Insan & Komuniti 18 Jun, 2025

Video| Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah permata biodiversiti! Lindungi spesies haiwan terancam!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

.



RIZAB Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah (ASARTR) bukan sekadar kawasan perlindungan harimau, ia permata biodiversiti yang membawa banyak keistimewaan kepada alam sekitar, sosial, dan ekonomi. Ia adalah pusat pemuliharaan terbesar dan pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Rizab seluas 134,183 hektar itu terdiri daripada Hutan Simpan Gunung Aais dan Tekai-Tembeling. Fasa pertama seluas 92,649 hektar diwartakan pada 4 Mei 2023, manakala fasa kedua membabitkan Hutan Simpan Tekai-Tembeling dijangka selesai menjelang akhir 2028.


Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah  melindungi spesies terancam seperti harimau Malaya, gajah Asia dan tapir Malaya.


Rizab ini melindungi spesies terancam seperti harimau Malaya, gajah Asia, tapir Malaya, monyet ekor babi dan monyet daun kelabu. Ia juga hutan yang menghimpun pelbagai jenis burung termasuk Enggang Bertanduk (Great Hornbill) dan Merak Tanpa Jambul.

Pelbagai reptilia dan amfibia seperti ular sawa, ular tedung selar, katak pokok tropika, cicak hutan, biawak air, rama-rama eksotik dan kumbang hutan turut menghuni kawasan itu selain beraneka jenis kayu hutan, orkid, kulat dan rotan.


Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah, kawasan hutan semula jadi yang kaya dengan flora dan fauna.  


Baru-baru ini, satu ekspedisi saintifik dijalankan di rizab itu membabitkan lebih 30 penyelidik dan saintis dari Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST).

Ada juga penyelidik dari Jepun dan Singapura turut mengambil bahagian. 

Penganjur menyediakan 20 bot untuk membawa peserta menyusuri sungai dan menempatkan mereka di beberapa lokasi yang sesuai dengan kajian masing-masing.


Sulaiman Salikan (kanan) bersama tim NEST bersiap sedia menaiki bot untuk meneroka Ekspedisi Saintifik 2025.


Presiden NEST, Sulaiman Salikan berkata, ekspedisi selama enam hari itu adalah yang pertama seumpamanya di kawasan perlindungan rizab harimau tersebut.

Beliau berkata, ekspedisi ini untuk meninjau dan mengumpulkan data biodiversiti secara sistematik di kawasan mencabar.

"Data yang dikumpul akan digunakan untuk menghasilkan laporan saintifik sebagai rujukan utama dalam strategi pemuliharaan jangka panjang dan untuk menambah inventori biodiversiti negeri Pahang.


Sulaiman Salikan


"Ekspedisi ini diterajui Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) dengan kerjasama Enggang Management Services (EMS) dan disokong oleh Kesatuan Eropah (EU) selain beberapa organisasi antarabangsa seperti The Habitat Foundation (THF).

"Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah merupakan salah satu kawasan perlindungan terbaharu dan terpenting di Malaysia bagi melindungi spesies terancam serta ekosistem hutan hujan tropika," katanya.


Sepanjang enam hari, tim NEST mengumpul 138 spesies burung.


Burung Kesumba Harimau atau Male Orange-breasted Trogon. - Gambar Sulaiman Salikan


Beliau berkata, NEST terbabit mengumpul data spesies burung yang menghuni kawasan hutan simpan itu. Data yang dikumpul menjadi asas kepada pelan pengurusan jangka panjang dan pemahaman terhadap ekologi hutan di Malaysia.

"Sepanjang enam hari, kami mengumpulkan 138 spesies burung antaranya Male Great Argus (Argusianus argus) atau Kuang Raya, Kesumba Harimau atau Male Orange-breasted Trogon dan Enggang.


Male Blyth's Paradise Flycatcher atau Murai-Gading Biasa. - Gambar Jamil Mat Isa


Male Great Argus (Argusianus argus) atau Kuang Raya.  - Gambar Jamil Mat Isa


"Berdasarkan data itu, kami yakin kawasan itu berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi pemerhatian burung, agropelancongan, lawatan biodiversiti dan kem pendidikan alam yang kelak memberi manfaat kepada komuniti setempat," katanya.

Sulaiman menganggap ekspedisi itu berjaya malah jumlahnya spesies burung mungkin bertambah jika tempoh berada di hutan simpan itu lebih lama kerana ada beberapa laluan yang belum diteroka memandangkan ia kawasan yang luas.  


Sejenis tumbuhan hutan yang ditemui di Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah.


Pelbagai jenis spesies kulat boleh ditemui di Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah.


"Keseluruhannya, NEST berpuas hati kerana kemudahan yang disediakan termasuk makan minum, penginapan dalam hutan, keselamatan dan pengurusan adalah terbaik.

"Walaupun kami tidak digalakkan bergerak di waktu malam tapi waktu yang panjang itu digunakan untuk sesi perbincangan dan berkongsi maklumat apa yang setiap kumpulan perolehi di waktu siang," katanya lagi. - KitaReporters


Sebahagian penyelidik dan saintis yang mengambil bahagian dalam Ekspedisi Saintifik 2025.

13
14
0
15
0
You will be interested