Insan & Komuniti 11 Dec, 2022

Menulis sebagai dakwah santai! Perjuangan Bonda Nor! Bimbing masyarakat kongsi ilmu dan pengalaman!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Mastura Muhamad (dua dari kanan) bersama Bonda Nor (kanan) dan barisan penulis buku baharu yang diterbitkan Bonda Nor Sdn Bhd pada majlis pelancaran di Pentas Utama, SIBF pada 8 Disember 2022. - Kredit foto: Facebook Bonda Nor 


SETIAP manusia pasti berdepan pelbagai ujian kehidupan. Tidak kiralah siapa pun kita, dalam menempuh perjalanan hidup di dunia ini, pasti ada cabaran dan dugaan yang sentiasa datang dan pergi

Andai berjaya melepasinya, sudah tentulah kita akan menjadi insan yang paling bahagia. Pengalaman suka duka yang dilalui hakikatnya mampu menjadikan kita manusia yang lebih matang.

Namun, pengalaman berharga itu hanya tinggal kenangan andai kita memilih untuk membiarkannya begitu sahaja. Tetapi tidak, jika ia dinukilkan menjadi sebuah karya yang memberi manfaat buat khalayak di luar sana.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penulisan buku-buku


Lima buku baharu yang memaparkan pelbagai kisah kehidupan bersama Planner Semangat 2023 yang diterbitkan oleh Bonda Nor sebagai bahan bacaan yang bermanfaat buat khalayak.


Di sinilah pentingnya membukukan pengalaman hidup, agar apa yang kita lalui tidak hilang ditelan masa. Sebaliknya, ia mampu menjadi bekalan paling bermakna untuk kita tinggalkan.

Inilah perjuangan penulis prolifik tanah air, Bonda Nor yang gigih berusaha membimbing masyarakat agar berkongsi pengalaman hidup mereka melalui penghasilan satu karya penulisan yang berkualiti

Terbaharu pada 8 Disember 2022 lalu, syarikat penerbitan miliknya, Bonda Nor Sdn Bhd telah melancarkan lima buah buku yang mengetengahkan kisah hidup penulis baharu yang terlibat dalam projek penulisan kendalian beliau.

Antaranya kisah bagaimana seorang pensyarah pulih daripada kanser payudara berkat sokongan suami, kegigihan seorang ibu yang teruji dengan anak sakit kronik menamatkan pengajian PhD, kecintaan seorang wanita terhadap anak-anak kecil hingga membuka sebuah pusat asuhan kanak-kanak dan kebahagiaan seorang isteri yang sanggup mengorbankan masa depannya demi menyokong kerjaya suami.


Seminar Penulisan Mega Bonda Nor merupakan antara medan perkongsian ilmu dalam arena penulisan oleh Bonda Nor.


Walaupun berdepan cabaran yang bukan sedikit untuk membimbing penulis baharu yang kebanyakannya tiada pengalaman menulis, namun ia bukan halangan buat Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.  

"Kesemua penulis itu dilatih untuk menghasilkan karya mengenai kisah hidup masing-masing melalui program Golden Circle Akademi Bonda Nor (GCABN)

"Setiap penulis mempunyai mentor yang bertanggungjawab menyelia manuskrip termasuk semakan tatabahasa dan sebagainya sebelum ia dihantar kepada saya.

"Saya sering mengingatkan penulis baharu agar jernihkan niat apabila terjun dalam bidang penulisan dakwah ini. Paling penting, saya mahu mereka membawa pembaca melihat kebesaran Allah dalam setiap karya yang dinukilkan

"Inilah konsep dakwah santai tapi sampai yang sentiasa saya tekankan termasuk menulis jujur daripada hati," ujar wanita kelahiran Melaka ini.


Bonda Nor bersama suaminya ketika menerima Anugerah Media Sosial Influencer (Pempengaruh) Kategori Penulisan pada Majlis Apresiasi Media Terengganu pada 28 November lalu.

Tambah beliau yang menerima Anugerah Media Sosial Influencer (Pempengaruh) Kategori Penulisan dalam Majlis Apresiasi Media Terengganu 2022 baru-baru ini, dunia penulisan memang banyak cabaran dan hakikatnya ia boleh memberikan kita saham pahala yang berpanjangan mahupun rantaian dosa. 

"Jika apa yang kita kongsi dan tuliskan itu memberi manfaat, sudah tentu ia membawa kebaikan bukan sahaja pada diri kita bahkan pada khalayak pembaca di luar sana. 

"Bagaimanapun, dalam zaman teknologi di hujung jari ini, kita bimbang tentang pengaruh penulisan yang melalaikan dan hanya tertumpu pada aspek kenikmatan duniawi semata-mata. Justeru, menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang penulis untuk sentiasa mengingatkan followers dan masyarakat tentang penulisan yang baik-baik," tegas Bonda Nor lagi.  

Kesemua lima buah buku bertajuk Berani Menjadi Aku oleh Bonda Nor, Terbang Bersama (Dr. Mazli Sham Abdullah), Mencari Bahagia (Sharifah Mardziah), Take Care (Jamilah Mustafa) dan Suami Limited Edition (Shakirah Md Din) itu, telah dirasmikan oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad pada 8 Disember 2022 sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2022


Mastura Muhamad mengakui teruja membaca buku-buku terbitan Bonda Nor yang mengetengahkan konsep dakwah santai yang sampai di hati pembaca.

Sementara itu, Mastura berkata, beliau tertarik dengan buku berkonsep dakwah santai tersebut kerana kandungannya yang sampai ke hati.

"Saya gembira dan berbangga dengan usaha yang sangat baik seperti ini dan akan sentiasa menunjukkan sokongan saya. Saya berharap buku seumpama ini akan dikeluarkan dengan lebih banyak bagi meluaskan lagi usaha dakwah yang memberi manfaat kepada pembaca," katanya.

Dalam pada itu, Mazli Sham berkata, dia teruja apabila buku solo pertama yang dihasilkan akhirnya berjaya diterbitkan.

"Terima kasih diucapkan kepada Bonda Nor kerana tidak jemu-jemu membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada kami. Meskipun sibuk dengan pelbagai urusan terutama perjuangan dakwahnya, namun Bonda Nor tetap setia memberikan yang terbaik untuk semua," kata Dr. Mazli Sham yang merupakan Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Psikologi, Kementerian Pendidikan Malaysia.


Dr. Mazli Sham (dua dari kanan) bersama rakan penulis, Sharifah Mardziah (dua dari kiri); Jamilah Mustafa (kanan) dan Bonda Nor yang disifatkan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik buat anak didiknya.


Sepanjang terlibat dalam dunia penulisan tanah air, Bonda Nor telah menghasilkan lebih 50 naskhah buku solo dan antologi. Antara karyanya yang terkenal ialah buku-buku motivasi daripada siri Pujuklah Hati. 

Dua karya beliau berjudul Bangkit dan Be Strong pernah memenangi Anugerah Buku Pilihan Pembaca Popular dan Berita Harian pada tahun 2017 dan 2018.

Pesta Buku Antarabangsa Selangor berlangsung selama 11 hari bermula pada 1 hingga 11 Disember 2022. 

Tahniah Bonda Nor dan semua penulis. Semoga setiap usaha dakwah yang dilakukan mendapat pandangan dan ganjaran sebaik-baiknya daripada Allah! - KitaReporters


Bonda Nor bersama penulis buku Suami Limited Edition, Shakirah Md Din (dua dari kanan) di booth Anjung Bonda Nor yang menyertai Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.

17
9
0
13
0
You will be interested