Setiap hari, telah menjadi rutin Christianne Calderon wanita berusia empat puluh tahun bersama suami dengan
dua orang anak, yang menetap New Jersey, Amerika Syarikat berulang-alik ke hospital Manhattan di bandar raya New York City. Kehidupan seorang jururawat bermula setelah matahari melabuhkan tirai di ufuk barat membuka kepekatan malam; di mana sudah tiba masanya untuk bertugas giliran malam bersama teman-teman seperjuangan. : KitaReporters
Christianne Calderon bersama teman-teman seperjuangan menjadi barisan hadapan petugas hospital menentang Covid-19. - Kredit foto: Independent
Calderon mengucapkan “selamat tinggal” kepada anak-anaknya seraya memakai topeng muka (mask) yang tertera tulisan “wira” sebagai kata semangat berjuang menentang wabak penyakit Koronavirus-2019 (Covid-19).
“Aku tulis perkataan wira di topeng muka tu.. sebab inilah masanya untuk mengisytiharkan diriku berperang dengan penyakit Covid-19, sementelah duduk barisan hadapan (frontliners) pula.
“Kami berperang dengan musuh yang tak diketahui dari mana datangnya, macam halimunan dan sukar diramal kehadirannya.
"Semua orang kena bersiap sedia sama ada para doktor, jururawat mahu pun kakitangan perubatan yang lain”, katanya dalam mod siap siaga berkhidmat.
Sebagai pengamal dan memegang profesion jururawat terlatih di “Unit Rawatan Rapi” di hospital New York; Calderon kini ditempatkan di Epicentre of America atau Pusat Kawalan Gerakan Bencana dan Malapetaka Negara menentang pandemik penyakit Covid-19.
Lazimnya, Epicentre akan ditubuhkan dengan harapan dapat membantu mangsa-mangsa seperti gempa bumi, banjir besar, ribut taufan dan lain-lain.
Tetapi kali ini,ia bertumpu kepada wabak penyakit berbahaya seperti Covid-19.
New York dan Amerika Syarikat hari ini bertukar wajah yang menggerunkan apabila lebih 300,000 penduduk Amerika sah positif dijangkiti virus ”Wuhan”, manakala jumlah angka korban terus bertambah kepada lebih 8,000 (melebihi angka korban di China) dengan New York mencatat lebih 3,500 kematian, setakat Sabtu, 4 April 2020.
Dalam satu temu ramah bersama akhbar Independent, Calderon berkata keadaan semakin kritikal
apabila bilangan kakitangan perubatan tidak mencukupi dan secara tidak langsung menjejaskan kehidupan harian mereka.
“Aku sudah bekerja lima belas tahun di unit “Rawatan Rapi” di New York’s Presbyterian Hospital-Columbia University. Tetapi kali ini ia agak berlainan keadaannya.
“Kami dibebani dengan kehadiran ramai pesakit; menyebabkan mental dan fizikal tertekan sehingga memaksa bertugas melebihi 12 jam sehari.
“Mana boleh tahan sebagai seorang yang normal yang perlukan waktu rehat sebelum menyambung tugas hakiki kami." keluh beliau dalam nada kepenatan.
“Kebanyakan pesakit yang dihantar di unit Kecemasan adalah mereka yang sudah kritikal dengan menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator). Apa yang boleh kami buat?
“Setiap hari kami berdepan dengan pertambahan kes kematian dan tiada berita yang mengembirakan.
"Hanya tangisan air mata mengiringi pesakit yang pergi," sebak beliau berkongsi cerita dengan penulis.
“Lebih sadis dan sedih lagi, apabila pesakit-pesakit Covid-19 mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang,hipertensi, sawan dan lain-lain.
“Akulah orangnya yang sentiasa dekat berada di sisi mereka; sentiasa menghitung hari ketika waktu nazak sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir.
"Azabnya mereka tak dapat nak digambarkan," menitis air mata mengalir membasahi pipi seorang jururawat yang begitu cekal dan komited.
Siapa yang tahu dan menghayati betapa sukarnya kehidupan petugas-petugas kesihatan di barisan hadapan yang terpaksa meninggalkan keluarga mereka apatah lagi memikirkan keselesaan hidup berdepan dengan maut.
