Insan & Komuniti 09 Mar, 2025

Sepanjang Jalan Kenangan| Rindu sangat! Bunyi tabuh! Tukar juadah! Malam 27! Puasa zaman dulu-dulu!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

SYED Danial Syed Ahmad tampil dengan pakaian berwarna ungu semasa mengumumkan permulaan puasa 1446H pada 28 Februari, 2025 lalu.


PADA Jumaat, 28 Februari, 2025 ramai yang tercongok di depan televisyen, menunggu pengumuman tarikh bermula puasa bagi tahun 1446H (2025M) oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad. 

Agak kelakar, ada juga yang menunggu semata-mata hendak melihat baju warna apa yang dipakai oleh Syed Danial pada pengumuman kali ini. Sejak beberapa hari sebelum itu, masing-masing sudah saling meneka, ada yang kata hijau, yang lain pula kata biru dan macam-macam warna lagi.

Seronok juga melihat gelagat rakyat Malaysia, soal pakaian warna apa bakal dipakai oleh Syed Danial pun boleh jadi perbincangan dan trending!

 Akhirnya Syed Danial muncul dengan baju Melayu berwarna ungu dan mengumumkan tarikh bermula puasa pada tahun ini (2025) adalah pada Ahad, 2 Mac, 2025. Maka, terjawablah kedua-dua teka-teki yang sebelum itu mencetuskan pelbagai ramalan serta tekaan.


RADIO antara sumber penting pada zaman dahulu untuk mengetahui tarikh bermula puasa.


Penulis sebenarnya tidak ghairah sangat hendak menunggu pengumuman itu. Dalam zaman teknologi serba canggih ini, tidak perlu menunggu di depan televisyen, semuanya di hujung jari dan berita diterima sangat pantas tidak kira di mana anda berada. 

Ia berbeza dengan zaman 1960-an dan 1970-an dahulu. Ketika itu, untuk mengetahui pengumuman puasa atau hari raya, kena tunggu depan televisyen atau paling tidak pasang telinga, dengar pengumuman menerusi radio.

Bagi yang tidak mempunyai televisyen atau radio, mereka akan menunggu ‘isyarat’ dari masjid. 

Jika beduk diketuk, itu menandakan esok kita akan berpuasa. Orang kampung yang memang biasa berpandukan pukulan beduk sudah arif ‘rentak’ pukulan beduk itu sama ada hendak memberitahu sudah masuk waktu solat, memaklumkan ada kematian atau tarikh mula berpuasa.

Penulis lazimnya menunggu di tepi radio, meletak telinga betul-betul pada speaker dan memasang volume sekuat-kuatnya bagi memastikan tidak terlepas pengumuman penting itu. Adik-beradik yang lain juga menunggu dengan perasaan teruja.

Emak penulis yang masih sibuk di dapur berpesan supaya kami jangan buat bising kerana bimbang tidak dapat mendengar pengumuman itu. 

Bila juruhebah mengumumkan, pengumuman akan dibuat sebentar lagi, suasana dalam rumah sunyi sepi kerana masing-masing memberi tumpuan ke arah radio.

Agak kelakar, kalau Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan esok bermula puasa, reaksi yang diberi oleh kami adalah keluhan sebaliknya jika diumumkan puasa akan bermula lusa, masing-masing melonjak kegembiraan kerana esok masih boleh makan! Emak selalu menegur perlakuan kami itu.



TRADISI bertukar juadah pada bulan puasa wajar dikekalkan, lapor MStar.


Penulis tidak ingat sejak umur berapa mula berpuasa tapi yang pasti bila dah masuk sekolah, penulis memang berpuasa. Bayangkan, pada zaman penulis dahulu, kami berjalan kaki ke sekolah, bukan macam budak-budak sekarang yang naik bas sekolah atau dijemput ibu bapa.

Penulis berjalan kaki dua batu pergi balik ke sekolah. Kalau cuaca panas, memang pecah peluh dan kering tekak. Ia memang satu dugaan kalau pada bulan puasa.

Tapi, bulan puasa memang dinanti-nanti kerana ia seolah-olah bulan perayaan bagi penulis. Banyak aktiviti bulan puasa yang menyeronokkan dan menjadi kenangan sehingga sekarang.

Aktiviti bertukar-tukar kuih sesama jiran tetangga adalah antara acara yang dinanti-nanti. Ini kerana, tradisi itu membolehkan kita menikmati pelbagai jenis kuih semasa berbuka. Jika ada rezeki, dapat merasa mi atau bihun goreng!

