Insan & Komuniti 20 Sep, 2025

Langkah perkasa perkhidmatan kesihatan! JKNJ terima 20 unit ambulans baharu! 26 lagi akan menyusul!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this

Saban tahun, sektor kesihatan awam berdepan cabaran yang semakin rumit berikutan pertambahan populasi penduduk dan peningkatan penyakit tidak berjangkit, sekali gus memberi tekanan yang besar terhadap fasiliti sedia ada.


 

Antara ambulans baharu yang diterima JKNJ bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan terutama dalam kes kecemasan yang mampu meyelamatkan nyawa pesakit. - Kredit foto: Faccebook Ah Soon. 


Sejumlah 20 daripada 46 unit ambulans yang diterima Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) pada fasa pertama untuk kemudahan kesihatan di negeri Johor. - Kredit foto : Facebook Ah Soon.  


Situasi tersebut menjadikan usaha menambah baik perkhidmatan kesihatan sebagai satu keperluan mendesak, bukan lagi satu pilihan.

Sehubungan itu Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menerima 20 unit ambulans jenis B sumbangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mampu meningkatkan kecekapan rawatan kecemasan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, penyerahan tersebut merupakan fasa awal daripada keseluruhan 46 unit ambulans baharu yang akan ditempatkan di Johor.

"Daripada jumlah tersebut, sembilan unit adalah ambulans jenis A, manakala 37 unit jenis B. Ketibaan 20 unit ambulans pada hari ini adalah penyerahan pertama oleh pihak KKM kepada Johor.


Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan sentiasa menerima jumlah pesakit luar yang ramai. - Kredit foto  Facebook Onn Hafiz Ghazi.


Hospital Sultanah Aminah antara yang menerima jumlah pesakit luar sehingga 5,000 orang sehari mendapat peruntukan. - Kredit foto: FMT. 


Hospital Sultan Ismail menerima peruntukan tambahan sejumlah RM 1 juta bagi memastikan kemudahan yang disediakan mampu memberi khidmat kesihatan terbaik kepada rakyat. - Kredit foto: gdparchitects


“Sebanyak 20 fasiliti kesihatan termasuk hospital dan klinik kesihatan di bandar serta luar bandar dikenal pasti untuk menerima ambulans berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya pada 17 September 2025.

Katanya, antara yang terlibat ialah Hospital Pasir Gudang, Klinik Kesihatan (KK) Bandar Mas, KK Bukit Waha, KK Bandar Penawar dan KK Tenggara.

Selain itu turut menerima lemudahan tersebut adalah KK Jemaluang, KK Seri Menanti, KK Ayer Baloi, KK Pekan Nenas, KK Kulai, KK Yong Peng, KK Ayer Hitam, KK Simpang Renggam dan KK Segamat.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng itu berkata, kerajaan negeri turut memperuntuk bajet tambahan menerusi beberapa inisiatif khusus yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Antaranya ialah RM3.46 juta bagi pemindahan perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak Hospital Sultan Ismail (HSI) serta Pusat Pembekalan Ubat Susulan Setempat (PPUSS), RM1 juta untuk pembangunan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Gelang Patah serta RM2.02 juta bagi Program Southern Volunteers melibatkan 117 sukarelawan yang membantu di Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Pasir Gudang.



Hospital Pasir Gudang  menerima peruntukan berjumlah RM200 ribu bagi penyediaan peralatan mampu memberi kemudahan kesihatan kepada penduduk sekitar. - Kredit foto: Facebook.com. 


Onn Hafiz Ghazi mendengar penerangan pegawai kesihatan di Klinik Kesihatan Gelang Patah ketika meninjau kemudahan kesihatan di Klinik Kesihatan tersebut. - Kredit foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.


Selain itu Hospital Sultan Ismail menerima tambahan RM1 juta untuk peralatan, Hospital Pasir Gudang RM200,000 bagi penyediaan 104 unit katil, manakala Poliklinik Hospital Sultanah Aminah pula menerima RM100,000.

"Pertambahan aset penting seperti ambulans, akses kepada rawatan kecemasan akan menjadi lebih pantas, sekali gus membantu mengurangkan risiko komplikasi kesihatan dan menyelamatkan lebih banyak nyawa.

"Di negeri besar seperti Johor, masa sering menjadi penentu hidup atau mati. Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kira-kira 30 hingga 40 peratus kes kecemasan boleh mengurangkan komplikasi serius sekiranya rawatan diberikan dalam tempoh “golden hour”, iaitu sejam pertama selepas kejadian,"katanya.


Klinik Kesihatan Bandar Penawar antara yang menerima ambulan baharu. - Kredit foto : KKBP Blogspot. 


Data KKM pada 2024 mencatatkan hampir 3.5 juta lawatan pesakit luar ke hospital-hospital awam di negeri ini. 

Di HSA sahaja, purata harian pesakit luar mencecah 5,000 orang, manakala Jabatan Kecemasan menerima antara 800 hingga 1,000 kes sehari.

Angka-angka ini menjelaskan mengapa penambahan katil, peralatan dan fasiliti baharu bukan lagi opsyen, tetapi satu kemestian.

Dalam konteks ini, Johor menjadi model negeri yang tidak  menunggu dana Persekutuan, sebaliknya berani menggerakkan sumber sendiri demi kepentingan rakyat.

Inilah wajah sebenar pelaburan dalam sektor kesihatan, satu pelaburan yang pulangannya bukan dalam bentuk keuntungan kewangan, tetapi dalam bentuk nyawa yang diselamatkan dan kesejahteraan masyarakat yang lebih terjamin.

Kerajaan negeri mungkin hanya mengumumkan deretan angka dalam sidang media rasmi, tetapi bagi rakyat Johor, setiap ringgit yang disalurkan itu adalah harapan baharu bahawa apabila tiba saat genting, ada sistem yang bersedia melindungi mereka. - KitaReporters


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika meninjau kemudahan kesihatan Kllinik Kesihatan Gelang Patah. - Kredit foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi. 

19
8
0
9
0
You will be interested