
Teo Huey Lan (lima dari kiri) melakukan simbolik penyerahan air mineral dan kurma kepada Pengarah Hospital Besut Dr Ilyani Hasbullah menerusi Program Lemari Kasih Ramadan
SEMANGAT perpaduan dan kejiranan yang menjadi amalan kepada aktiviti yang dilaksanakan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menjadi contoh kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain dalam usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara ini.
Jiran Wanita (JW) KRT Bandar Jertih, Terengganu, antara paling aktif menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan terutama mendampingi warga komuniti setempat dengan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan yang terkesan.
Statusnya yang dinobatkan sebagai Jiran Wanita Terbaik Tempat Ketiga Katagori Pengurusan Anugerah Perdana KRT 2020 meningkatkan lagi usaha dan semangat seluruh ahli Jawatankuasa untuk terus berbakti dan mendampingi masyarakat.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan KRT
Pengerusi Jiran Wanita Teo Huey Lan
Pengerusinya, Teo Huey Lan berkata, Jawatankuasa Jiran Wanita yang dipimpinnya dianggotai ahli pelbagai kaum memudahkan pihaknya bergerak dengan melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan disesuaikan mengikut cita rasa komuniti setempat.
Katanya, sempena Ramadan tahun 2021 ini pihaknya tidak ketinggalan mengadakan aktiviti berasaskan khidmat sosial dengan mengadakan program ziarah Ramadan dari rumah ke rumah dengan mengagihkan bantuan barangan dapur kepada golongan yang terjejas.
Selain itu, katanya, pihaknya turut mengadakan kunjungan hormat kepada pentadbiran Hospital Besut (HB) dengan mengagihkan pek makanan untuk petugas, pesakit dan waris pesakit yang sedang dirawat di hospital itu.

Jawatankuasa Jiran Wanita KRT Bandar Jertih bergerak dari rumah ke rumah mengagihkan barangan dapur kepada komuniti

Jawatankuasa Jiran Wanita menyantuni seorang pesakit di Kampung Tandak, Jertih
“Khidmat kami tidak mengira status agama dan bangsa kerana semua masyarakat adalah komuniti di bawah seliaan KRT,” katanya.
Beliau berkata, sebagai KRT tertua di negara ini Jiran Wanita akan terus fokus kepada aktiviti berteraskan kejiranan, keselamatan, kesihatan dan perpaduan kaum.
Katanya, menerusi aktiviti mengagihkan keperluan barang dapur dari rumah ke rumah Jawatankuasa bukan sahaja dapat mengetahui masalah masyarakat tetapi satu jalinan ikatan persaudaraan dapat diwujudkan. - KitaReporters

Menjejak warga emas yang uzur sambil menyampaikan sumbangan barangan dapur.