Selalunya selepas asar, emak akan menugaskan penulis dan adik-beradik yang lain menghantar kuih ke rumah Mak Ngah, Mak Tam, Makcik dan beberapa buah rumah lagi. Dan menariknya, kami tidak balik dengan tangan kosong, sebaliknya, pasti ada ‘bekas balas’ dari mereka yang menerima kuih kami tadi.

Tradisi ini kini nampaknya sudah mati. Penulis tidak pasti di kampung tapi sejak penulis menetap selama lebih 40 tahun di Kuala Lumpur, acara tukar-tukar juadah itu sudah tidak berlaku. Kalau ada pun sesekali, itu pun hanya dengan jiran sebelah rumah.


AIR batu ketul disalut habuk papan supaya tidak cair.


Satu lagi suasana yang penulis rindukan adalah semasa membeli air batu ketul yang disalut dengan habuk papan. Inilah perniagaan yang paling laris pada sepanjang bulan puasa, tambahan jika musim panas.

Pada zaman itu, peti ais adalah barang yang ‘rare’, hanya orang kaya mampu memilikinya. Begitu juga, tak semua kedai runcit mempunyai peti ais, jadi yang menjual air batu ketul juga tidak ramai, hanya beberapa orang, itupun penulis tidak pasti dari mana mereka mendapat bekalan ais.

Memandangkan ia barang terhad, jika terlewat, bermakna anda akan berbuka puasa tanpa air batu. Justeru, walaupun terpaksa beratur panjang dalam panas terik, demi seketul air batu berharga 5 sen, ramai yang sanggup!

Bagi mengelak air batu ketul itu cair sebelum sempat sampai ke rumah, penjual akan melumurnya dengan serbuk papan sebelum membalutnya dengam kertas surat khabar. Dan cara itu terbukti berkesan.

Air sirap ditambah dengan biji selasih serta dicampur dengan air batu sudah cukup menyelerakan. Bergelas-gelas penulis bedal sampai rasa kembung perut, terasa beralun-alun air bila bergerak.


MOREH antara aktiviti bulan puasa yang ditunggu-tunggu. - Gambar hiasan.


Selepas berbuka, kalau tidak keletihan, penulis biasanya akan ke masjid, bukan untuk bersolat tarawih tapi bermain dengan kawan-kawan di sekitar masjid sementara menunggu orang selesai solat kerana acara yang ditunggu adalah moreh.

Selalunya, pada waktu petang, kami terlebih dahulu datang meninjau di dapur masjid untuk mengetahui apakah menu yang akan dihidangkan semasa moreh. Dulu, tidak ada perkhidmatan katering seperti sekarang sebaliknya penyediaan makanan untuk moreh dilakukan secara gotong royong oleh penduduk kampung.

Laizimnya kami akan menghantar seorang atau dua tiga orang ‘spy’ untuk meninjau apakah yang dimasak untuk moreh malam berkenaan dan maklumat akan disebarluaskan atau ditularkan kepada kawan-kawan secara dari mulut ke mulut.

Kalau setakat ‘moi’ (bubur lambuk) atau bubur kacang, kami sepakat tidak ke masjid pada malam itu. Tapi, jika makanan yang bakal dihidangkan jarang dapat kami nikmati seperti contohnya, nasi tomato ayam masak merah, memang penuh masjid pada malam itu, bukan saja dengan kanak-kanak tapi jemaah yang bukan ahli masjid pun datang bersolat tarawih!

Selain makan, penulis biasanya akan membawa bekas kosong. Jika ada rezeki, makanan yang berbaki akan penulis ‘tapau’ untuk dijadikan hidangan bersahur.


TEMPURUNG yang disusun batang sebatang kayu akan dibakar pada malam tujuh likur atau Malam 27.


Satu lagi aktiviti yang penulis lakukan sepanjang bulan Ramadan adalah mencari dan mengumpul tempurung untuk dijadikan unggun api. Habis satu kampung penulis ‘ronda’ masuk di bawah rumah orang mencari tempurung.

Tempurung itu kemudian ditebuk di bahagian tengah untuk dijadikan lubang dan dimasukkan ke sebatang kayu yang dipacak di sekeliling rumah. Selalunya satu pacakan kayu itu boleh memuatkan antara 10-12 tempurung dan terdapat sekurang-kurangnya empat pacakan kayu.

Unggun api tempurung ini akan dibakar pada malam 27 Ramadan (malam tujuh likur) atau kami panggil Malam 27. Bermula malam itu juga, pelita mula dipasang di sekeliling rumah sehingga malam raya.

Begitulah kemeriahan bulan puasa zaman dahulu yang tidak dilalui oleh anak cucu kita sekarang. Setiap kali datang Ramadan, penulis akan terkenang kembali zaman itu. Dan terasa rindu serindu-rindunya suasana itu. - KitaReporters

12
11
0
12
0
You will be interested