Insan & Komuniti 12 Feb, 2023

Kembara Semangat Pahang terima sambutan menggalakkan! Beri semangat, kekuatan, keinsafan, kesedaran!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this


Sebahagian peserta Seminar Wanita Bangkit dalam siri Jelajah Kembara Semangat Pahang yang berlangsung di Dar Al-Hikmah, IIUM Kuantan baru-baru ini.


Program jelajah Kembara Semangat Pahang yang diadakan di Grand Hall, IIUM Kuantan pada 31 Januari dan 1 Februari 2023 lalu berlangsung penuh meriah dengan kehadiran 350 peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

Dianjurkan oleh Bonda Nor Sdn Bhd dengan kerjasama Perpustakaan Dar al-Hikmah, IIUM Kuantan, program Kembara Semangat bertandang ke Pahang selepas berjaya dilaksanakan di negeri Terengganu, Johor, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang sepanjang tahun 2022.

Pengasasnya, Norli Madlan atau lebih dikenali sebagai Bonda Nor mengakui teruja ketika berkunjung ke negeri yang terkenal dengan ikan patin ini untuk menjalankan salah satu daripada aktiviti Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) syarikatnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan personaliti Bonda Nor


Bonda Nor (tengah) bersama AJK utama Kembara Semangat Pahang yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. Nor Akashah (bertudung coklat).


"Ketika ini, banyak urusan menunggu saya. Mengetuai pasukan penulisan, dropshipper, menguruskan keluarga, malah sedang mengikuti pengajian Master di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang. Namun, demi menyebar ilmu, saya tetap kuatkan diri untuk bersama tuan puan,"ujar Bonda Nor ketika berucap pada awal program baru-baru ini.

Sepanjang dua hari, empat acara telah diadakan iaitu Seminar Wanita Bangkit, Bengkel Tulislah, Bengkel Perdana Ekspres-i dan Be Strong Circle. 

Kesemua program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga Kuantan dalam pelbagai peringkat komuniti. Ini termasuklah kakitangan sektor awam dan swasta, pelajar Institusi Pengajian Tinggi, kolej vokasional, pensyarah, staf politeknik dan guru-guru dari sekolah berhampiran.


Guru dan para pelajar dari Kolej Vokasional Kuantan yang hadir pada program Be Strong Circle.


Beberapa orang peserta tidak melepaskan peluang bergambar dengan Bonda Nor selepas program Seminar Wanita Bangkit.


Pengarah Kembara Semangat Pahang, Nor Akashah Kassim berkata, selaku tuan rumah, pihaknya sangat gembira melihat respons yang diterima daripada para peserta yang hadir.

"Walaupun pada awalnya, rasa berdebar kerana kali pertama menganjurkan program ini, tapi akhirnya kami bersyukur kerana misi dan visi Kembara Semangat untuk menyuntik motivasi diri kepada para peserta berjaya dicapai. 

"Ramai yang datang dan memberitahu mereka sangat seronok mendengar perkongsian daripada Bonda selain ahli panel yang lain yang memberi kekuatan dalam meneruskan kehidupan. 

"Alhamdulillah, semoga program ini membawa manfaat yang berpanjangan buat mereka. Sebagaimana yang kita tahu, hidup sentiasa berdepan ujian. Jadi, usaha seperti ini diharap mampu memberi nilai tambah dalam meneruskan kehidupan masing-masing," jelas Nor Akashah yang merupakan pensyarah di Politeknik Metro Kuantan.


Salah seorang peserta dari Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Pahang.


Salah seorang peserta dari Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Pahang memberitahu, program Seminar Wanita Bangkit sangat menarik dan ia sepatutnya perlu dihadiri oleh semua wanita tidak kira mereka suri rumah atau berkerjaya. Baginya, ia sangat memberi semangat, kekuatan, keinsafan dan kesedaran dalam diri. 

Bagi Anisah Ares pula, dia berkongsi rasa teruja anaknya yang menyertai program Be Strong Circle yang memberi fokus kepada golongan remaja. Menurut Anisah, anak perempuannya berasa seperti acara itu perlu diadakan lebih lama kerana banyak yang mahu dipelajari.

Selain empat program utama Kembara Semangat, Bonda Nor turut menyampaikan sumbangan wakaf buku kepada Perpustakaan Dar al-Hikmah daripada tim Kembara Semangat Pahang. 

Selain itu, sumbangan wakaf buku membaca Ekspres-i yang disumbangkan orang ramai dan koleksi buku Bonda Nor Sdn Bhd oleh Bonda sendiri kepada rumah anak yatim Permata Camar. Tidak ketinggalan, turut diadakan jualan buku kepada para peserta.


Jualan buku-buku motivasi terbitan Bonda Nor juga turut diadakan dalam setiap program Kembara Semangat.


Sementara itu, Nor Akashah turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Bonda Nor dan semua ahli jawatankuasa yang terlibat yang terdiri daripada Akademi Bonda Nor, Ekspres-i United, Golden Circle Akademi Bonda Nor dan Dropshipper Bonda Nor.

"Bertukar lokasi dan tarikh merupakan cabaran buat kami. Namun, kerjasama berpasukan membuatkan program Kembara Semangat Pahang dapat direaslisasikan. 

"Tidak lupa sekalung penghargaan buat Ketua Perpustakaan Dar al-Hikmah, IIUM Kuantan, Nor Hasyimah Mustapa dan pasukannya yang sangat komited membantu melancarkan program ini," ujar Nor Akashah lagi. - Kita Reporters


Orang kuat di sebalik penganjuran Kembara Semangat Pahang yang banyak membantu dalam pelbagai aspek penganjuran.

17
14
0
9
0
You will be interested