Insan & Komuniti 29 Mar, 2020

APA SALAH KAMI? KENAPA JURURAWAT DIHINA?

@mohamad fadhil mohd daud (allahyarham)
Memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan di Mysuara.net sebuah Unit Komunikasi Yayasan Kepimpinan dan Strategi Malaysia (YKSM). Kini merupakan Wartawan dan Penulis di agensi media KITA Reporters.

Share this
APAKAH perasaan kita sekiranya disahkan terkena jangkitan wabak COVID-19?? Pastinya ramai akan berasa khuatir serta tidak senang duduk apabila memikirkan nasib ditambah pula penyesalan kita yang ingkar dengan saranan kerajaan untuk berwaspada dan berhati-hati. Dan tentunya, kita mencari-cari petugas kesihatan, seperti jururawat, bagi mendapatkan khidmat serta bantuan. : KitaReporters

Kredit foto: IG @kkkhanna.FC 


Langkah kita mengekang penularannya dari terus merebak merupakan amalan terpuji, namun tidakkah kita menyedari bahawa sesetengah petugas yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak kesemuanya berperanan menguruskan pesakit COVID-19. 

Stigma masyarakat Malaysia yang meliar dan sentiasa serkap jarang dengan petugas kesihatan yang menguruskan pesakit COVID-19 memperlihatkan kita sebagai masyarakat yang masih mempunyai daya pemikiran yang beku dan mundur. 

Dalam sebuah hadis, baginda Nabi SAW bersabda bahawa Allah memandang tinggi dan memuliakan setiap hambanya yang menjaga manusia yang lain ketika mana manusia itu berada dalam kesulitan. 

Hebat bukan?? Individu sebeginilah yang dilabelkan sebagai berjihad di jalan Allah dan pastinya akan diberi ganjaran oleh tuhan iaitu syurga tertinggi lagi Maha Hebat yang belum pasti dikurniakan kepada orang baik-baik. 

Menerusi hantaran Facebook, Ekien Latif (https://www.facebook.com/indie.gurlz) yang berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berasa kecewa dan kesal terhadap sesetengah individu yang memandang sinis terhadap petugas kesihatan

Foto diambil dari skrinshot Facebook Ekien Latif (https://www.facebook.com/indie.gurlz)


Prasangka buruk yang kononya petugas kesihatan sebagai ejen membawa virus COVID-19 kian menjadi-jadi di seluruh negara sehinggakan mereka dihalang hak untuk menyentuh atau memasuki premis perniagaan seperti di pasar raya dan kedai-kedai

Selayakkah 'wira' kita diperlakukan sebegitu rupa gara-gara takut terkesan dijangkiti wabak?? 

Mereka juga adalah manusia dan hamba, yang menjalankan tugas dan amanah yang diberikan. 

Sokongan moral dan penghormatan besar seharusnya diberikan pada mereka dengan khidmat bakti yang dicurahkan walaupun petugas itu tidak menguruskan pesakit COVID-19, tetapi atas nama petugas kesihatan sudah pastinya jasa baik dan pengorbanan mereka tiada tolok bandingan. 

Ikuti luahan sedih dan terkilan Ekien Latif : 

"Bila sampai dekat pintu pagar masuk, diorang buat screening temperture; okey, yang demam tak boleh masuk, betul dah tu. 

"Tiba-tiba kami ditahan dan tak dibenarkan masuk. 

"Bila ditanya kenapa?? Alasan yang diberikan adalah sangat mengecewakan! 

"Kami tak dibenarkan masuk disebabkan kami memakai uniform petugas kesihatan. Kami golongan yang mempunyai tahap risiko tinggi (high risk) dan terdedah dengan pesakit COVID-19." 



Dia yang terkejut dengan layanan pekerja pasar raya itu tidak menyangka bahawa terdapat lagi masyarakat yang masih bodoh sombong dan tidak cerdik lagi beradab. 

Tambahnya sebagai petugas kesihatan yang berpengalaman dan profesional, langkah-langkah keselamatan mahupun kebersihan haruslah dikuasai terlebih dahulu sebelum menawarkan dan memberi perkhidmatan kepada orang lain. 

Sikap semberono dan lalai bakal memberikan kesan mudarat dan panik kepada keselamatan diri sendiri dan juga kepada pesakit lain. 

"Ada pelbagai ketegori perkhidmatan, ada yang menguruskan pesakit COVID-19, ada yang menguruskan pergigian, ada yang menguruskan kanak-kanak dan ibu mengandung, serta ada yang menguruskan unit forensik. 

"Bertanya di mana kami bertugas. Kami boleh terangkan di mana kami bertugas. 

"Janganlah beri stigma bahawa kami petugas kesihatan sebagai pembawa dan penyebar COVID-19.

"Ketika kami bertugas kami akan menyarungkan PPE dan ambil segala langkah pencegahan dan perlindungan yang sepatutnya. 

"Kami sudah dilatih untuk menjaga diri sendiri, apatah lagi orang lain di sekeliling", ujarnya. 


Walaupun kejadian memperkecil-kecilkan petugas kesihatan merupakan masalah yang terpencil, kita sebagai masyarakat haruslah mengambil pedoman menjaga sikap, tutur kata dan perbuatan agar tidak mengguris hati sesetengah pihak. 

Mendahulukan sifat kesusilaan dalam cara berkomunikasi sehari-hari akan membentuk emosi dan tingkah laku yang lebih mesra dan beradab. 

Stigma masyarakat menuduh petugas kesihatan membawa dan menyebarkan COVID-19 bolehlah dilemparkan dan dihumban jauh-jauh dari terus menguasai minda orang Malaysia. 

Terima kasih!! Mudahkan!? 

Walau bagaimanapun menerusi status terkini Ekien Latif memberitahu wakil dari pasar raya terbesar itu telah tampil dan memohon maaf serta menganggap masalah yang ditularkan itu sudah menemui jalan penyelesaian

Sikap berlapang dada kedua-dua pihak untuk saling memaafkan menjadi tauladan yang baik kepada seluruh pengusaha, pekerja pasar raya dan netizen di luar sana. 

Diharapkan isu ini tidak lagi berpanjangan, ambillah ia sebagai peringatan serta pengajaran yang berguna untuk didikan kita. 

Ingat! Minda sihat cegah stigma jahat. - KitaReporters

#Respect



3
1
15
1
0
You will be interested