Insan & Komuniti 27 Jan, 2021

Program amal KRT Taman Seroja, Sepang! Kumpul pakaian sekolah bantu anak-anak keluarga miskin

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

Dua beradik ini gembira kerana memperolehi sebuah beg yang sesuai semasa berkunjung ke Program Amal Pengumpulan Pakaian Sekolah di Taman Seroja, Bandar Baharu Salak Tinggi. - Kredit foto: FB KRT Taman Seroja,Bandar Baharu Salak Tinggi


USAHA membantu golongan yang memerlukan terutama anak-anak miskin dan kurang berkemampuan melengkapkan peralatan sekolah khususnya pakaian adalah langkah wajar, sesuai dengan keadaan kegawatan ekonomi semakin mencabar sekarang.

Ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilanjutkan hingga 4 Februari, tentunya agak merisaukan ibu bapa terlibat mengenai perkara ini.

Disebabkan keadaan tersebut, sebagai langkah ke arah membantu meringankan beban keluarga yang berkenaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seroja, Bandar Baharu Salak Tinggi di Sepang, Selangor menjalankan inisiatif baru-baru ini melancarkan Program Amal Pengumpulan dan Agihan Pakaian Sekolah untuk disumbangkan kepada anak-anak keluarga miskin dan kurang mampu.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pakaian:

https://kitareporters.com/search?search=pakaian



 

Program Amal Pengumpulan dan Agihan Pakaian Sekolah anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seroja, Bandar Baharu Salak Tinggi di Sepang, Selangor mendapat sambutan penduduk. - Kredit foto: FB KRT Taman Seroja,Bandar Baharu Salak Tinggi.


Usaha proaktif ini mendapat sambutan mengalakkan daripada penduduk setempat yang berlangsung di tapak kabin KRT taman berkenaan. 

Program ini berjalan dalam jangka masa 20 hari bermula sejak 5 Januari dan akan berakhir pada 31 Januari 2021 ini dengan kegiatan mengumpul dan mengagihkan pakaian sekolah pelbagai saiz sama ada yang baharu mahupun terpakai sumbangan orang ramai atau syarikat-syarikat tertentu.


Tiga kanak-kanak ini memilih pakaian yang sesuai pada Program Amal Pengumpulan dan Agihan Pakaian Sekolah anjuran Kawasan Rukun Tetangga, Taman Seroja, Bandar Baharu Salak Tinggi, Sepang dengan dibantu oleh salah seorang Ahli Jawatankuasa Penganjur.


Sehubungan dengan itu, orang ramai atau siapa sahaja yang ingin menyumbang pakaian dan peralatan sekolah melalui program amal ini boleh menghubungi Shahrullalaly melalui talian 012-6504345.

Program berkenaan dibahagian kepada dua sesi pada Selasa hingga Khamis antara jam 3.00 petang hingga 7.00 malam, manakala pada Sabtu dan Ahad dari 10,00 pagi hingga 2.00 petang.


Dua kanak-kanak ini menunjukkan kepada keluarganya mungkin baju ini sesuai untuk mereka semasa mengunjungi Program Amal Pengumpulan Pakaian Sekolah di Taman Seroja. 


Bagi keluarga miskin dan kurang mampu boleh mendapatkan agihan pakaian sekolah yang sesuai sama ada baharu atau terpakai termasuk baju, seluar dan bag dengan mengunjungi program amal anjuran KRT taman tersebut yang diadakan sempena sesi persekolahan 2021 dan dilancarkan oleh Pegawai Jabatan Perpaduan Daerah Sepang, Farah Ratuwati Ibrahim.

Suatu yang mengembirakan Ahli Jawatankuasa KRT yang menganjurkan program ini ialah ia turut menarik minat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun untuk sudi hadir menyaksikan sendiri pelaksanaannya semasa singgah setelah selesai mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk di balai raya taman berkenaan, menurut catatan dalam laman sosial FB KRT, Taman Seroja, Bandar Baharu Salak Tinggi.


Salah seorang pelajar gembira setelah mendapat pakaian dan sebuah beg sekolah yang sesuai untuknya pada Program Amal Pengumpulan Pakaian Sekolah anjuran Kawasan Rukun Tetangga,Taman Seroja.


Sementara itu, pada Ahad 24 Januari 2021, KRT taman berkenaan menguruskan sumbangan bantuan 45 bakul makanan untuk penduduk yang layak di sekitar Taman Seroja dalam usaha meringankan beban semasa PKP 2.0 ini.

Bantuan agihan Jabatan Kebajikan Masyarakat disampaikan dalam satu majlis yang berlangsung di tapak kabin KRT taman berkenaan yang dihadiri Ahli Majlis Zon Bandar Baharu Salak Tinggi (U), Majlis Daerah Sepang, Mohd Syarul Amri Mat Sani.


Sebahagian 45 bantuan bakul makanan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diagihkan oleh Kawasan Rukun Tetangga,Taman Seroja untuk penduduk yang terjejas semasa PKP 2.0 di taman berkenaan.


Sebelum ini, KRT berkenaan juga turut menyelaraskan sumbangan bantuan bekalan makanan asas kepada 40 keluarga sempena  Jelajah Kasih Malaysia Parlimen Sepang untuk mereka yang memerlukan bagi meringankan beban penduduk terjejas.

Sumbangan PKP 2.0 Pejabat Parlimen Sepang dan Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri Isteri Harapan disampaikan oleh Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin dan isteri. - KitaReporters


 

Ahli Jawatankuasa penganjur Program Pengumpulan Pakaian Sekolah Kawasan Rukun Tetangga Taman Seroja bergambar bersama Farah Ratuwati Ibrahim (empat dari kanan barisan hadapan).


Salah seorang penduduk Taman Seroja, Bandar Baharu Salak Tinggi menerima bantuan PKP 2.0 daripada Hanipa Maidin (tengah) di Pekarangan Kabin Kawasan Rukun Tetangga, taman berkenaan.

0
1
0
0
0
You will be interested