Saban hari, mereka berbungkus dengan balutan plastik sebagai Proper Protective Equipment (PPE) yang memanaskan lagi merimaskan sebagai perisai pakaian keselamatan mereka.
Katil-katil pesakit tidak mencukupi ditambah pula dengan alat-alat perkakasan hospital seperti “ventilator” kurang bekalan bagi menampung dengan pertambahan pesakit-pesakit setiap hari.
Sebuah hospital medan didirikan untuk membantu pesakit-pesakit Covid-19 mendapatkan rawatan segera daripada petugas-petugas perubatan di unit kecemasan hospital. - Kredit foto: www.msn.com
Mujurlah ada pihak yang bersimpati yang menghulurkan bantuan seperti badan bukan kerajaan (NGO), Samaritan’s Purse yang mendirikan sebuah hospital medan (field hospital) di Central Park, New York.
Menurut Calderon lagi, terdapat rakan-rakan sekerjanya yang telah disahkan positif Covid-19 dan ini menyebabkan bilangan kakitangan hospital semakin berkurangan dan sukar mencari pengganti.
Minggu lepas, tiga rakan rapatnya masing-masing iaitu seorang jururawat, doktor bedah dan ahli anaesthesiologis telah dimasukkan ke wad rawatan.
Dahulunya, mereka memberi perkhidmatan kesihatan tetapi kini lain pula bertukar menjadi pesakit Covid-19.
Dalam dunia perubatan ini, tiada siapa yang kebal melawan virus, walau apa pun jawatan yang disandang sama ada daripada seorang doktor hinggalah pemandu ambulans.
Di hospital Mt Sinai West, New York, seorang jururawat telah menemui ajal akibat covid-19 dan disusuli pula seorang Penolong Pengurus Jururawat, Kious Kelly juga teman rapat Calderon turut terkorban.
Sebelum kematian Kelly, beliau ada memberitahu kekurangan fasiliti hospital serta PPE adalah punca utama kematian mendadak kakitangan hospital berlaku.
Kredit foto: FB Christianne Calderon
Kisah Calderon tidak berakhir di situ, sebaliknya kedukaan hidupnya bertali arus apabila suaminya juga seorang jururawat mula jatuh sakit dan berehat di rumah ibunya - bekas seorang jururawat.
Kehidupan rumah tangganya agak tunggang-langgang dan menyeksakan berikutan wabak penyakit tersebut sehingga mengganggu-gugat dalam urusan penjagaan anak-anaknya.
Salah seorang anaknya yang berumur lapan tahun begitu rapat sekali dengan beliau sehingga sukar untuk berpisah buat sementara waktu, hatta ketika hendak bekerja.
Keadaan inilah yang membuatkan Calderon serba salah ketika anak-anak memerlukannya dan lebih membimbangkan ialah ketika pulang dari hospital takut membawa bersama virus Covid-19 sehingga adakalanya dia enggan mendakap anak-anaknya.
Betapa sukarnya perjalanan hidup seorang ibu dan isteri yang bergelar jururawat apabila berdepan dengan penyakit “misteri” yang sentiasa menunggu bila-bila masa sahaja mencari sasaran baharu mangsanya.
Sebelum mengakhiri perbualan Calderon dengan penulis; dengarlah kata-kata sedih dan sayu beliau :
”Selama aku berkhidmat dengan hospital menguruskan kes-kes kematian tapi yang ini amat sedih kerana pesakit itu mati dalam keseorangan tanpa keluarga di sisinya.
"Dia pergi berlalu bersemadi dengan virus Covid-19. Sedih kan..?
"Apabila orang yang kita kasihi tidak dapat kita ziarah apatah lagi menguruskannya.
"Pemergian mereka (mangsa Covid-19) begitu pantas sehingga mengundang kesedihan yang tidak dilupakan.
"Pengajaran yang boleh kita ambil ialah hargailah nyawa anda dan keluarga. Hindarilah wabak
penyakit Covid-19 dan ikutilah nasihat dan peraturan pihak yang berwajib." - KitaReporters