soo Wincci dan cef selebriti Imelda Harris selaku Ikon Kemanusiaan IRM tampil menzahirkan keprihatinan menerusi kempen Bring A Smile: Donate A School Kit Now! dalam platform pendanaan komuniti (crowdfunding) LaunchGood yang telah dilancarkan sejak 23 November 2020 sehingga 31 Disember 2020. 

Kempen ini merupakan usaha alternatif kedua-dua ikon ini untuk menyokong kempen Cheer to School through Box of Kindness 2020 anjuran IRM.

Menyasarkan dana sebanyak RM50,000 secara berperingkat-peringkat, kempen ini bertujuan meringankan beban penjaga di samping memberikan bantuan kelengkapan persekolahan kepada para pelajar daripada keluarga B40 dan ke bawah, golongan miskin bandar, anak yatim, orang kelainan upaya (OKU), dan orang asal di Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak. 

Bantuan kempen Bring A Smile: Donate A School Kit Now! tidak terhad kepada golongan masyarakat tertentu, namun kempen ini turut membantu ramai pelajar daripada pelbagai latar belakang agama, bangsa, dan kaum etnik.


Para pelajar gembira menerima bantuan barangan persekolahan yang baru melalui program Cheer to School anjuran Islamic Relief Malaysia.


Bantuan yang diberikan merangkumi pembiayaan yuran persekolahan selama setahun, pakaian seragam sekolah, pakaian sukan, beg, kasut, stokin, alat tulis, set buku latihan, botol minuman, pelitup separa muka, pencuci tangan, dan cecair pembasmi kuman.

Antara pakej yang disediakan adalah Pakej Kebersihan Kanak-kanak (RM25/seorang pelajar) yang meliputi pelitup separa muka, pencuci tangan, dan cecair pembasmi kuman.

Manakala Pakej CTS (RM250/seorang pelajar) pula menliputi pembiayaan yuran sekolah, pakaian seragam sekolah, pakaian sukan, beg, kasut, stokin, alat tulis, buku latihan, dan botol minuman.



Sementara itu, Dr Wincci menjelaskan "ramai yang menyangka Islamic Relief hanya membantu penganut beragama Islam dan bangsa Melayu sahaja. 

"Namun hakikatnya tidak seperti itu kerana Islamic Relief membantu semua golongan tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, etnik atau negara. Saya membuktikannya apabila dipilih untuk menjadi salah seorang ikon IRM,” katanya dalam kenyataan media tersebut.

“Ramai yang terkesan susulan pandemik Covid-19. Terdapat generasi muda yang menghubungi saya secara peribadi meluahkan perasaan mereka berkenaan risiko kemungkinan mereka tidak dapat menyambung pengajian dan persekolahan. 

Mereka juga ada bertanyakan pendapat saya sama ada mereka perlu menyambung atau menghentikan pembelajaran ekoran kewangan ibu bapa mereka yang terjejas susulan pandemik Covid-19,” menurutnya lagi.


Kredit foto: IG Imelda Harris


Cef Imelda pula berkata, “Berdasarkan pengalaman saya menyantuni penerima manfaat, kebanyakan kanak-kanak daripada isi rumah berpendapatan rendah tidak berpeluang memiliki kelengkapan persekolahan yang baru. Mereka terpaksa mewarisi dan menggunakan semula pakaian dan kelengkapan persekolahan kakak atau abang mereka. 

"Saya masih ingat wajah-wajah kegembiraan mereka apabila dapat memilih sendiri peralatan sekolah yang baru dan situasi itu membuatkan saya sebak. Dengan program seperti ini, sedikit sebanyak dapat membantu mereka."



Luahan kegembiraan melalui program Cheer to School yang terdahulu:

“Saya sangat seronok dan gembira dapat membeli barangan keperluan sekolah bersama rakan-rakan,” – Pelajar sekolah rendah 


“Sewaktu saya menemani dan menyantuni para pelajar ketika sesi pemilihan dan pembelian kelengkapan persekolahan mereka, saya dapat lihat mereka begitu seronok dan teruja. Seolah-olah itu merupakan kali pertama mereka diberikan peluang untuk memilih sendiri barangan yang mereka suka. Saya melihat ada pelajar yang teragak-agak untuk mengambil barangan keperluan sekolah kerana risau akan harga yang mahal. Ada yang meminta izin untuk membelikan alat tulis buat adik beradik mereka. Sungguh hebat anak-anak ini,” – Petugas kemanusiaan Islamic Relief Malaysia


“Kebanyakan ibu bapa kepada para pelajar di sini berkerja sebagai penoreh getah. Mereka berkerja secara sambilan dan kebanyakan daripada mereka tiada pekerjaan tetap. Pendapatan mereka tidak mampu untuk menampung keperluan pelajar seharian. Ada dalam kalangan pelajar yang terpaksa menggunakan semula barangan keperluan abang dan kakak mereka dan ada yang terpaksa memakai kasut yang telah koyak sehingga menampakkan jari kaki mereka,” – Chitra a/p Joseph, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar SJK (T) Ladang Pertang, Negeri Sembilan


“Saya sangat berharap program seperti ini diteruskan setiap tahun kerana ia memberikan impak yang sangat besar bukan sahaja kepada para pelajar dan ibu bapa, tetapi juga kepada pihak sekolah. Murid-murid dilihat lebih bersemangat untuk hadir ke sekolah,” – Cikgu Norazia



Didoakan semoga usaha murni Dr. Soo Wincci dan Imelda Harris untuk membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan akan berjalan lancar dan mendapat sokongan penuh daripada setiap rakyat Malaysia khususnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melayari pautan https://www.launchgood.com/donateschoolkit. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh dikemukakan kepada Islamic Relief Malaysia menerusi talian 03-8926 3434. - KitaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested