“SAYA
bersyukur kepada Allah kerana dapat membaca semula khutbah solat Jumaat pada 29 Mei 2020 selepas
terhenti apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
bermula 18 Mac 2020 lalu.
“Di bawah arahan
PKP Bersyarat (PKPB) kerajaan memberi kelonggaran untuk membolehkan umat Islam
di kawasan tertentu mengadakan solat Jumaat dengan mematuhi beberapa garis
panduan yang ditetapkan,” kata Imam Masjid Al-Falihin, Kampung Alai, Melaka,
Hazami Hamid. : KitaReporters
Hazami Hamid
Beliau berkata, satu mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) masjid telah diadakan lima hari lalu turut berbincang pelaksanaan solat Jumaat mengikut garis panduan yang ditetapkan termasuk memilih wakil jemaah dari surau dan madrasah kariah.
Surau dan madrasah
itu termasuklah dari Surau Batu 5 Alai,
Madrasah Al-Solihin Bukit Punggor, Madrasah As-Salam dan Madrasah At- Ta’lim
Adiniah diminta menghantar lima jemaah yang
mesti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP.
Mesyuarat AJK masjid telah diadakan lima hari lalu turut membincangkan pelaksanaan Solat Jumaat bagi mematuhi garis panduan JAIM dan SOP PKP. - Kredit Photo JPKK Bukit Punggor
SoIat
Jumaat diimamkan oleh Mufti Melaka, Datuk Wira Abd Halim Tawil yang turut berpuas
hati dengan persiapan yang dibuat AJK masjid berkenaan seperti yang ditetapkan
dalam garis panduan JAIM untuk mematuhi SOP PKP.
Menurut
Hazami, perjalanan solat Jumaat itu dapat dilakukan dengan sempurna, manakala 20
wakil jemaah yang dipilih itu termasuk bakinya dari kariah masjid berkenaan
telah mematuh garis panduan dan SOP PKP yang ditetapkan.
Abd Halim (dua dari kanan) bersama imam dan AJK Masjid Al-Falihin sebaik selesai menunaikan Solat Jumaat.
“Sehubungan itu juga saya berharap masalah yang menimpa kita hari ini menjadi peringatan untuk semua umat Islam untuk bermuhasabah dan kembali taat kepada perintah Allah SWT,” katanya.
Jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Falihin selain membawa sejadah sendiri turut berada dalam jarak sosial SOP PKP yang ditetapkan.
Pengerusi masjid berkenaan, Imran Mohd Som, berkata selepas mendapat surat kebenaran mengadakan solat Jumaat dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), pihak AJK terus mengambil langkah persiapan khusus bagi mematuhi SOP PKP.
Menurutnya,
ibarat satu rahmat kepada semua kariah apabila masjid itu dibenarkan mengadakan solat Jumaat yang sudah beberapa minggu tidak dapat dilakukan demi memulihara
kesejahtera dan kesihatan penduduk ekoran daripada kesan penularan Covid-19.
“Untuk minggu berikutnya kita akan terus mematuhi
garis panduan yang dikeluarkan oleh JAIM dan SOP PKP yang ditetapkan kerajaan dan
semua jemaah selamat menghadiri solat
Jumaat,” katanya. - KitaReporters
Jemaah yang terpilih menghadiri solat Jumaat di Masjid Al-Falihin terpaksa melalui semakan nama yang didaftarkan dan pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan solat yang dikawal oleh anggota polis.