
Lumrahnya manusia punyai pelbagai sikap dan perangai yang membentuk peribadi mereka. Secara fitrahnya setiap seorang dari kita tidak dapat lari daripada perasaan curiga, dengki dan irihati. Manusia jarang berpuas hati dengan apa yang mereka ada.
Ini bertepatan dengan kajian Phd yang pernah dibuat di salah sebuah Universiti di Amerika Syarikat (AS) yang mengatakan lebih daripada 80% fikiran manusia sebenarnya bersifat negatif.
Selain itu, ungkapan “anda adalah apa yang anda fikirkan” mempunyai kaitan rapat dengan cara kita berfikir dan menangani apa juga masalah dalam kehidupan. Ia juga memperlihatkan kemampuan kita melihat masalah, sama ada dari sudut positif atau negatif.
Adakalanya sesuatu perkara itu nampak kecil tetapi cara seseorang menterjemahkannya amat berbeza.
Tidak hairan, dalam menangani sesuatu masalah, ada orang yang dapat menyelesaikannya dengan mudah dan baik apabila berfikiran positif , dan ada juga yang terpaksa menyelesaikannya dengan cara yang tidak bijak dan mengikut emosi atau negatif.
Sikap positif bermaksud sikap yang baik dalam menangani sesuatu, sama ada masalah peribadi atau pekerjaan. Ia berkait rapat dengan perilaku baik yang sesuai dengan nilai-nilai dan norma-norma kehidupan yang berlaku dalam masyarakat.
Umpamanya sifat bersabar, sentiasa memuhasabah diri, dan boleh bertolak ansur dalam banyak perkara. Mereka yang mempunyai sikap positif biasanya mempunyai peribadi yang mulia dan sentiasa bertaqwa pada Allah.
Dalam Islam kita disuruh mencontohi akhlak dan peribadi mulia Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. Malah Saidatina Aisyah r.a pernah ditanya berkaitan akhlak Rasulullah. Beliau menjawab, akhlak Rasulullah SAW adalah al-Quran.

Sikap positif sangat digalakkan bukan saja dari sudut kehidupan Islam tetapi juga diakui sarjana-sarjana Barat dan ia juga adalah satu terapi dari sudut kesihatan.
Menurut Dr. Norman Vincent Peale, penulis buku The Power of Positive Thinking, berfikiran positif merupakan suatu cara berfikir yang lebih menekankan pada hal-hal yang positif, baik terhadap diri sendiri, orang lain mahupun situasi yang dihadapi.
Seorang yang berfikiran positif akan melihat setiap kesulitan dengan cara yang tidak membebankan serta tidak mudah terpengaruh sehingga menjadi putus asa oleh berbagai rintangan hidup yang dihadapi. Individu yang berfikiran positif selalu beranggapan masalah boleh diselesaikan melalui proses pemikiran intelektual yang sihat.
Malah mereka yang berfikiran positif selalunya akan lebih rasional, tidak mudah putus asa untuk mencari jalan keluar kepada permasalahan mereka.
Sementara itu penulis dari Jerman, Karl Albrecht pula berpendapat berfikiran positif berkaitan dengan perhatian positif (positive attention) dan juga perkataan yang positif (positive verbalization).
Perhatian positif bererti memberi perhatian kepada hal-hal yang berkaitan pengalaman-pengalaman yang positif, sebaliknya 'perkataan yang positif’ adalah merujuk pada penggunaan kata-kata ataupun ayat-ayat yang positif untuk meluahkan buah fikiran mereka. Ini akhirnya akan menghasilkan kesan yang positif pada fikiran dan perasaan.
Dalam dunia perubatan pula, sifat positif dan yakin dikatakan mempunyai kesan terhadap kesihatan kerana, ini kerana badan dan hormon bertindak balas jika kita berfikiran positif.
Dalam kaitan yang sama stres dapat diuruskan dengan baik jika berfikiran positif, sekali gus, dapat menyembuhkan pelbagai penyakit selain boleh mengharungi kehidupan dengan lebih bermakna.

Berfikiran positif sebenarnya boleh disemai dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa memainkan peranan penting membentuk sikap positif dalam jiwa anak-anak melalui perlakuan, perkataan dan sikap.
Persekitaran dalam keluarga juga perlu harmoni dan menjurus ke arah positif. Ini kerana anak-anak selalu menjadikan ibu bapa mereka contoh atau `role model’. Jiwa positif membentuk peribadi mulia anak-anak seterusnya menjadikan mereka insan yang lebih terbuka dan dapat menerima kritikan dalam bentuk yang lebih positif dan membangun.
Sebaliknya jika mereka dididik untuk berjiwa negatif sejak kecil lagi, dan jiwa mereka bersarang dengan rasa tidak puas hati. Seterusnya pola pemikiran mereka juga akan menjurus ke arah sesuatu yang lebih negatif apabila mereka dewasa.
Bagi remaja, membentuk sikap dan fikiran positif merupakan pilihan hidup mereka. Adakalanya mereka tersalah pilih kawan dan lingkungan persahabatan mereka membentuk peribadi mereka.
Pepatah melayu ada berkata “jika ingin melihat siapa kita, lihatlah kawan-kawan kita”. Ini bermakna jaringan persahabatan juga memainkan peranan membentuk sikap dan tingkah laku seseorang.
Persekitaran dan sahabat adalah antara agen sosialisasi yang boleh membentuk peribadi seseorang. Kegagalan memilih persekitaran dan kawan-kawan (peer group) yang baik boleh membuatkan mereka terjebak dengan perkara yang negatif dan gejala sosial.
Bagi orang dewasa pula berfikiran positif dapat mempermudahkan setiap aspek kehidupan. Umpamanya di tempat kerja. Dengan berfikiran positif, segala kerja dapat dilaksanakan dengan mudah dan lebih teratur serta berdisiplin.
Kehidupan berkeluarga yang harmoni dan sejahtera juga dapat dijana melalui fikiran positif. Selain itu berfikiran positif mengelakkan mereka mendapat pelbagai penyakit yang ada kaitan dengan stres dan berfikiran negatif.

Jika seseorang itu sentiasa berfikiran positif dia akan disenangi ramai orang dan mereka ini sentiasa memudahkan kehidupan orang lain. Sebaliknya jika kita seorang yang sangat berfikiran negatif dan tidak boleh berlebih kurang, ramai yang tidak akan suka berurusan atau menjalin jaringan persahabatan dengan kita.
Justeru, kita boleh membina fikiran positif dengan berusaha menyemai sikap berlebih kurang, saling bantu membantu , berhati mulia dan sentiasa bersangka baik dengan orang lain. Tidak rugi mengamalkan sikap baik hati dan sentiasa positif.
Kebaikan, berhati mulia dan berfikiran positif bukan sahaja dianjurkan oleh agama Islam sahaja malah semua agama di dunia juga menyeru ke jalan kebaikan. Natijahnya semua ini berkait rapat dengan soal hati dan jiwa.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."
Semoga kita semua memulakan buku baharu dalam kehidupan kita dengan membuat kebaikan dan mengamalkan fikiran positif dalam hidup. - KitaReporters
