Insan & Komuniti 14 Sep, 2020

Sosilo Bambang rakam album! Kenang arwah isteri tercintanya!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
BEKAS Presiden Indonesia ke-6, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) menyambut ulang tahun ke-71-nya pada Rabu, 9 September 2020 lalu dengan melancarkan sebuah album mini yang mengandungi empat lagu nyanyiannya bagi mengenang arwah isterinya Kristiani Herrawati, yang lebih dikenali sebagai Ani Yudhoyono. : KitaReporters

SBY mendendang lagu sambil memetik gitar dalam pesawat presiden sambil disaksikan oleh isteri tercinta dan tetamu pesawat. - Kredit foto: Arkib kepresidenan

SBY dan Ani Yudhoyono berkahwin pada 1976 dan mempunyai dua anak lelaki. Pasangan romantik ini dipisah oleh ajal apabila Ani meninggal pada 1 Jun 2019. 

Ketika isteri sakit, SBY memperlihatkan cinta sejati apabila sentiasa di samping isteri yang sedang dirawat di sebuah hospital di Singapura.

SBY membawa anak-anak, menantu dan cucu menziarah pusara isteri tercinta sempena ulang tahun ke-71-nya. - Kredit foto: IG aniyudhoyono


Dalam album mini itu, SBY menyanyikan sendiri empat buah lagu lama ciptaan empat komposer veteran Indonesia.

SBY pada mulanya hanya menerbitkan album mini itu untuk koleksi peribadi. Tetapi kini album yang berjudul "4 Tembang Kenangan untuk Istri Tercinta" itu akan dipasarkan kepada umum melalui yayasannya, Yudhoyono dan hasil jualan akan dijadikan sumbangan amal.

Kulit album mini SBY mengenang isteri tercinta, "4 Tembang Kenangan untuk Istri Tercinta."


SBY memuatkan lagu-lagu itu dalam bentuk album juga sebagai lagu kenangan bersama tersendiri. Ia bagi mengubat kerinduan terhadap isterinya yang dirasakannya masih hidup, walaupun telah meninggal dunia akibat kanser di Singapura pada 1 Jun 2019 pada usia 66 tahun.

Lagu-lagu tersebut mempunyai nostalgia tersendiri SBY bersama arwah isteri dan sering didendang ketika bersama atau bersama rakan-rakan.

SBY berada di samping Ani ketika dirawat di sebuah hospital di Singapura. - Kredit foto: IG aniyudhoyono

Lagu-lagu kenangan yang dirakam ialah 'Andaikan Kau Datang' ciptaan Tonny Koeswoyo, 'Kisah Kasih di Sekolah' ciptaan Obbie Messakh, 'Ayah' ciptaan Rinto Harahap, dan 'Kugadaikan Cintaku' ciptaan Gombloh.

Lagu-lagu itu sebenarnya bukan dirakam di studio, sebaliknya di perpustakaan peribadi SBY di Cikeas, Bogor pada tahun 2016. Ani Yudhoyono menyaksikan proses rakaman itu dengan kyusuk tidak lama sebelum disahkan terjangkit kanser.

SBY dikenali sebagai presiden yang suka menyanyi dan berkebolehan dalam bidang muzik.

Foto arwah isteri tetap dipapar dalam bilik bacaan SBY. - Kredit foto: IG aniyudhoyono


Dia telah mencipta beberapa lagu termasuk beberapa lagu berunsur patriotik yang dinyanyikan pada hari kemerdekaan ketika dia menjawat jawatan Presiden Indonesia selama dua penggal (20 Oktober 2004 hingga 20 Oktober 2014).

Dan bagi memberi motivasi kepada rakyat dalam menghidapi wabak Covid-19, SBY mencipta melodi dan lirik sebuah lagu berjudul ‘Cahaya Dalam Kegelapan’ yang didendang oleh 8 artis popular Indonesia.

SBY selalu menziarah pusara isteri tersayang di makam pahlawan di Kalibata, Indonesia. - Kredit foto: @IG: aniyodhoyono

Sempena ulang tahun ke-71-nya itu, SBY turut membawa kedua-dua anak lelakinya berserta menantu dan cucu menziarah makam isterinya di Makam Pahlawan, Kalibata di Jakarta.

Dalam postingan dalam Instagram SBY mengatakan telah menjadi tradisi keluarganya untuk merayakan ulang tahun dengan bersyukur dan berdoa bersama.

Walaupun masih berkemampuan zahir dan batin, SBY tidak bercadang mencari teman hidup baru kerana sayangnya kepada Ani terus abadi. - KitaReporters





1
0
0
0
0
You will be interested