Insan & Komuniti 12 Apr, 2023

Kumpul dana! Sukarelawan Hospital Kajang, Kasih anjur majlis iftar Ramadan! Juga beri kesedaran!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Mohd Nazri Abdul Latif dan Ithnin Jufpri (berbaju merah) bersama-sama pelajar Maahad Tahfiz Darul Azhar yang dijemput untuk menghadiri program Iftar Ramadan dan menerima sumbangan.


PROGRAM Iftar Ramadan anjuran Pertubuhan Sukarelawan Kasih (PSK) dengan kerjasama Kelab Sukarelawan Hospital Kajang (KSHK), Selangor bukan setakat untuk tujuan berbuka puasa tetapi sebagai usaha mencari dana membantu pusat jagaan warga emas, rumah anak dan juga pusat tahfiz.

Pusat berkenaan dan rumah anak yatim terbabit beroperasi dengan bergantung kepada infak orang ramai dan pelbagai pihak yang prihatin kerana mereka tidak mengenakan sebarang bayaran tetap setiap bulan.

Pengasas dan Pengerusi PSK, Mohd Nazri Abdul Latif, usaha itu menjadi agenda pertubuhan berkenaan setiap tahun dalam membantu pusat jagaan, rumah anak yatim dan pusat tahfiz dapat terus operasi dengan mengumpul serta mencari dana untuk mereka.

Menurutnya, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) PSK terpanggil untuk sama turun padang mencari penyumbang atau penginfak sama ada dalam bentuk barangan keperluan dan kewangan yang boleh disalurkan kepada pusat terbabit.


Anak yatim dari Tahfiz Anak Yatim Al-Fateh turut menerima sumbangan yang disampaikan Mohd Nazri dan Ithnin.


“PSK sedia maklum pihak pengurusan pusat ini terpaksa setiap bulan menghubungi atau menyalurkan maklumat kepada pihak berkenaan serta individu prihatin mengenai keperluan yang ditagih untuk kelangsungan hidup warga emas atau anak yatim serta pelajar tahfiz meneruskan pengajian agama mereka dengan selesa.

“Sebagai masyarakat sama ada secara individu atau dalam satu organisasi wajar dan peka nasib mereka yang dijaga serta santuni dengan dengan baik ini terutama warga emas terdampar tanpa waris supaya tidak terbiar yang mungkin akan menjadi gelandangan,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Iftar Ramadan 2023 anjuran PSK dengan kerjasama KSHK yang diadakan di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 9 April 2023. 

Turut hadir pada majlis itu Mantan Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Muhammad Hanafi Jalalludin; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Mohiadin Bahado; Pengerusi Pusat Jagaan Insan (PJI), Mohammad Syafiq Mohiadin; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden; Pengerusi KSHK, Ithnin Jufpri; dan ahli-ahli Jawatankuasa PSK serta KSHK.


Muhammad Hanafi Jalalludin (enam dari kiri) merakamkan kenangan bersama-sama penyumbang dan penginfak Program Iftar Ramadan anjuran Pertubuhan Sukarelawan Kasih (PSK) dengan kerjasama Kelab Sukarelawan Hospital Kajang (KSHK), Selangor, di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 9 April 2023.


Program yang dihadiri lebih 300 tetamu jemputan itu menerima sumbangan serta infak pelbagai pihak termasuk individu prihatin bagi menjayakannya termasuklah dari Surau Istiqamah dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seksyen 6, Bandar Rinching; Jom Sihat Body Fit, KRT Taman Seri Serdang; Be Kind Malaysia; Bijak IT.Com; She Excellent Works Enterprise; Nobaz Club; serta Surau Musthofa Presint 9, Putrajaya.

Antara sumbangan mereka itu berupa kewangan dan barangan makanan keperluan asas diagihkan kepada  PJMM, PJNH, PJI, Tahfiz Anak Yatim Al-Fateh dan Tahfiz Darul Azhar.


Ithnin (empat dari kanan) dan Mohd Nazri bersama-sama penerima sumbangan dan infak daripada pelbagai pihak yang disalurkan sempena program Iftar Ramadan.


Mohd Nazri, berkata program kali ke-2 ini juga secara tidak langsung memupuk budaya sihat bekerjasama untuk komuniti apabila menggabungkan dua ahli jawatankuasa sukarelawan berkenaan sebagai pendedahan berkesan dalam mempraktik cara menyantuni mereka yang memerlukan perhatian serta kasih sayang seperti warga emas, anak yatim serta pelajar tahfiz.

Menurutnya, daripada majlis itu diharap dapat melahirkan sukarelawan yang lebih berprihatin, peka dan aktif dalam pelbagai aktiviti sukarela terutama membabitkan komuniti khusus dengan mendepani insan yang kurang bernasib baik.

Tambahnya, menerusi program itu juga dua pertubuhan sukarelawan berkenaan yang bertindak sebagai penganjur dapat memanfaatkan pendedahan berguna kepada ahli walaupun mempunyai banyak pengalaman namun dengan peredaran masa pelbagai perkara baharu dan karenah mereka memerlukan perhatian serta pembelaan perlu difahami.


Ahli Jawatankuasa PSK bertungkus lumus membuat persiapan program Iftar Ramadan.


“Paling penting pada setiap sukarelawan terbabit dalam program ini akan lahir rasa menginsafi diri sendiri ketika menggembirakan warga emas dan anak yatim yang ketandusan kasih sayang serta perhatian.

“PJMM yang dipilih sebagai lokasi majlis ini kerana mempunyai prasarana yang lengkap, ruang yang luas serta pihak pengurusan yang peramah serta profesional dalam mengalu-alukan pelbagai pihak untuk menganjurkan program bagi menyantuni warga emas dan sebagainya,” ujarnya.


Sazali Mohiden (kiri) dan Muhammad Hanafi (tengah) bersama-sama sebahagian Ahli Jawatankuasa PSK dan KSHK yang menjayakan program Iftar Ramadan itu.


Sementara itu, Muhammad Hanafi dalam ucapan perasmian program itu, berkata sebagai anak tempatan dan terbabit secara langsung dalam banyak program komuniti, beliau amat mengkagumi mereka yang secara sukarela membuka serta mengurus pusat jagaan, rumah anak yatim dan tahfiz. 

Menurutnya, berkat usaha ikhlas mereka itu membuka mata banyak pihak untuk membantu namun belum mencukupi untuk menampung kos operasi yang membabitkan pembiayaan bil utiliti, pengangkutan, elaun petugas dan sebagainya.

“Tidak ramai yang sanggup atau mampu melakukan tugas mereka ini yang sehingga membabitkan kepada menguruskan pengkebumian jika ada kematian dalam kalangan warga emas di pusat jagaan maka adalah wajar sebagai masyarakat membantu mereka dalam pelbagai bentuk khusus kewangan,” katanya. - KitaReporters


Pelajar Maahad Tahfiz Darul Azhar dan tetamu menunggu waktu berbuka.


Ustaz Alias Ahmad menyampaikan tazkirah ringkas sementara menunggu waktu berbuka pada program Iftar Ramadan itu.

26
11
0
9
2
You will be interested